113730

Adakah Tumor Dan Kanser Penyakit Yang Sama? Jom Dengarkan Penjelasan Ini - Suria FM - Segalanya Hiburan

Dapatkan penjelasan mengenai persoalan tumor dan kanser bersama Pakar Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah (Onkologi Klinikal) dan Mohd Ridhwan Bin Mat Daud (Pakar Terapi Radiasi) menerusi temubual di segmen Gaya Suria di Suria FM yang turut boleh disaksikan menerusi Facebook Suria FM.

 

 

 

 

 

 

 

 

Pastinya ramai mempunyai persoalan yang sama – Adakah tumor dan kanser merupakan penyakit yang sama dan bagaimana ingin mengetahui perbezaan antara kedua-duanya?

Menurut Dr Nik Aslan, Tumor dan Kanser adalah istilah umum digunapakai oleh orang ramai tetapi dalam konteks perubatan ianya berbeza definasi. Dalam perubatan, tumor merangkumi jenis tumor tidak bahaya (benign) dan tumor malignan. Kanser pula adalah terma khusus kepada tumor jenis malignan.

Jenis tumor Benign adalah pertumbuhan tanpa potensi untuk merebak, dan dimana Malignan pula adalah tipikal kanser yang menyerang dan merebak. Premalignant adalah pre-kanser dimana sel-sel sudah mula ada sifat tumor tetapi belum sampai ke tahap sifat kanser, ianya tidak berupaya menyerang dan merebak. Walaupun ianya jarang berlaku, tumor benign tidak mustahil boleh berkembang menjadi tumor maglinant.

 

 

Kanser boleh bermula hampir di mana sahaja di dalam tubuh badan manusia dan terjadi jika jenis sel telah hilang kawalan mekanisma dan membiak di dalam badan. Menjelaskan isu ini, Dr Nik Aslan berkata kanser boleh berkembang apabila terjadinya kerosakan pada mekanisme kawalan sel dan pelbagai faktor yang menyebabkan kerosakkan tersebut yang menjadikan pertumbuhan tidak terkawal.

Beliau turut menjelaskan bahawa tumor dikesan melalui pengesanan dan diagnosis melibatkan pemeriksaan fizikal, penyelidikan (darah atau radiologi) dan yang paling tepat adalah biopsi.

Antara jenis-jenis kanser yang biasa terjadi di kalangan orang Malaysia adalah kanser payudara, kolon atau usus besar dan paru-paru.

 

Kebanyakkan kanser boleh diubati jika dikesan lebih awal dan antara rawatan yang boleh diperolehi untuk perubatan kanser adalah seperti pembedahan, terapi fokus bukan terapi radiasi, terapi radiasi, kemoterapi, agen sasaran dan biologi, imunoterapi.

Bercerita mengenai radiasi, menurut pakar terapi radiasi, Mohd Ridhwan, terapi radiasi yang juga dikenali sebagai radioterapi menggunakan radiasi yang tinggi untuk membunuh sel kanser. Dan peranan sebagai pakar terapi radiasi di Pusat Kanser Sunway terbahagi kepada beberapa bahagian, yang pertama adalah perancangan rawatan radiasi. Di mana mereka perlu mengkaji semula rancangan rawatan yang diusulkan oleh pakar onkologi dan doktor perubatan dan menghasilkan gambar simulasi imbasan CT yang berkualiti untuk membantu menyelesaikan rawatan.

Kedua, mereka terlibat dalam penyampaian rawatan dan proses pengesahan. Pusat Perubatan Sunway menggunakan beberapa jenis mesin radioterapi untuk rawatan barah, seperti Linac, tomoterapi, CT Scan dan brachytherapy. Semasa rawatan, dos radiasi akan disampaikan kepada pesakit dengan tepat mengikut preskripsi ahli onkologi. Pakar onkologi turut akan dimaklumkan jika terdapat kesan sampingan daripada rawatan untuk tindakan selanjutnya.

 

Selain itu, pesakit juga memerlukan sokongan emosional kerana rawatan  yang dilakukan secara menyeluruh berlangsung selama beberapa hari dan dengan jangka masa yang panjang. Oleh itu, peranan pakar terapi radiasi juga perlu berada bersama pesakit sepanjang keseluruhan proses dan menjelaskan kepada pesakit dan ahli keluarganya secara amnya mengenai rawatan untuk meredakan kebimbangan atau kebimbangan mereka.

