115270

Apabila Jantung Berdegup Kencang – Adakah Ini Cinta atau Aritmia? - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pusat Perubatan Sunway berkongsi keadaan lazim mengenai penguncupan ventrikel pramatang (PVC). Biarkan degupan jantung anda hanya untuk si dia yang tersayang

 

Bayangkan diri anda sebagai teraju utama dalam sebuah filem romantis. Anda sedang menunggu temu janji di dalam sebuah kafe. Tidak lama kemudian pintunya terbuka dan jejaka atau gadis idaman anda melangkah masuk ke arah anda dengan senyuman. Tapak tangan anda serta-merta berpeluh, lutut anda terasa lemah dan jantung anda berdegup kencang.

 

Walaupun situasi yang membuatkan jantung anda berdegup kencang ini sering digunakan dalam konteks jatuh cinta, namun dalam konteks perubatan, degup jantung yang laju mungkin menunjukkan gejala anda mengalami penguncupan ventrikel pramatang (PVC).

 

“Ia adalah perkara biasa,” kata Dr How Ann Kee, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway. “Sesetengah orang mengalaminya, manakala sebahagian yang lain tidak. Bagi sesetengah orang, keadaan PVC mereka hanya dikesan pada elektrokardiogram (ECG) semasa pemeriksaan kesihatan.

 

Walaupun PVC agak lazim berlaku, iaitu hampir 50 peratus individu pernah mengalami PVC sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, ini tidak bermakna PVC harus diabaikan, terutamanya jika ia mengganggu fungsi jantung atau menyebabkan gejala lain yang ketara. Jadi, persoalannya ialah: Adakah cinta ini, keterujaan.. atau PVC?

 

Adakah PVC Perlu Dirisaukan?

 

Penguncupan ventrikel pramatang (PVC, atau kompleks ventrikel pramatang) ialah impuls elektrik tambahan yang timbul daripada ruang bawah jantung (ventrikel). Ia menyebabkan degupan jantung terganggu. Anda mungkin berasa seperti jantung anda berdebar-debar kerana degupan jantung yang dilangkau atau degupan kuat yang luar biasa.

 

PVC biasanya tidak menimbulkan masalah kepada anda atau kesihatan anda, dan kebanyakan PVC adalah terpencil – bermakna ia berlaku sekali dalam satu masa. Tetapi, perasaan degupan jantung dilangkau boleh membuatkan pesakit tidak selesa.

 

PVC menjadi kebimbangan jika ia kerap berlaku. Menurut Dr How, jika beban PVC melebihi 15%, ia dianggap berlebihan dan boleh mengakibatkan disfungsi ventrikel kiri. Bagi memberi gambaran lebih jelas dalam konteks nombor, purata jantung manusia berdegup kira-kira 100,000 kali sehari, dan jika mengalami 15,000 PVC sehari bersamaan kira-kira 15 peratus beban PVC.

 

Punca Jantung Berdegup Kencang.. Dan Ia Bukan Kerana Cinta

 

PVC adalah perkara biasa, dan puncanya adalah idiopatik atau tidak diketahui. Dr How menjelaskan bahawa PVC boleh berlaku kepada individu yang sihat dengan struktur jantung normal tanpa mengira peringkat umur. Ia juga boleh berlaku kepada pesakit yang mempunyai masalah jantung atau pernah menjalani pembedahan jantung.

 

Terdapat juga faktor kesihatan lain yang boleh memburukkan lagi keadaan PVC. Ini termasuklah:

  • Terlebih kafein
  • Ketidakseimbangan elektrolit
  • Kurang tidur
  • Pengambilan alkohol, tembakau atau dadah berlebihan

Adakah PVC Berbahaya?

Langkah pertama untuk mendiagnosis PVC ialah dengan melakukan elektrokardiogram (ECG). Doktor juga mungkin mengesyorkan monitor Holter yang akan merekod degupan jantung seseorang selama tempoh 24 jam.

“Ia akan menilai beban PVC, sekali gus menentukan pelan rawatan PVC yang sesuai,” jelas Dr How.

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin meminta pesakit melakukan ujian senaman stress yang dipantau sekiranya simptom didapati berkait dengan tenaga, atau ekokardiografi untuk penilaian struktur dan fungsi jantung. Keputusannya adalah lebih baik jika pesakit tiada penyakit jantung berstruktur kerana beban PVC yang tinggi boleh mengakibatkan disfungsi ventrikel kiri.

Rujuk pakar jika anda..

 

Rawatan untuk PVC bergantung kepada beban PVC, gejala dan kehadiran disfungsi jantung. Bagi PVC yang jarang berlaku, pengurusan biasanya konservatif. Walau bagaimanapun, jika PVC kerap berlaku, dan pesakit mempunyai simptom, Dr How akan mengesyorkan ubat-ubatan yang bertujuan untuk mengurangkan beban PVC.

 

“Tindak balas terhadap ubat adalah berbeza bagi setiap individu. Pada pesakit yang tidak bertindak balas terhadap ubat, kaedah ablasi kateter adalah disyorkan,” tambah Dr How.

 

Kajian elektrofisiologi (EPS) dan ablasi kateter ialah prosedur yang dilakukan oleh pakar elektrofisiologi jantung, iaitu pakar kardiologi dengan subkepakaran dalam penyakit ritma jantung.

 

PVC biasanya tidak mengancam nyawa. Walau bagaimanapun, PVC yang kerap boleh mengakibatkan kegagalan jantung. Ablasi kateter boleh menghilangkan PVC dan meningkatkan fungsi jantung.

 

Pengesanan PVC sekurang-kurangnya akan mendorong penilaian terperinci pada jantung anda kerana pesakit dengan PVC didapati mempunyai keputusan perubatan yang lebih baik dan berpotensi disembuhkan jika dirawat lebih awal dan sewajarnya.

 

Tambahan pula, lebih baik jika ritma jantung itu dinyanyikan untuk orang yang tersayang anda sahaja.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!