91371

Bilik Selesa dan Daging Halal di Sheraton Grande Sukhumvit, Bangkok - Suria FM - Segalanya Hiburan

Nama Sheraton bukanlah satu nama yang asing dalam dunia perhotelan. Sebut sahaja nama hotel ini, pasti ramai tahu jenamanya yang sering dikaitkan dengan kemewahan serta perkhidmatan yang baik.

Tersergam di tengah-tengah bandaraya Bangkok, The Sheraton Grande Sukhumvit berdiri megah menghiasi latar belakang pusat kota Thailand. Berdekatan dengan pusat membeli-belah Terminal 21 serta stesen Skytrain BTS Asok dan stesen MRT bawah tanah Sukhumvit, hotel berjenama antarabangsa ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah dan selesa.

Hotel ini mempunyai 420 buah bilik yang luas termasuk beberapa bilik suite yang hebat. Ini termasuklah beberapa suite khas mirip villa berunsur rumah istana tradisional Siam. Secara umum, kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya moden dan kontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang. Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi TV LCD, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi serta barangan berjenama mewah yang lain.

Bagi tujuan menjamu selera pula, Sheraton Grande Sukhumvit menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap. Lebih istimewa, kesemua daging (lembu, ayam dan kambing) yang disajikan adalah dijamin halal. Ini termasuklah di restoran Orchid Cafe: bagi tujuan sarapan, makan tengah hari dan makan malam, Restoran Basil yang menyajikan makanan Thai terbaik. Tidak dilupakan juga adalah The Living Room bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta The Sala yang terletak di kolam renang buat mereka yang ingin dikelilingi ketenangan berada berdekatan gimnasium untuk bersenam.

Untuk memanjakan diri, bolehlah singgah ke Grande Spa, sebuah spa mewah yang menawarkan rawatan serta urutan asli Thailand yang memang terkenal seluruh dunia.

Selain kolam renangnya dan juga pusat kesihatan serta senaman, hotel ini turut dilengkapi dengan ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya.

Dengan pemandangan terhebat bandaraya Bangkok dari setiap jengukan jendela, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi. Sekiranya berpeluang ke Bangkok, bermalamlah di Sheraton Grande Sukhumvit kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!