Menurut beliau lagi, radioterapi berfungsi melawan kanser dengan merosakkan gen (DNA) sel kanser. Gen sebenarnya mengawal bagaimana sel tumbuh dan membelah, apabila radiasi merosakkan gen, sel kanser tidak dapat tumbuh dan membelah lagi. Tetapi terapi radiasi tidak terus membunuh sel kanser. Ia mungkin memerlukan beberapa hari atau minggu rawatan sebelum DNA cukup rosak sehingga sel barah mati. Ini bermaksud radiasi dapat digunakan untuk membunuh dan mengecilkan sel-sel barah.

Menjalani terapi radiasi biasanya menakutkan bagi kebanyakan pesakit kanser tetapi menurut tinjauan terhadap pesakit kanser payudara, ramai yang mendapati pengalaman rawatan jauh lebih baik daripada yang dijangkakan.

Mohd Ridhwan menjelaskan ia kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai rawatan tersebut. Mereka mendengar banyak khabar angin dan mitos mengenainya. Pada beliau, komunikasi yang baik semasa menerangkan rancangan rawatan akan membantu pesakit merasa selesa untuk menjalani rawatan. Tambahan pula, dengan kemajuan teknologi dan teknik radioterapi, kesan sampingannya lebih terkawal berbanding sebelumnya. Sebelum rawatan bermula, pakar terapi radiasi akan melakukan verifikasi gambar untuk memeriksa kawasan rawatan menurut simulasi CT. Setelah kedudukan yang tepat disahkan, mesin radioterapi akan mengarahkan pancaran radiasi di tempat kanser. Mesin dikendalikan dari panel luar atau bilik kawalan, tetapi pesakit akan dipantau serentak dengan CCTV sepanjang proses rawatan.

 

Kesan sampingan rawatan radioterapi bergantung pada lokasi tempat rawatan, dos radiasi dan jangka masa rawatan. Secara amnya, pesakit akan mengalami kekeringan tekak, keletihan, loya, dan kemerahan kulit di kawasan rawatan. Rambut gugur juga boleh berlaku untuk rawatan di bahagian kepala dan cirit-birit jika melibatkan bahagian bawah badan. Semua kesan sampingan dapat diatasi dan biasanya pakar onkologi akan menetapkan ubat untuk mengatasinya.

Terdapat persoalan kesahihan mengenai rawatan radioterapi antaranya rawatan tersebut menjadikan mereka radioaktif. Mohd Ridhwan menjelaskan bahawa radiasi yang diterima semasa terapi radiasi tidak akan menjadikan pesakit menjadi radioaktif kerana kesannya akan hilang.

Oleh itu, terapi radiasi adalah salah satu prosedur yang selamat dalam rawatan kanser.

Dr Nik Aslan mengesyorkan ujian saringan bagi mencari dan merawat kanser di peringkat awal seperti mammogram dan ultrasound untuk payudara, low dose CT Scan untuk paru-paru dan ujian faecal occult blood (memeriksa darah di dalam najist) atau kolonoskopi untuk kolon.

Menurut beliau lagi ujian darah rutin boleh mengesan kanser tetapi tidak cukup tepat untuk mengesan kanser pada tahap awal. Tumor marker test pula bermanfaat dalam membantu membuat diagnosis dan memantau rawatan namun tidak semua tepat dan bergantung pada jenis kanser. Ujian genetik pula berupaya mengesan jika kita ada genetic keturunan dan memberi anggaran risiko kita menghidap kanser. Adalah disarankan untuk berunding dengan pakar genetik sebelum melakukan ujian genetik untuk kanser kerana ianya perlu penerangan yang jelas sebelum dilakukan.

Dr Nik Aslan juga menjelaskan bahawa sebilangan kanser seperti kanser payudara dan kanser usus  berisiko tinggi untuk menghidapi ahli keluarga lain namun ramai tidak semua kanser mempunyai risiko untuk keluarga mereka.

 

 

 

 

 

 

Pesakit kanser merupakan antara mereka yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan menurut garis panduan nasional, pakar mengesyorkan pesakit kanser boleh mendapatkan vaksin tiga bulan setelah menyelesaikan rawatan barah aktif. Namun, bergantung kepada jenis kes-kes individu, vaksin boleh diberikan semasa dalam rawatan tetapi ini harus dibincangkan dengan pakar onkologi yang merawat tentang manfaat dan risiko mendapat vaksin semasa menjalani rawatan.

Pada yang menjalani pembedahan pula, vaksin boleh diberi apabila telah pulih sepenuhnya pembedahan.

Ketahui lebih dan terperinci mengenai semua persoalan anda menerusi temubual ini secara langsung di sini

 

 

 

Untuk maklumat lanjut serta promosi perubatan dan kesihatan, layari laman web Pusat Perubatan Sunway di https://www.sunwaymedical.com/promotion/.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!