73316

Belajar Sambil Berlibur di Bali! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pulau Seribu Kuil dan Pulau Dewata adalah di antara gelaran yang diberi kepada Pulau Bali. Jolokan ini menambahkan lagi elemen misteri dan mitos yang menjadi salah satu daya tarikan pelancong. Berada di Pulau Bali anda akan merasakan diri begitu dekat dengan alam. Ini kerana budaya Bali yang menghormati alam semulajadi serta mempercayai bahawa setiap hidupan flora dan fauna mempunyai rohnya tersendiri.

Pastinya Kuta, Legian dan Seminyak merupakan tumpuan utama pelancong yang mahukan percutian santai di sekitar pantai. Bagi mereka yang menghargai senibina bangunan lama dan kuil, lokasi pelancongan seperti Uluwatu, Tanah Lot serta Bedugul adalah antara lokasi yang wajib dilawati. Namun, terdapat banyak lagi lokasi yang belum diterokai di Pulau Bali ini.

Jika mahukan suatu percutian yang sedikit bebeza, Bali Edu Tours and Travel menyediakan pakej pelancongan ‘Edu-Culture’ dan ‘Edu-Adventur’e. Pakej ini memberi peluang kepada mereka yang inginkan suatu pengalaman eksplorasi Bali yang lebih intim dan mengenali pulau dewata ini dari sudut pandangan yang berlainan. Suria berpeluang menerokai tiga lokasi kali ini iaitu eksplorasi ke Bukit Abah, menyelami kehidupan petani garam di Pantai Kusamba dan mempelajari proses pembuatan kopi Arabika di pergunungan Kintamani.

bukit-tabur
Gunung Batur, Gunung Abang dan Gunung Agung

Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Kuta untuk tiba ke Bukit Abah. Sepanjang perjalanan ke Bukit Abah langit Bali dihiasi dengan pelbagai warna dan bentuk layang-layang kerana pada masa yang sama berlangsungnya festival layang-layang di Padang Galak.

bukit-abah3
Bukit Abah

Setibanya di kaki Bukit Abah, suhu berubah menjadi sedikit dingin dan hirupan udara segar menandakan bahawa kami hampir tiba ke destinasi. Jalan kenderaan yang sempit dan berliku menunjukkan bahawa lokasi ini belum lagi dikomersilkan sepenuhnya kepada pelancong. Sepanjang perjalanan dengan menaiki kenderaan ke puncak bukit, kelihatan beberapa aliran mata air menuruni lereng-lereng bukit terasa seolah-olah alam menyambut kedatangan kami.

Perasaan sedikit bangga apabila Bapak Made Sukana pemandu pelancong kami dari Bali Tours Edu memberitahu bahawa kami adalah pelancong pertama dari Malaysia yang sampai menjejakkan kaki ke sini. Agak teruja kerana tidak dapat menjangkakan apakah pengalaman yang bakal diraih dari eksplorasi ini. Kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk setempat dan seterusnya diperkenalkan dengan Bapak Gede Sudarsa yang membawa kami mendaki serta menyelusuri sekitar kampung di Bukit Abah. Menurut beliau sumber pendapatan utama penduduk di Bukit Abah ialah perusahaan nira kelapa. Seterusnya kami dibawa mendaki ke puncak Bukit Abah dan menjamu santapan mata yang paling indah apabila tiba di puncak. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki, Bukit Abah adalah antara lokasi di Bali yang perlu anda jejaki.

bukit-abah2
Bukit Abah
bukit-abah-1
Bukit Abah

Dari Bukit Abah kami menuruni landskap berbukit bukau menuju ke Pantai Kusamba. Perjalanan mengambil masa selama 45 minit terasa singkat kerana melalui kawasan perkampungan dan hamparan sawah padi yang menghijau. Setibanya di Pantai Kusamba kami agak terpegun melihat warna pasir di persisir pantai. Ungkapan pasir nan putih bukanlah untuk Pantai Kusamba. Pasirnya berwarna kehitaman di selang seli dengan kilauan seolah-olah berlian. Warna dan kilauan pasir ini adalah mineral hasil daripada aktiviti letusan gunung berapi semenjak beratus tahun dahulu.

garam2
Pantai Kusamba

Kami dibawa melihat kehidupan petani garam di Desa Nelayan Kusamba. Perusahaan pembuatan garam secara tradisional ini merupakan suatu pekerjaan yang semakin dilupakan. Penghasilan garam bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca. Beberapa langkah perlu dilakukan sebelum mendapat hasil garam laut ini. Walaubagaimanapun, sekiranya cuaca tidak menyebelahi dan hujan segala proses yang dilakukan tidak akan dapat menghasilkan garam. Mereka perlu melakukan proses tersebut semula dari awal. Pendedahan kepada proses pembuatan garam tradisional ini menyedarkan kami akan jerih perih petani garam ini untuk menghasilkan garam laut yang berkualiti.

garam1
Petani garam di Desa nelayan Kusamba
garam3
Petani garam di Desa Nelayan Kusamba

Keesokannya perjalanan kami diteruskan ke pergunungan Kintamani untuk melihat proses penghasilan kopi Arabika. Dengan ketinggian 900 meter dari aras laut, segala proses pembuatan kopi dikawal dengan teliti bagi menjamin kualiti kopi yang terbaik. Kami dibawa ke ladang kopi sehinggalah ke proses pengeringan dan akhirnya pembungkusan. Apa yang menarik ialah pokok kopi tidak dapat hidup dengan sendirinya. Setiap pokok kopi yang ditanam akan di selang-selikan dengan tanaman lain seperti pokok limau dan pokok pisang agar pokok kopi dapat dilindungi dari cahaya matahari. Untuk sekalian kalinya alam mengajar kami bahawa tidak ada sebarang kehidupan di dunia ini yang mampu hidup bersendirian. Setiap hidupan memerlukan antara satu sama lain.

kopi-1
Perusahaan kopi Kintamani
kopi-3
Perusahaan kopi Kintamani
kopi2
Perusahaan kopi Kintamani

Peribahasa mengatakan jauh perjalanan luas pemandangan. Ertinya lebih banyak tempat yang dilawati maka lebih banyak ilmu yang didapati. Kini, ramai yang menjadikan mantra ini untuk mengembara mahupun melancong. Jika Pulau Bali menjadi destinasi anda, bukan sahaja anda dapat berlibur bahkan memperolehi pengetahuan baru sekiranya ke lokasi pelancongan ini. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila anda belajar dan berlibur di Bali. Untuk maklumat lanjut layari www.baliedutours.com

sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar

 

Untuk lebih banyak ulasan destinasi dan penginapan klik di sini

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!