Tanpa kita sedari, masa begitu pantas berlalu dan esok umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan mula berpuasa.

Ramai rakan-rakan selebriti sudah mula membuat pelbagai perancangan untuk bulan yang mulia ini.

Tidak terkecuali, bekas naib juara musim terbaru Gegar Vaganza, Liza Hanim memberitahu yang dia juga ingin meningkatkan tahap ibadahnya bersama keluarga di bulan Ramadan ini.

“Dulu semasa Liza mula-mula menyanyi, Liza sering juga sibuk dengan persembahan nyanyian di majlis-majlis berbuka puasa. Kemudian selepas mula menguruskan perniagaan pula, Liza malah semakin sibuk dengan pelbagai urusan kerja di bulan Ramadan sampai kadang-kadang masa yang diluangkan untuk beribadah terhad. Sedangkan kita sebagai Muslim tahu bahawa peluang beribadah di bulan Ramadan mesti dikejar.

Jadi kali ini Liza berazam untuk lebih kerap membawa anak-anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan solat tarawih. Lagipun sekarang mereka dah besar, dah boleh duduk diam dalam masjid, jadi lebih senang untuk mendidik mereka,” jelas Liza Hanim ketika ditemui pihak Suria baru-baru ini.

Liza juga menjelaskan bahawa sejak mula fokus dengan perniagaannya dulu, bulan Ramadan merupakan bulan yang banyak membawa rezeki.

“Mungkin itulah dugaan yang Allah berikan. Setiap bulan Ramadan Tuhan melimpahkan rezeki yang banyak pada perniagaan Liza sampai kadangkala tak sempat untuk bertarawih dan menunaikan ibadat sunat yang lain. Jadi Liza yakin itu adalah ujian dari-Nya untuk melihat bagaimana Liza menguruskan waktu untuk urusan dunia dan akhirat. Jadi Liza ingin cuba untuk menyeimbangkan kedua-duanya dengan lebih baik untuk Ramadan kali ini- insyaa Allah,” tambah Liza lagi.

Liza yang kini sibuk dengan promosi lagu terbarunya berjudul ‘Mimpi’ juga baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-15 pada 21 Mac lalu di Madinah semasa mengerjakan umrah.

Apa-apa pun kami ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat beribadah kepada Liza dan keluarganya serta para pengikut Suria yang lain. Moga-moga Ramadan ini akan lebih baik daripada yang sebelumnya untuk kita semua!

 

 

 

 

Tell us how do you feel about this article.
Please wait...
Dengarkan Sekarang!