Penyanyi popular bersuara soprano, Ning Baizura telah membuka sebuah restoran masakan Melayu yang diberi nama Tudung Periuk bertempat di Plaza Damas, Hartamas Shopping Centre.

Tudung Periuk menghidangkan masakan kegemaran rakyat Malaysia dan masakan Melayu bercita rasa asal Malaysia seperti Nasi Lemak, Nasi Kerabu, Nasi Tomato, Laksa Sarawak, Bubur Ayam dan pelbagai lagi hidangan menyelerakan.

Menurut Ning, tujuan beliau membuka restoran ini adalah untuk menyambung legasi arwah bapanya yang satu ketika dahulu pernah memiliki restoran masakan Melayu di Seksyen 18 Shah Alam.

“Arwah bapa saya adalah salah satu sebab utama kenapa saya membuka restoran Tudung Periuk. Lagi pun tiada adik beradik lain yang menyambung legasinya kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga, jadi biarlah saya yang membukanya”, jelasnya.

Biarpun sering dilihat sebagai seorang artis yang berperwatakan urban, namun sebenarnya selera Ning adalah selera orang Melayu.

“Saya ni nampak sahaja macam ni, tetapi sebenarnya lidah saya lidah orang Melayu. Nasi adalah makanan kegemaran rakyat Malaysia. Hari-hari orang makan nasi. Alhamdulillah suami dan anak saya pun suka makan makanan Melayu”, ujarnya.

 

Kata Ning lagi, restorannya bukan sahaja menjadi tumpuan para peminatnya, namun turut menjadi tempat untuk warga asing menikmati hidangan masakan Melayu.

Ruang restoran yang selesa dengan dekorasi moden berwarna hijau cerah, pengunjung pasti selesa menjamu selera di sini. Di pintu masuk restoran dihiasi dengan atap nipah bagaikan gerai Melayu lama.

Lebih menarik, Ning turut menggantung bingkai-bingkai gambar peribadinya sejak dari awal pembabitannya di dalam industri seni menjadikan restoran ini ala-ala galeri mini buat peminatnya.

Istimewa untuk bulan Ramadan yang bakal menjelma, restoran Tudung Periuk turut menyediakan Buffet Ramadan bermula dari 19 May sehingga 12 June 2018. Harga bagi buffet Ramadan ialah RM49.90 untuk dewasa dan RM29.90 untuk kanak-kanak.
Sepanjang bulan Ramadan restoran ini akan beroperasi dri jam 3.00 PM sehingga 10.00 malam.

Kunjungi laman sosial Tudung Periuk di Instagram untuk mengikuti perkembangan lanjut.

Tahniah SURIA ucapkan kepada Ning Baizura di atas pembukaan restoran Tudung Periuk ini. SURIA dah rasa masakan di sini. Memang sedap!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!