Bila
Mana
Dianjurkan oleh
Kategori :
  March 30th, 2017          |          Kategori : Terkini

Segalanya Hiburan di Suria

suria-logo_segalanya-hiburan
Setelah mengukir nama sepanjang 10 tahun di dalam industri radio Malaysia, jenama Suria kini melangkah ke hadapan dengan penambahan platform terbarunya dalam bentuk digital. Berikutan dengan pengembangan ini, Suria kini bukan lagi sekadar sebuah stesen radio sahaja.

Dengan mendukung tema baru dan juga tagline ‘Segalanya Hiburan’, Suria kini bakal tampil dengan pelbagai pengisian menarik yang mampu menghiburkan semua golongan.

Malah, Suria telah melangkah berani dengan menerbitkan program-program video berdurasi pendek di laman sesawangnya berdasarkan segmen di Suria seperti #ApaItuCinta, Parodi Zulin dan Suria Jam.

Hasil tontonan yang mencecah lebih 1 juta penonton di platform digital Suria, kini Suria bakal menghasilkan lebih banyak program idea asal yang merangkumi pelbagai genre seperti travelog, drama bersiri, dokumentari seram dan program hiburan.

dsc06314

Antara program yang akan diterbitkan adalah #BFF yang mengisahkan tentang kisah persahabatan dua selebriti yang melalui cabaran ketika dalam perjalanan mereka. Selain daripada itu, Suria juga akan melancarkan drama bersiri berdasarkan kisah benar pemanggil daripada segmen Suria Cinta di mana kisah mereka akan dilakonkan semula oleh artis popular tempatan.

Mic Kecoh pula merupakan program hiburan yang berbentuk pertandingan nyanyian dimana peserta harus menyanyi di hadapan khalayak ramai. Namun, apa yang peserta ini tidak tahu mereka akan dikejutkan dengan ‘puaka’ misteri.

Malah, Suria juga akan menerbitkan berita hiburan berdurasi kurang 10 minit yang akan memberikan berita-berita hiburan yang terkini dan eksklusif dalam Sensasi Suria.

“Seiring dengan tagline ‘Segalanya Hiburan’, matlamat kami adalah untuk menjadi saluran digital kreatif melalui isi kandungan program yang asli dan berkualiti tinggi. Ini kerana kami percaya ia mampu menarik lebih ramai untuk mengenali jenama Suria”, kata Shahida Azad Jamaludin selaku Pengurus Kanan Pengurusan Penjenamaan dan Digital Suria.

Suria juga mengambil inisiatif menaik taraf platform digital untuk menjadi lebih interaktif di mana pengguna boleh mengeksperikan perasaan mereka melalui ‘emoticon’ yang diciptakan khas dan berinteraksi secara langsung melalui ‘Live Chat’.

Suria bakal memulakan Siri Jelajah Suria 10 tahun pada bulan April ini bermula di Johor dan lokasi seterusnya adalah Terengganu, Pulau Pinang, Ipoh dan akhir sekali di Shah Alam, Selangor. Jelajah Suria 10 tahun ini merupakan hadiah buat pendengar di mana mereka berpeluang bersemuka dan beramah mesra bersama penyampai-penyampai Suria dan barisan penyanyi popular seperti Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Amy Search, Dato Hattan, Kaka Azraff, Zarul Husin dan ramai lagi.

dsc06309

Sempena sambutan bulan Ramadan yang akan datang, Suria juga akan menganjurkan projek amal gabungan bersama selebriti tempatan dan badan-badan kebajikan terpilih. Buat pertama kalinya, Suria akan menghasilkan lagu dan video klip raya hasil kerjasama penyanyi dan komposer terkenal.

Suria kini dalam perancangan untuk mengadakan Konsert Suria 10 Tahun pada bulan November ini yang pastinya akan menjanjikan satu kelainan buat peminat.

Pengumuman Projek Suria yang diadakan di Restoran Ruyi & Lyn, Bangsar Shopping Centre, pada 29 Mac ini turut dihadiri Ketua-Ketua Pengurusan Kumpulan Star Media (SMG) dan Kumpulan Radio Star Media (SMRG) seperti Dato Aminuddin Rouse (Pengerusi SMRG), Calvin Kan (Ketua Pegawai Eksekutif SMRG & Ketua Pegawai Operasi SMG) dan Subarma Mohtaruddin (Pengurus Besar Program Suria FM)