Tiada siapa yang mungkin dapat melupakan aksi Deadpool, adiwira paling kelakar dari dunia komik Marvel yang satu ketika dahulu tampil dengan filem pertamanya sendiri.

Sarat dengan aksi yang agak ganas dan mencemaskan, filem sambungannya Deadpool 2 kini tiba di layar perak dan masih mempertaruhkan jalan cerita dengan aksi-aksi yang mirip seperti filem pertamanya.

Kali ini, Deadpool memulakan cerita dengan menjelaskan kenapa wataknya mahu cuba membunuh diri di bahagian permulaan. Walau bagaimanapun, kerana kuasa mutannya yang membuatkan dirinya kebal seperti watak Wolverine daripada kumpulan X-Men, Deadpool gagal untuk mematikan dirinya dan terpaksa meneruskan kehidupan setelah diselamatkan oleh Colossus salah seorang ahli X-Men.

Sungguhpun begitu Deadpool yang sebenarnya enggan menyertai X-Men kemudian terbabit dalam sebuah misi menyelamatkan seorang kanak-kanak mutan bernama Russell daripada ditangkap oleh pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, kehadiran Cable, seorang mutan dari masa depan merumitkan lagi keadaan kala dia memberitahu Deadpool yang dia sebenarnya hendak membunuh Russell juga.

Yang pasti, cara penceritaan Deadpool 2 tidak lari jauh dari filem pertamanya cuma kali ini, watak penuh lawak Deadpool lebih banyak menyindir filem-filem saingannya secara lebih terbuka dan terang-terangan. Malah terdapat juga kemunculan ‘cameo’ beberapa pelakon popular lain untuk ‘menceriakan’ lagi filem ini.

Biarpun banyak aksi yang agak ganas, Deadpool 2 sama sekali tidak mengecewakan.

Deadpool 2 akan menemui penonton di pawagam bermula 17 Mei 2018 dengan beberapa tontonan khas dari 15 Mei 2018.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!