115268

Adakah Sendi Anda Sakit? Ketahui Cara untuk Melegakan Sakit Sendi - Suria FM - Segalanya Hiburan

Sempena Hari Artritis Sedunia 2022, Pusat Perubatan Sunway ingin membantu anda mencari solusi untuk mengurangkan kesakitan sendi

 

Aktiviti seharian seperti berdiri atau membongkok kedengaran mudah, namun ia boleh mengundang kesakitan yang serius bagi penghidap penyakit artritis. Secara umumnya, artritis lebih kerap terjadi kepada orang yang lebih berusia. Namun begitu, golongan muda yang berumur lingkungan 20-an juga berisiko mengalami artritis dan gejala mereka kebiasaannya akan bertambah buruk apabila usia mereka meningkat.

Artritis kekal sebagai penyebab utama kesakitan dan ketidakupayaan di seluruh dunia. Ia merangkumi lebih daripada seratus jenis artritis dan penyakit-penyakit yang berkaitan. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, lebih daripada satu pertiga orang dewasa yang menghidap artritis melaporkan bahawa penyakit tersebut mengakibatkan aktiviti masa lapang dan pekerjaan mereka terbatas, dan 25 peratus daripadanya mengakui ia menyebabkan kesakitan yang teruk kepada mereka.

Sempena Hari Artritis Sedunia, Pusat Perubatan Suwnay ingin berkongsi beberapa pendekatan yang boleh digunakan bagi melegakan kesakitan anda, sama ada di fasiliti kesihatan atau di rumah.

 

Jenis-jenis Artritis

Terdapat dua jenis utama bagi penyakit artritis iaitu degeneratif dan radang. Kedua-dua jenis artritis ini akan menyebabkan kesakitan yang sangat teruk jika tidak dirawat.

 

Artritis Degeneratif

Artritis degeneratif terjadi disebabkan oleh sendi yang haus dan lusuh. Ia biasanya tidak simetri kerana ia hanya menjejaskan sendi tertentu pada satu bahagian badan. Dr Cheah Chee Ken, Pakar Perunding Rheumatologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway menjelaskan, “Apabila seseorang menggunakan sendi secara berlebihan, misalnya lutut atau bahu, mereka cenderung untuk mendapat artritis degeneratif yang akan menjejaskan pergerakan mereka”.

Artritis degeneratif lebih tertumpu pada sendi dan menunjukkan gejala-gejala seperti rasa sakit, kekakuan sendi, bengkak dan kemerahan. Simptom kesakitan akibat artritis degeneratif adalah mekanikal. Ini bermakna, rasa sakit akan bertambah teruk sekiranya berlaku pergerakan dan akan beransur lega apabila berehat. Kesakitan semasa melakukan aktiviti akan menyebabkan pesakit mengalami kesukaran dalam melaksanakan tugas harian.

 

Keradangan Artritis (IA)

Keradangan artritis merupakan kumpulan penyakit sendi dengan radang sendi sebagai ciri utama. Ciri-ciri radang sendi termasuklah rasa sakit semasa rehat, kekakuan sendi pada awal pagi, bengkak sendi yang adakalanya menyebabkan kemerahan pada kulit. Ia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, misalnya kecederaan akut, jangkitan, atau disebabkan sistem imun terlalu aktif yang menyerang sendi (juga dikenali sebagai penyakit autoimun). Dalam kebanyakan kes artritis yang berkait dengan sistem imun, tindak balas imun semula jadi tidak tahu bagaimana membezakan dirinya daripada bahan asing, sekali gus menyebabkan keradangan berterusan dan seterusnya mengakibatkan kerosakan sendi kekal.

Tidak seperti artritis degeneratif, keradangan artritis boleh menjejaskan pelbagai sendi secara serentak dan simetri. Gejala sistemik seperti keletihan adalah perkara biasa.

 

Kurangkan Beban Pada Sendi

Prinsip rawatan bagi artritis memerlukan pengurusan yang sesuai melibatkan: 

  1. Mengenal pasti diagnosis yang betul
  2. Menghalang keradangan (kerana keradangan yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan struktur)
  3. Mengawal kesakitan dan gejalanya
  4. Memelihara fungsi sendi dan mengekalkan kualiti hidup

Sesetengah keadaan hanya memerlukan langkah mudah seperti senaman dan fisioterapi, manakala sebahagiannya pula mungkin memerlukan kes pembedahan. Kebiasaannya rawatan terapi perubatan diberikan bagi merawat pelbagai jenis radang artritis. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada perunding kesihatan.

 

Artritis yang paling lazim ialah artritis degeneratif (Osteoartritis). Berikut adalah beberapa langkah umum bagi menangani pelbagai bidang artritis degeneratif:

 

Artritis Pinggul

 

  1. Pengurusan berat badan
    • Berat badan berlebihan atau obesiti memberikan beban tambahan dan tekanan pada sendi. BMI yang lebih tinggi juga akan menyumbang kepada terjadinya keradangan.
    • Mulakan program senaman seperti berjalan kaki atau melakukan senam robik. Perlu diingatkan bahawa ia mestilah aktiviti berimpak rendah bagi mengurangkan ketegangan pada sendi.
    • Mengekalkan pemakanan yang sihat. Perubahan tertentu pada pola diet akan mampu mengurangkan keradangan dan tekanan pada sendi. Sebagai contoh, penambahan minyak ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 dan vitamin D3 mampu mengurangkan sakit arthritis dan bengkak sendi.

 

2. Pembedahan

    • Jika senaman atau perubahan gaya hidup tidak lagi berkesan, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan. Pilihan pembedahan termasuk pelapisan semula pinggul dan penggantian pinggul.
    • Pelapisan pinggul – Pakar bedah akan memotong tulang dan rawan yang rosak dan menggantikannya dengan batang logam (dimasukkan ke dalam tulang paha), yang akan menjadi permukaan tiruan.
    • Penggantian pinggul – Pakar bedah akan membuang bahagian sendi pinggul yang rosak dan menggantikannya dengan sendi buatan.

