Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  September 11th, 2017          |          Kategori : Terkini

“Penerbit The Voice di Perancis Minta Saya Sertai Ujibakat”- Nourul Wahab Depp

 

whatsapp-image-2017-09-11-at-2-29-32-pm-1

Lama juga tidak mendengar khabar penyanyi jelita Nourul Wahab Depp. Melihat laman media sosial empunya penyanyi tersebut, Nourul nampaknya lebih aktif dalam bidang perniagaan serta mengajar tarian Zumba.

Namun dalam diam, Nourul sebenarnya sibuk merancang untuk melebarkan kerjaya seninya ke luar negara.

whatsapp-image-2017-09-11-at-2-29-32-pm-2

Terbaru, Nourul memberitahu pihak Suria bahawa dia sebenarnya baru sahaja menyiapkan sebuah album di dalam bahasa Perancis.

“Sebenarnya saya baru sahaja menyiapkan sebuah album penuh di dalam bahasa Perancis. Album itu dirakam di Perancis dan diterbitkan sepenuhnya oleh seorang penerbit dan pengarah orkestra Perancis bernama Kirsten Harma. Album itu mengandungi tujuh buah lagu di mana enam lagu merupakan lagu Perancis dan satu lagu lagi di dalam bahasa Inggeris,” jelas Nourul.

“Langkah seterusnya adalah untuk menyiapkan kulit album dan muzik video pula, jadi saya sedang sibuk merancang semua ini. Malah penerbit saya di Perancis mahu kami lakukan semuanya di Paris, jadi insyaa Allah jika semuanya berjalan lancar, saya akan ke Perancis sebelum hujung Oktober nanti,” tambahnya lagi.

whatsapp-image-2017-09-11-at-2-29-32-pm

Nourul memberitahu bahawa dia sangat bersyukur kerana penerbitnya di Perancis begitu menyukai suaranya selepas mendengar salah sebuah lagu Perancis yang sempat dia rakam di Malaysia tidak lama dulu.

“Sampai saya disarankan untuk menyertai ujibakat rancangan realiti The Voice di Perancis. Tapi saya rasa kurang sesuai kerana walaupun saya mungkin baru di Perancis nanti, namun saya sudah 22 tahun menyanyi di Malaysia dan bergelar artis rakaman. Walaubagaimanapun, penerbit rancangan realiti tersebut sendiri sudah berkali-kali menghubungi saya sampai ke laman media sosial saya dan cuba memujuk saya menyertai rancangan tersebut selepas mendengar rakaman nyanyian saya di dalam bahasa Perancis,” ujar Nourul.

whatsapp-image-2017-09-11-at-2-29-32-pm-3

Apa pun kami di Suria mendoakan yang terbaik buat Nourul dan semoga dia berjaya mengharumkan nama Malaysia di arena seni muzik seperti yang pernah dilakukan Shila Amzah di China dan Yuna di Amerika Syarikat.

Nourul ditemui ketika membuat persembahan di majlis pelancaran HVT (Helvetia) International Vacation Club di Holiday Villa Subang baru-baru ini yang dihadiri oleh pelbagai tamu antarabangsa.

Kelab percutian antarabangsa yang sudahpun terkenal di luar negara itu baru sahaja membuka cawangan di Malaysia dan dijangka akan meraih lebih banyak pencinta percutian.