87063

Casa Del Rio : Bagai Istana di Tengah Bandar Bersejarah - Suria FM - Segalanya Hiburan

Terpahat indah di pusat bandaraya Melaka dan segala peninggalan sejarahnya, adalah Casa del Rio Melaka, sebuah hotel terkini yang baru sahaja menyertai senarai tempat-tempat penginapan terbaik di situ. Bangunan yang kelihatan mirip sebuah istana kubu di tepi Sungai Melaka itu dilengkapi dengan 66 bilik mewah sahaja dan mempunyai hiasan dalaman terindah dan menenangkan mata. Kesemua suite eksklusif ini mempunyai nuansa Mediterranean dan Peranakan, bersesuaian dengan warisan bandar Melaka yang mempunyai banyak pertembungan budaya Eropah dan Asia.

Hotel ini mempunyai lokasi yang sangat strategik dan berdekatan dengan semua daya tarikan bandar bersejarah ini. Antaranya termasuklah tapak-tapak bersejarah seperti gereja merah St. Paul, serta muzium, pusat membeli belah, restoran dan jalan paling terkenal di Melaka, Jonker Walk.

Kesemua bilik-bilik suite di sini mempunyai beranda dengan pilihan pemandangan Sungai Melaka atau kawasan Lago hotel (kolam air pancuran). Ia juga merupakan satu-satunya hotel di Melaka yang benar-benar dibangunkan di tepi Sungai Melaka.

Seperti kebanyakan hotel, ia juga dilengkapi dengan keperluan lain buat para tamu yang berkunjung seperti pusat perniagaan, sebuah gimnasium dan juga sebuah kolam renang infiniti buat aktiviti beriadah.

Selain itu, hotel ini juga menyediakan pelbagai pilihan bagi sajian makanan. Di antaranya termasuklah The River Grill yang terkenal dengan aneka pilihan ala carte serta sarapan di meja buffet, River Cafe buat pencinta minuman dan sajian petang, serta Bar Rio buat yang gemarkan konsep lounge dan persembahan kugiran. Kesemua tempat ini berhadapan dengan Sungai Melaka, jadi pengalaman menjamu selera menjadi lebih enak dan bermakna.

Sambil itu, jangan lupa untuk mencuba urut tradisional oleh juruterapi khas yang dilatih di Bali di Satkara Spa yang terletak di tingkat paling atas hotel ini.

Pelbagai kemudahan juga tersedia buat mereka yang ingin mengadakan majlis-majlis besar mahupun mesyuarat-mesyuarat penting di dewan-dewan dan bilik-bilik khas yang ada. Pendek kata, Casa del Rio Melaka ini lengkap dengan segala-galanya. Tidak kiralah tujuan anda berkunjung untuk bercuti ataupun bekerja, yang pasti hotel ini menepati citarasa semua yang datang menikmati keindahan peninggalan sejarah bandar Melaka!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!