90130

Amari Phuket Buat Seisi Keluarga! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Phuket merupakan salah satu destinasi percutian pulau yang paling popular di Asia Tenggara. Biarpun satu ketika dulu ia pernah menjadi perhatian dunia gara-gara dipukul ombak tsunami, Phuket kini bangkit semula sebagai pusat hiburan buat mereka yang mencari ketenangan di tepi pantai serta sedikit hiburan sampingan .

Terkenal dengan Pantai Patong yang menjadi pusat segala aktiviti Phuket, kota ini juga diwarnai dengan ratusan tempat-tempat penginapan yang menarik. Di antara hotel yang paling popular di Patong adalah Amari Phuket. Hotel yang berada di bawah payung jenama hotel Amari dan Onyx Hospitality Group ini terletak 45 minit dari lapangan terbang antarabangsa Phuket dan antara 15 hingga 20 minit sahaja dari pantai Karon, Kata dan juga Surin. Sungguhpun begitu, ia menempati satu kawasan yang besar di atas bukit di tepi pantai Patong sendiri.

Terbahagi kepada beberapa sayap iaitu sayap Superior atau Deluxe dan juga sayap Ocean, kesemua unit penginapan direka khas bagi menepati ciri-ciri pelancong masa kini. Terdapat pelbagai jenis bilik, termasuklah yang bertema khas dengan satu atau dua bilik tidur yang diwujudkan bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak.

Malah buat kanak-kanak terdapat Kids Club bagi mereka yang beranak kecil. Di sini ada kemudahan seperti aneka permainan dan macam-macam lagi .

Berdekatan Club Lounge pula terdapat beberapa unit khas yang sangat eksklusif di mana terdapat sebuah kolam renang peribadi di sayap ini yang istimewa disediakan bagi mereka yang menginap di bilik dengan akses ‘Club’.

Hotel ini mempunyai beberapa buah kolam renang berasingan mengikut sayap masing-masing. Selain kolam renang dan, para tamu boleh juga memanjakan diri di Breeze Spa dan bersenama di pusat gimnasium. Para pengunjung juga boleh mencuba aktiviti-aktiviti lain yang tersedia di hotel ini seperti, pakej lawatan bersiar-siar, pakej membeli-belah dan jalan-jalan, aktiviti menyelam dan banyak lagi.

Soal menjamu selera pula terdapat banyak tempat makan di hotel ini. Di antaranya Rim Talay, Samutr Bar, dan juga La Gritta yang terkenal dengan aneka sajian antarabangsa serta hidangan khas Thai.

Pendek kata, hotel ini mempunyai segala-galanya bagi mereka yang ingin bercuti dan bergembira bersama yang tersayang. Jadi pastikan ia menjadi salah satu hotel pilihan anda jika berwisata ke Phuket.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!