91696

Mewah dan Meriah Di W Bangkok - Suria FM - Segalanya Hiburan

Tersergam di tengah-tengah bandaraya kawasan Sathorn, di Silom Bangkok, The W Bangkok berdiri megah menghiasi latar belakang pusat kota Thailand. Berdekatan dengan pusat membeli-belah stesen Skytrain BTS Chong Nonsi, hotel berjenama antarabangsa ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah, selesa dan sedikit unik. Ini kerana rangkaian Hotel W di seluruh dunia memang terkenal dengan seni reka dalamannya yang berbeza dan lebih meriah berbanding hotel lima bintang lain.

Hotel ini merupakan pilihan terulung bagi mereka yang mahukan kemewahan dengan sedikit kelainan dan persekitaran yang ranggi.

Hotel ini mempunyai 403 buah bilik yang luas termasuk 34 bilik suite yang hebat. Kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya moden dan kontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang. Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi TV LCD, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi di bawah jenama mewah yang lain. Selain itu setiap hotel W ada sentuhan bandar lokasinya dan untuk W Bangkok beberapa sarung kusyen menggunakan hiasan ‘seluar peninju Thai’ yang memang sinonim dengan Bangkok.

Bagi tujuan menjamu selera pula, W Bangkok menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap. Ini termasuklah restoran The Kitchen Table: bagi tujuan sarapan, makan tengah hari dan makan malam, The Pantry, tidak dilupakan juga adalah WooBar bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta Wet Deck yang terletak di kolam renang buat mereka yang ingin dikelilingi ketenangan berada berdekatan gimnasium untuk bersenam. Lebih istimewa, mereka menyajikan daging halal di buat tamu yang beragama Islam.

Untuk memanjakan diri, bolehlah singgah ke AwaySpa, sebuah spa mewah yang menawarkan rawatan serta urutan asli Thailand yang memang terkenal seluruh dunia.

Terdapat sebuah kolam renang yang diberi nama WET dan juga pusat kesihatan serta senaman FITgym yang buka 24 jam, malah kolam renang mereka memainkan muzik di dalam air untuk memberikan sedikit hiburan kepada para pengguna.
Hotel ini turut dilengkapi dengan ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti parti dan sebagainya.


Untuk acara sedemikian, bangunan House of Sathorn di perkarangan hotel sering menjadi tumpuan. Selain menjadi tempat pilihan untuk bersantai dan menikmati minuman serta hidangan petang, ia juga sesuai untuk penganjuran majlis istimewa.
Dengan pemandangan terhebat bandaraya Bangkok dari setiap jengukan jendela, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi.

Sekiranya berpeluang ke Bangkok, bermalamlah di W Bangkok kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!