2018 merupakan tahun bersejarah buat artis legenda M. Nasir di mana beliau menyambut ulang tahun ke-40 dalam industri muzik. Sempena meraikan kejayaan ini, Mediacorp Suria dan Mediacorp VizPro International akan mempersembahkan acara istimewa ‘Konsert Suatu Masa M. Nasir – Raikan Muzik 40 Tahun’ pada Jumaat, 6 Julai 2018 di MES Theatre at Mediacorp.

Dato’ Dr. Mohd Nasir Bin Mohamed, atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, turut menyandang beberapa gelaran lain termasuk ‘Sifu’, ‘Guru’, ‘Cendekiawan Seni’ dan ‘Legend’. Beliau mula bertapak dalam industri muzik Singapura dan Malaysia sejak 1978 lagi, membina nama sepanjang 40 tahun sebagai penyanyi, penggubah lagu, komposer, penerbit, penyair, pelakon dan juga pengarah filem. Dengan pelbagai anugerah yang telah dinobatkan kepadanya, M. Nasir tetap bertahan dalam industri muzik dengan sokongan padu peminatnya.

Dengan konsert yang bakal menggegarkan pentas Singapura nanti, artis legenda ini berharap agar peminat dapat menyambut kejayaan beliau bersama-sama, dengan pelbagai lagu hits merentasi zaman, dan juga selami sejarah muzik masa lalu.

“Inilah era baru untuk muzik. Walaupun muzik telah melalui pelbagai evolusi dari tahun demi tahun, ia amat penting untuk kita menerima dan memahami akar muzik kita pada masa ini. Sebab itulah konsert ini dinamakan ‘Konsert Suatu Masa M. Nasir – Raikan Muzik 40 Tahun’,” ujar M.Nasir.

“Konsert ini juga adalah satu peluang terbaik untuk saya mempersembahkan muzik saya kepada generasi muda, dan saya harap ia akan memberi inspirasi kepada bakat baru untuk masa depan,” katanya lagi.

Puan Zakiah Halim, Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, berkongsi, “Mediacorp teruja membawakan konsert bersejarah seniman kelahiran Singapura, M. Nasir, yang telah bertahan selama 40 tahun dalam industri muzik Melayu di rantau ini. Ramai penggemar muzik, dari beberapa generasi membesar dengan lagu-lagu penyanyi dan composer tersohor ini. Ini satu peluang keemasan bagi para peminat merasakan sentuhan listrik beliau, menunjukkan sokongan sambal meraikan keunggulan dan kegemilangan kerjaya seni M. Nasir.”

Konsert ini juga akan menampilkan penyanyi popular dari Singapura, Aisyah Aziz, yang dijangka akan menyanyikan lagu duet bersama M.Nasir. Peminat-peminat pula pasti akan terhibur dengan lagu-lagu popular seperti ‘Hati Emas’, ‘Raikan Cinta’, ‘Mentera Semerah Padi’ dan banyak lagi pada hari konsert yang dinantikan ramai ini.

Tiket ‘Konsert Suatu Masa M. Nasir – Raikan Muzik 40 Tahun’ dijual pada harga S$118 (VIP), S$98, S$78, S$58, S$38 dan boleh dibeli di cawangan SISTIC di Singapura, www.sistic.com.sg atau talian hotline (+65) 6348 5555.

Tell us how do you feel about this article.
Please wait...
Dengarkan Sekarang!