
/wp-content/uploads/2021/05/TEASER-SUNWAY_1080X1080_-1.jpg)
Setelah sebulan berpuasa, pastinya semua akan meraikan Hari Raya yang bakal menjelang tiba dengan penuh kemeriahan disamping pelbagai juadah raya yang lazat. Namun begitu, kita tetap perlu berjaga-jaga dalam pengambilan makanan untuk menjaga kesihatan usus semasa Hari Raya.
Menerusi temubual di segmen Gaya Suria di Suria FM, Dr Sheikh Anwar Abdullah, Pakar Gastroenterologi & Hepatologi dan Saw Bee Suan, Pakar Pemakanan daripada Pusat Perubatan Sunway telah menerangkan secara terperinci mengenai kesihatan usus semasa hari raya.
Temubual yang bersiaran secara langsung menerusi akaun Facebook Suria FM bersama moderator iaitu penyampai Suria, Feeya Iskandar ini memberi tumpuan kepada masalah-masalah kesihatan seperti saluran pencernaan, saluran gastrointestinal dan hati serta diet.
Dr Sheikh Anwar menyatakan bahawa proses pencernaan mempunyai tiga peringkat iaitu fasa cephalic, gastrik dan usus. Fasa-fasa ini menentukan tahap makanan dicerna selepas makan. Fasa cephalic adalah fasa dimana perut bertindak balas terhadap penglihatan, bau, rasa atau pemikiran makanan semata-mata manakala fasa gastrik adalah tempoh makanan dan protein separa pencernaan mengaktifkan aktiviti gastrik. Fasa usus pula merupakan aktiviti gastrik sederhana melalui hormon dan refleks saraf.
Jangan tak tahu, antara masalah kesihatan yang sering berlaku semasa Hari Raya adalah seperti kembung, pedih ulu hati, sembelit, cirit-birit dan muntah. Jadi apakah petua untuk semua orang menikmati makanan raya sambal memastikan kesihatan usus mereka terjaga?
Saw Bee Suan berkata, bagi menjaga kesihatan usus semasa raya, orang ramai boleh menikmati pelbagai jenis makanan yang lazat tetapi tetapkan prinsip utama pemakanan sihat seperti rasa makanan yang anda sukai dalam jumlah yang kecil, gunakan pinggan lebih kecil, mengunyah perlahan, minum air kosong secukupnya, pilih makan berserat tinggi seperti buah segar.
Untuk dyspepsia atau gangguan pencernaan yang sering terjadi pada orang Malaysia, individu yang mempunyai ulser peptik, penyakit gastroesophageal reflux (GERD), tumor perut, pankreatitis, barah hati atau mengambil Ubat Anti-Radang Non-Steroid (NSAID) adalah lebih cenderung mengalami gangguan pencernaan.
Menurut Dr Sheikh Anwar, apabila anda atau anak anda merasakan sakit dan ketidakselesaan di perut, perhatikan gejala yang membimbangkan seperti muntah berterusan, sakit teruk, penurunan berat badan, darah dalam najis, gejala nokturnal, cirit-birit berterusan dan demam. Menerusi gejala inilah boleh anda boleh segera mendapatkan rawatan perubatan dan mendidik anak-anak menggambarkan ketidakselesaan mereka.
Temubual ini juga menerangkan tentang bagaimana pedih ulu hati atau penyakit gastroesophageal reflux (GERD), dapat dikendalikan dan dirawat antaranya adalah perubahan gaya hidup, posisi kepala di hujung katil, elakkan makan 3 jam sebelum tidur, dan penurunan berat badan.
GERD juga dapat dirawat melalui anti asid, proton pump inhibitors (PPI), antagonis reseptor H2 dan prokinetik.
Pesakit yang mengalami kesan sampingan atau ingin menghentikan terapi perubatan kronik boleh memilih untuk menjalani terapi pembedahan seperti fundoplication. Terapi pembedahan juga merupakan pilihan bagi mereka yang mengalami gejala atau regurgitasi.
Dr Sheikh Anwar juga menyatakan bahawa ubatan anti asid yang dibeli di kaunter farmasi untuk melegakan gangguan pencernaan dan pedih ulu hati tidak menjadi masalah jika mengalami gejala ringan. Namun jika simptom berterusan, lebih elok untuk dapatkan nasihat perubatan.
Dari segi diet pula, Saw Bee Suan menerangkan tentang trend terkini penggunaan probiotik untuk memelihara kesihatan sistem pencernaan. Menurut beliau, probiotik adalah mikroorganisma hidup yang apabila diberikan dalam jumlah yang mencukupi mungkin dapat memberikan manfaat kesihatan kepada badan. Apabila bakteria usus menjadi tidak seimbang, misalnya kerana antibiotik atau cirit-birit, probiotik dapat membantu mengembalikan keseimbangan. Malah, kajian turut mendapati bahawa probiotik berpotensi meningkatkan pencernaan, mengurangkan cirit-birit dan melegakan sembelit.
Walaupun probiotik mungkin memberikan hasil yang positif, para penyelidik masih berusaha untuk memahami bagaimana probiotik dapat membantu dengan pelbagai keadaan. Beliau memperingatkan sesetengah orang yang mempunyai sistem imun yang rendah adalah tidak digalakkan mengambil suplemen probiotik. Anda disarankan untuk meminta nasihat doktor untuk memastikan apa yang anda cuba itu betul dan dalam jumlah yang tepat.
Antara tips untuk mendidik anak-anak anda untuk berpuasa adalah mengajak mereka untuk berpuasa seawal usia 6-7 tahun. Mungkin anda boleh mulakan dengan membenarkan mereka untuk mencuba berpuasa selama setengah hari dan sediakan makanan kegemaran mereka sebagai juadah berbuka puasa.
Ketahui lebih dan terperinci mengenai semua persoalan dan petua kesihatan daripada Dr Sheikh Anwar Abdullah dan Saw Bee Suan menerusi temubual ini secara langsung di sini.
Saksikan rakaman temubual di sini: https://www.facebook.com/watch/?v=821611235377892
Untuk maklumat lanjut serta promosi perubatan dan kesihatan, layari laman web Pusat Perubatan Sunway di https://www.sunwaymedical.com/promotion/.