Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  May 15th, 2017          |          Kategori : Jalan-Jalan

Mengenali Kota Semarang di Jawa Tengah, Indonesia

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-6
Lawang Sewu

Pasti ramai yang tidak tahu bahawa kota Semarang di Indonesia adalah ibukota Jawa Tengah dan merupakan salah satu kota tertua di negara jiran itu. Baru-baru ini Semarang menyambut ulang tahunnya yang ke-470 dengan melancarkan Semarang Night Carnival.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-8
Pusat Kota Semarang

Ramai juga wakil luar negara yang telah dijemput untuk menghadiri acara tersebut dan menyaksikan kepelbagaian pelancongan yang ada di situ. Suria juga tidak terkecuali dan berpeluang menerima undangan daripada jabatan pelancongan Jawa Tengah untuk mengenali budaya serta keindahan Semarang.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm-2
Contoh keretapi di Lawang Sewu

Buat warga Indonesia, khasnya golongan muda, Semarang paling dikenali gara-gara bangunan bersejarah yang bernama Lawang Sewu. Lawang Sewu yang bermaksud ‘seribu pintu’ itu merupakan sebuah bangunan lama dan pernah menjadi ibu pejabat Syarikat Keretapi Hindia Timur Belanda satu ketika dulu. Kemudian sewaktu zaman penjajahan Jepun, ia dijadikan tempat penyiksaan buat tahanan perang. Menurut kata orang tempatan, ramai yang telah mati gara-gara seksaan kejam yang dilakukan di situ. Oleh kerana itu, Lawang Sewu dikatakan berhantu dan sering mendapat jolokan sebagai salah satu bangunan ‘paling berhantu’ di Indonesia.

 

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm
Ruangan dalaman Lawang Sewu

Menurut pemandu pelancong di Lawang Sewu pula, memang ada entiti paranormal di situ dan ini menjadikannya kawasan yang dianggap ‘angker’ oleh orang Indonesia atau ‘keras’ dalam bahasa Melayu. Para pengunjung dinasihatkan supaya berkelakuan baik kalau melawat Lawang Sewu dan tidak bersikap takbur atau sombong. Malah, oleh kerana ia dianggap tempat yang seram, terdapat juga acara menjelajah bangunan Lawang Sewu di waktu malam untuk menghayati suasana seram bangunan tersebut.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-59-pm
Perkarangan kawasan kuil Sam Poo Kong

Walaubagaimanapun, berkat seribu pintu yang ada di situ, Lawang Sewu juga menjadi pilihan ramai orang untuk mengadakan sesi fotografi kerana senireka dalamannya yang klasik dan masih cantik terpelihara.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-4
Sam Poo Kong

Selain Lawang Sewu, satu lagi mercu tanda kota Semarang yang terkenal adalah kuil Sam Poo Kong. Ia merupakan sebuah kuil masyarakat Cina tempatan yang bermula sebagai tempat persinggahan Laksamana Cina Purba, Cheng Ho. Berbanding kebanyakan kuil masyarakat Cina yang beragama Tao di Asia Tenggara, Sam Poo Kong mempunyai keluasan yang besar dan sekali imbas, persekitarannya mirip kuil-kuil asli di Cina. Malah ramai pelancong suka bergambar di situ kerana pemandangannya yang mirip dengan Tanah Besar Cina.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm-6
Sala satu kuil di Sam Poo Kong

Jadi tidak hairanlah sekiranya Semarang mempunyai komuniti Cina yang agak besar berbanding kota-kota Indonesia yang lain. Ini jelas kelihatan dengan wujudnya kawasan Pecinan Semarang atau ‘Chinatown’ mereka tersendiri. Di situ juga terletaknya kawasan Semawis yang terkenal dengan pasar malamnya setiap hujung minggu. Di situ terdapat pelbagai makanan jalanan yang dijual untuk memenuhi selera penduduk tempatan, khasnya makanan Cina yang telah melalui perubahan zaman dan bercampur-aduk dengan gaya masakan Jawa tempatan.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-12whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-9whatsapp-image-2017-05-15-at-4-38-36-pmwhatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-59-pm-1whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm-1

Dan kalau bercakap soal makanan tempatan Semarang, jangan lupa singgah di gerai-gerai Jalan Pahlawan yang menyajikan aneka hidangan tempatan popular. Lebih menarik lagi, tamu harus duduk bersila atau bersimpuh kerana gerai-gerainya menggunakan meja rendah dan beralas tikar. Dari Wedang Jahe (Teh Halia), sehinggalah ke Ikan Bandeng serta Tahu Gimbal, Semarang kaya dengan makanan tempatan yang murah dan lazat. Salah sebuah hotel di situ yang bernama Pandanaran turut menampilkan nasi khas yang bernama Nasi Branjangan di mana nasi dan lauk dihidangkan di atas hamparan meja yang panjang tanpa pinggan dan mangkuk, tetapi beralas daun pisang dan dikongsi oleh semua yang duduk di meja. Ia bertujuan merapatkan lagi hubungan di antara semua yang makan bersama-sama.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-13
Kawasan Paya Bakau di Desa Wisata Tugu

Jika ingin menjelajah ke kawasan pedalaman di luar pusat kota Semarang pula, bolehlah singgah ke Desa Wisata Tugu (Mangrove Tapak) yang merupakan kawasan hutan simpanan paya Bakau. Di situ para pengunjung boleh menaiki perahu dan dibawa ke kawasan ekosistem yang kaya dengan Bakau sehingga ke lautan lepas. Terdapat kawasan penternakan ikan Bandeng dan juga kawasan penanaman pokok Bakau. Banyak flora dan fauna yang dapat dilihat kala berkunjung ke situ. Selain itu, boleh juga berkunjung ke restoran rumah atau ‘Home Resto’ yang merupakan tempat makan kepunyaan pemilik rumah tempatan. Seperti konsep penginapan desa atau ‘homestay’, ‘home resto’ memberi peluang tetamu untuk memesan dan menikmati makanan yang disediakan di rumah seperti yang dirasai oleh penduduk tempatan.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-5
Penternak Ikan Bandeng di kawasan Bakau

Dan itu baru sedikit sahaja tempat-tempat menarik yang ada di Semarang kerana sebenarnya ada banyak lagi tempat-tempat pelancongan yang boleh dilawati di situ. Dengan adanya penerbangan tambang rendah secara langsung dari Kuala Lumpur ke Semarang, rakyat Malaysia digalakkan untuk mengunjungi ibukota Jawa Tengah ini. Ia bukan saja dekat tetapi kos perbelanjaan di situ juga agak murah dan sangat berpatutan. Jadi sekiranya berpeluang, singgahlah ke Semarang untuk satu pengalaman percutian yang mengasyikkan di Indonesia.

whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-57-pm-1
Lorong-lorong kecil kota Semarang
whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm-3
Sekitar pelancaran Semarang Night Carnival 2017
whatsapp-image-2017-05-15-at-3-30-58-pm-5
Persembahan sewaktu pelancaran Semarang Night Carnival 2017

-Lawatan ini telah ditaja oleh Jabatan Pelancongan Jawa Tengah