86189

Bibit-bibit Berlin - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

Berlin, ibu negara Jerman mungkin tidaklah sepopular jika dibandingkan dengan bandaraya Eropah yang lain seperti London ataupun Paris.

Namun kota yang terletak di Eropah Utara ini semakin lama semakin terkenal di kalangan para pelancong Eropah dan juga Asia. Menyimpan sejarahnya tersendiri, Berlin masih kaya dengan unsur-unsur peninggalan zaman perang dunia pertama dan kedua yang membuatkan beberapa sudut kota kelihatan seperti dipetik dari buku sejarah.

Dianggap sebagai salah satu kota termaju di Eropah berkat arus kemodenan dunia dari segi gaya hidup serta pembangunan, kawasan lama Berlin turut menjadi tarikan pelancong. Dengan masih banyak sisa-sisa sejarah di daerah-daerah terdahulu bandaraya ini, para pengunjung dari serata dunia pasti tertarik dengan peninggalan dulu kala yang ada. Seperti kebanyakan negara Eropah, Berlin masih ada rekaan senibina klasik yang indah dan malar segar.

Bagi yang memasuki Berlin lewat jalan udara, ada beberapa lapangan terbang antarabangsa di Berlin namun semuanya tersambung dengan sistem U-Bahn (tren bawah tanah) dan keretapi darat yang sangat cekap dan teratur.

Dan untuk memudahkan perjalanan sekitar bandaraya ini, para pelancong boleh membeli ‘Berlin Welcome Card’. Ia merupakan kad khas yang membolehkan pengguna menaiki pengangkutan awam ke mana sahaja sekitar Berlin tanpa had mengikut jumlah hari yang ditetapkan. Kad ini boleh dibeli di lapangan terbang, stesen keretapi dan beberapa kedai tertentu. Lebih menarik lagi, kad ini juga membolehkan pelancong mendapat potongan harga untuk melawat tempat-tempat tertentu. Selain itu, kanak-kanak di bawah 14 tahun boleh menaiki pengangkutan awam secara percuma!

Senibina indah Berlin dapat dinikmati dengan lebih cepat dan mudah jika menaiki bas pesiar ‘Hop On Hop Off’ yang disediakan khas buat pelancong. Ia akan melalui jalan-jalan serta bangunan-bangunan utama bandaraya tersebut. Kesemua penumpang bas akan diberi alat pendengar dalam pelbagai bahasa (termasuk Bahasa Melayu yang diselang-selikan dengan Bahasa Indonesia).

Antara bangunan popular yang menjadi tarikan ramai adalah Fernsehturm (TV tower) atau Menara TV di Alexanderplatz. Ia adalah antara struktur tertinggi di Kesatuan Eropah dengan ketinggian 368 meter. Dibina pada 1969, terdapat tingkat observasi khas yang membolehkan pengunjung melihat kota Berlin dari ketinggian 204 meter.

Tidak dilupakan juga adalah Rotes Rathaus (Dewan Bandaraya), yang sinonim dengan seni bina batu bata merahnya.

Semestinya mercu tanda Berlin yang paling popular adalah Brandenburg Gate atau pintu gerbang Brandenburg. Ia merupakan mercu tanda ikonik Berlin dan Jerman yang berdiri sebagai satu lambang keamanan serta penyatuan dalam sejarah Eropah. Ia sering diabadikan di dalam poskad serta imej-imej pelancongan Jerman. Gerbang tersebut memang kelihatan begitu indah di waktu malam dan siang. Ia mudah ditujui kerana bersambung dengan stesen-stesen U-Bahn yang lain.

Selain kawasan tersebut, Berlin sudah tentu terkenal dengan runtuhan tembok Berlin yang satu ketika dahulu merupakan tembok pemisah antara Jerman Barat dan Jerman Timur sewaktu perbezaan ideologi dan kuasa politik. Ia akhirnya diruntuhkan pada tahun 1989 setelah kedua-dua belah Jerman bersatu semula hingga ke hari ini.

Berlin juga boleh dilawati melalui jalan air dengan menaiki bot-bot pesiar yang melalui sungai utama Berlin iaitu Spree. Ia memberi pandangan berbeza dari jalan darat yang biasa dilalui.

Soal menjamu selera juga tidak menjadi masalah bagi yang beragama Islam kerana terdapat banyak penduduk berketurunan Turki dan negara-negara Arab lain yang seagama. Mereka membuka banyak cawangan restoran Halal di seluruh Jerman. Di pusat membeli-belah Mall of Berlin di tingkat paling atas terdapat beberapa gerai yang menjual makanan halal termasuk burger yang lazat.

Untuk pilihan penginapan pula, Berlin tidak ketandusan pilihan, dari hotel bajet yang paling murah serta hostel hinggalah yang paling mewah, semuanya ada di Berlin. Dengan reputasi sebagai kota yang bebas dan unik, banyak hotel butik yang ranggi dengan senireka dalaman yang sangat menarik seperti 25 Hours Hotel berdekatan Zoo Berlin dan Riu Plaza di pusat kota. Dan harga hotel-hotel ini sangat berpatutan bersesuaian dengan perbandingan harga hotel-hotel Eropah lain.

Dengan begitu banyak sejarah dan tempat menarik yang terkandung di dalam kotanya, Berlin benar-benar utuh sebagai sebuah bandaraya wisata di Eropah. Ia benar-benar gah dan pasti bakal disenangi pengunjung.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!