87321

Cipta Kenangan Mewah di JW Marriot Jakarta - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kalau disebut sahaja nama hotel ini di kota Jakarta, pasti ramai yang tahu bangunan gahnya di kawasan lingkaran komersial Mega Kuningan di tengah-tengah ibunegara Indonesia.

Hotel JW Marriot Jakarta di Mega Kuningan adalah hotel mewah lima bintang yang bertaraf antarabangsa dan merupakan salah satu hotel ternama di Jakarta. Terletak di pusat kota, hotel ini juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana kedudukannya tidak jauh dari tempat-tempat menarik serta pusat-pusat perdagangan di sekitarnya.

Berbekalkan bilik-bilik indah dari pelbagai taraf, hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Seperti hotel-hotel mewah lain, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan elektronik terkini serta perabot berkualiti tinggi. Senireka dalamannya juga bersesuaian dengan gaya penginapan masa kini yang eksklusif serta kontemporari.

Hotel ini juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti sebuah kolam renang, gymnasium serta pusat kesihatan, Ini termasuk bilik sauna, serta sudah tentu ruangan spa yang dikendalikan oleh Alameda Spa & Health Club.

Menepati posisinya sebagai sebuah hotel perniagaan, ia sudah tentu dilengkapi ruangan khas untuk mengadakan mesyuarat, seminar dan juga sebuah dewan besar untuk mengadakan pelbagai acara.

Di samping keindahan hotel ini, ia juga terkenal dengan tempat-tempat makannya seperti Sailendra Restaurant yang menyajikan makanan antarabangsa serta tempatan. Tidak ketinggalan juga adalah restoran Asuka untuk makanan Jepun, Pearl Chinese Restaurant untuk makanan Cina, Blu Martini Bar & Lounge untuk minuman serta CakeBox untuk sajian seperti kek dan seumpamanya.

Istimewa di bulan puasa, hotel ini ada menyediakan sajian khas sempena Ramadan dengan aneka pilihan hidangan Indonesia dan juga menu antarabangsa yang pasti mampu memenuhi selera setiap tamu yang berkunjung.

Oleh itu, kalau anda ingin menikmati sekilas kemewahan dan melihat Jakarta dari pusat kota, bermalamlah di Hotel JW Marriot Jakarta. Ia pasti satu pengalaman eksklusif yang tidak akan anda lupakan!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!