 

3. Terapi Semula jadi

    • Akupuntur
    • Terapi tingkah laku kognitif (CBT)
    • Penggunaan pad haba
    • Salap topikal

 

Artritis Tangan

  1. Senaman tangan
    • Menggerakkan dan melatih sendi yang terjejas boleh meningkatkan kekuatan tangan serta meningkatkan mobiliti jari dan ibu jari.
    • Kunci kepada setiap senaman adalah untuk mengelakkan terlalu banyak tekanan pada kawasan yang terjejas.
    • Sebagai alternatif, anda boleh berunding dengan ahli terapi tangan untuk menetapkan senaman yang paling sesuai untuk tangan anda.

 

2. Belat/Pendakap

    • Tujuan utama pemakaian pendakap adalah untuk menyokong dan melindungi sendi yang terjejas.
    • Belat atau pendakap akan mengurangkan ketegangan dan menggalakkan penjajaran sendi yang betul.
    • Pesakit tidak digalakkan memakai pendakap untuk jangka masa panjang kerana ia mampu melemahkan otot.

 

3. Pembedahan

    • Penggabungan sendi – Pembedahan ini akan mengehadkan fleksibiliti dan pergerakan anda kerana ia menggunakan plat dan skru untuk memastikan tulang sendi anda bersatu. Berita baiknya, anda akan mempunyai sendi yang lebih stabil dan tidak sakit.
    • Pemindahan tendon – Radang artritis boleh menyebabkan tendon pecah. Jika ini berlaku, memindahkan tendon yang sihat boleh memulihkan fungsi tangan anda.

 

Artritis Lutut

  1. Pengubahsuaian aktiviti
    • “Walaupun selepas pembedahan, kecederaan lampau pada lutut akibat bersukan boleh berlarutan sehingga menyebabkan kerosakan pada tulang rawan dan tulang, bergantung kepada cara seseorang menggerakkan lututnya,” kongsi Dr Cheah.
    • Elakkan pergerakan seperti lunges atau squats yang boleh menegangkan sendi.
    • Kekal aktif secara fizikal adalah kunci untuk menguruskan gejala dan menguatkan lutut.

 

2. Alat Bantu Berjalan

    • Doktor akan mengesyorkan penggunaan alat bantuan berjalan seperti tongkat atau walker untuk memberikan sokongan.
    • Tongkat boleh mengurangkan bebanan berat untuk sendi artritis, sekali gus dapat melegakan kesakitan.

 

3.Pembedahan

    1. Penggantian lutut – Tujuannya adalah untuk menggantikan semula sendi lutut yang rosak dan melegakan kesakitan. Logam dan plastik digunakan untuk menutup hujung tulang bagi membentuk sendi lutut, bersama dengan tempurung lutut.
    2. Osteotomi lutut – Pembedahan menjajarkan semula sendi untuk mengalihkan lebih banyak tekanan ke bahagian sendi lutut yang lebih baik dan mengurangkan haus dan lusuh pada bahagian yang rosak. Pembedahan ini boleh menangguhkan keperluan untuk pembedahan penggantian lutut sepenuhnya sehingga 10 tahun.
    3. Pemulihan rawan – Rangsangan tulang sumsum. Pembedahan ini adalah untuk merangsang pertumbuhan tulang rawan dengan membuat kepatahan mikro (microfractures) yang tepat pada tulang sekeliling.

 

Pusat Perubatan Sunway terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway, sila layari www.sunwaymedical.com.my.

 

###

 

Mengenai Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

Pusat Perubatan Sunway merupakan sebuah pusat perubatan kuaternari swasta terkemuka di Malaysia dan komited menyediakan pilihan penjagaan kesihatan bertaraf dunia. Pusat perubatan ini turut menawarkan perkhidmatan perubatan komprehensif yang merangkumi kemudahan dan teknologi perubatan canggih untuk program penjagaan kesihatan, kesihatan dan kesejahteraan pesakit luar dan pesakit dalam serta perkhidmatan kecemasan 24 jam. Ini ditambah dengan sistem sokongan yang terdiri daripada lebih 2,600 pengamal kesihatan profesional yang berdedikasi.

 

Bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin canggih, Pusat Perubatan Sunway telah mengembangkan bidang perkhidmatan perubatan khusus, meliputi bidang ilmu saraf hinggalah rawatan kanser yang maju, serta dari penyelidikan klinikal kepada teknologi bioperubatan. Beberapa bidang khusus termasuk Kanser, Wanita dan Kanak-kanak, Neurosains, Jantung dan Paru-paru , Tulang dan Sendi serta Kesihatan Pencernaan. Bidang kepakaran yang ditawarkan juga termasuk pemindahan buah pinggang, sumsum tulang serta implan kornea dan koklea.

 

Pusat Perubatan Sunway yang merupakan hospital utama di bawah Sunway Healthcare Group (SHG), telah meraih pelbagai pengiktirafan atas pencapaiannya yang membanggakan. Ia mendapat akreditasi Badan Piawaian Kesihatan Australia (Australian Council on Healthcare Standards, ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (Malaysian Society for Quality in Health, MSQH) bagi hospital swasta serta anugerah Syarikat Terbaik Tahunan bagi Hospital Pintar Malaysia Frost & Sullivan 2021. Pusat Perubatan Sunway bersedia meletakkan standard baru dalam perkhidmatan dengan menambahkan bilangan sehingga lebih 1,000 buah katil hospital. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway, sila layari: sunwaymedical.com 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!