91424

Amari Hua Hin Janjikan Percutian Hebat - Suria FM - Segalanya Hiburan

Hua Hin, destinasi percutian kegemaran kerabat Diraja Thailand yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Biarpun ia tidak menjanjikan pengalaman membeli-belah seperti di kota Bangkok, namun destinasi ini punya magnet yang menarik kedatangan pelancong.

Keindahan pantai dan pemandangan matahari terbitnya menjadi bualan mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sini. Jadi, mungkin sudah tiba masanya untuk anda merancang percutian di sini.

 

Untuk pengalaman percutian lebih menggembirakan, pilihlah penginapan yang punya lokasi ideal serta fasiliti memberangsangkan. Lebih-lebih lagi jika percutian itu untuk meredakan tekanan dan memanjakan diri.
Amari Hua Hin merupakan salah satu hotel yang boleh dijadikan pilihan. Bertaraf 4.5 bintang, hotel ini menjanjikan keselesaan dan perkhidmatan eksklusif untuk setiap tetamu. Menampilkan seni bina kontemporari, Amari Hua Hin menawarkan enam jenis penginapan yang lengkap dengan kemudahan kelas pertama serta hiasan dalaman bergaya.

Pengalaman menyeronokkan bermula sebaik sahaja kaki melangkah masuk lobi hotel. Petugas hotel akan menyambut kedatangan anda dengan senyuman mesra. Lantas segelas minuman segar dan tuala hangat dihulurkan sebaik sahaja mereka tahu anda mahu mendaftar masuk. Selesai urusan daftar masuk yang mengambil masa kurang dari 10 minit, petugas hotel akan mengiringi anda ke bilik.

Melangkah masuk ke bilik, hati pasti lebih berbunga-bunga. Penampilan bilik yang serba moden dan mewah seolah-olah menghalang tetamu daripada meninggalkan bilik. Tilam dan bantal yang empuk menjanjikan tidur lena setelah seharian menghabiskan masa dengan pelbagai aktiviti di siang hari.

Satu fakta yang perlu anda tahu, setiap jenis bilik mempunyai balkoni persendirian untuk memberi peluang kepada tetamu bersantai sambil menikmati secawan kopi atau teh. Jika mahu menikmati keindahan matahari terbit, pilih bilik yang punya pemandangan laut seperti Deluxe Ocean Facing View, Family Suite atau One Bedroom Suite. Jika tidak, panjangkan langkah ke pantai untuk menikmati magis alam ini. Sesekali apa salahnya bukan?

Selain itu, jangan lupa singgah ke Shoreline Beach Club yang terletak di tepian pantai Hua Hin. Berlatarkan pemandangan laut, di sini anda boleh bermalas-malasan di tepian kolam renang sambil menikmati hidangan berkonsep Mediterranean-Thailand.

Antara menu yang boleh dicuba ialah Grilled Prawn and Pomelo Salad dan Seafood Grill. Kedua-dua menu yang berharga THB390 dan THB1450 ini menjanjikan letusan rasa yang cukup menyelerakan. Menghabiskan masa di sini membuatkan mood percutian lebih memuncak. Lupa seketika rutin harian yang memenatkan.

Jika bersantai di tepian kolam renang masih belum memuaskan hati, lanjutkan aktiviti dengan memanjakan diri di Breeze Spa.

Spa yang terletak berhampiran Reef Deli & Wine Lounge ini menawarkan pelbagai rawatan yang elegan, sesuai untuk anda berehat dan mevitalisasikan diri semula.

Terdapat rawatan ‘Therapy Mood’ yang boleh dicuba. Therapy Mood cukup istimewa kerana ia merupakan rawatan urutan badan yang terdiri daripada pilihan Dreamy, Serene, Rejuvenated, Invigorated atau Energized. Jadi, bergantung kepada keperluan tubuh badan anda. Jika tidak pasti jenis urutan yang diingini, petugas spa sedia membantu.

Selain urutan badan, terdapat juga rawatan rambut, kuku dan kecantikan untuk lelaki dan wanita di Breeze Salon yang terletak bersebelahan. Percayalah, kunjungan anda ke Breeze Spa akan mengukir senyuman di wajah.Untuk maklumat lanjut atau tempahan bilik, sila layari https://www.amari.com/huahin/

sumbangan : Rahayu Mat Nah

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!