96025

Bombshell : Kisah Benar Gangguan Seksual Dalam Industri Penyiaran - Suria FM - Segalanya Hiburan

Untuk memulakan tahun 2020, Hollywood menyajikan sebuah filem menarik untuk tontonan para peminat kisah benar. Filem yang berjudul Bombshell menceritakan kisah benar yang berlaku di balik kes gangguan seksual yang pernah dialami oleh beberapa orang pembaca berita dan pengacara televisyen stesen TV terkenal Amerika Syarikat, Fox News.

Cerita bermula kala salah seorang pengacara paling senior yang juga bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss America, Gretchen Carlson (lakonan Nicole Kidman) mula menghadapi masalah dengan ketua rangkaian televisyennya Roger Ailes (John Lithgow) yang mengeluarkannya dari slot TV paling popular selepas enggan mengadakan hubungan seks dengannya.

Carlson kemudian mengambil langkah berani dengan menyaman Ailes atas tuduhan tersebut dan mula menggegarkan industri media Amerika Syarikat. Ailes yang merupakan seorang lelaki berpengaruh dalam industrinya kemudian menghadapi tuduhan lain daripada ramai wanita yang pernah bekerja dengannya.

Filem ini juga mengupas apa yang berlaku di dalam pejabat lelaki seperti Ailes yang menuntut pelbagai perkara tidak senonoh daripada pekerja wanita yang ingin menjadi terkenal dan berjaya dalam industri penyiaran.

Ia memberi gambaran kepada masyarakat tentang rintangan yang sering dihadapi wanita berkerjaya di zaman moden ini. Ia juga membuktikan bahawa keberanian dan kebenaran mampu mengubah hidup seseorang.

Filem hebat ini menampilkan lakonan mantap bintang-bintang tersohor masa kini seperti Nicole Kidman, Charlize Theron, Margot Robbie dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Bombshell bermula 2 Januari di semua pawagam seluruh Malaysia.

Artikel sumbangan: Shah Shamshiri

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!