113603

Dapatkan Penjelasan Mengenai Sakit Tulang Belakang daripada Pakar Pusat Perubatan Sunway di Suria FM Jun ini - Suria FM - Segalanya Hiburan

Sakit belakang merupakan masalah yang kerap berlaku dalam setiap masyarakat. Sakit belakang adalah masalah yang dikaitkan dengan rasa sakit dan kurang selesa di bahagian belakang badan, kebiasaannya di bahagian bawah belakang badan.

 

Penjelasan mengenai sakit tulang belakang dan apa yang kita perlu tahu tentang sakit tulang belakang boleh didapati menerusi temubual bersama Dr Quah Boon Leong, Pakar Perunding Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway pada 9 Jun di segmen Gaya Suria di Suria FM.

 

Pasti ada pertanyaan tentang perbezaan pakar bedah saraf dan pakar bedah ortopedik bukan? Menurut Dr Quah, kedua-dua bidang itu tidak mempunyai banyak beza kerana mereka bergabung untuk memberikan perkongsian lengkap mengenai masalah tulang. Dimana, pakar bedah ortopedik dilatih untuk menangani tulang, termasuk tulang belakang, manakala pakar bedah saraf pula dilatih untuk terdedah dengan pembedahan saraf yang berkaitan dengan saraf tunjang, sendi dan tulang.

 

Dr Quah Boon Leong juga menerangkan penyebab utama dalam kecederaan tulang belakang adalah kemalangan jalan raya pada usia muda dan jatuh ketika usia tua. Degenerasi adalah proses berkaitan usia. Kita tidak dapat mengelaknya. Namun, kelajuan proses degenerasi berbeza mengikut individu. Terdapat beberapa keadaan yang boleh mempercepatkan degenerasi contohnya jangkitan, arthritis dan juga tumor.

 

 

Bercakap tentang sakit belakang lebih-lebih lagi di bahagian bawah, hampir semua orang akan merasai sakit di bahagian bawah belakang pada suatu masa dalam kehidupan mereka. Sama ada sakit itu semakin menyakitkan atau semakin bertambah baik.

 

Sakit belakang bukan lagi sakit yang hanya orang tua sahaja yang mengalaminya. Malah, jika dilihat, ramai orang muda mengalami masalah sakit belakang sekarang ini. Antara penyebab kepada sakit belakang dikalangan orang muda adalah postur badan yang salah, kurang bersenam, kekuatan fizikal yang lemah atau teknik mengangkat barang yang salah.

 

Dr Quah berkata jika anda mengalami lemah di kaki, sakit belakang yang kronik atau sakit yang semakin teruk, adalah lebih baik anda terus merujuk kepada pakar bedah saraf anda.

 

 

Menurut Dr Quah, sakit belakang itu berkaitan dengan otot dan juga disc. Slipped disc akan menyebabkan kesakitan yang membawa kepada kekejangan, tegang dan lemah pada otot. Dan ianya boleh menyebabkan sakit belakang secara tiba-tiba. Apa yang boleh meredakan sakit ini adalah ubat penahan sakit dan rehat yang secukupnya. Jika slipped disc semakin teruk, ia akan memberi kesan kepada saraf tunjang. Pembedahan tulang belakang untuk membebaskan saraf tunjang boleh dilakukan bagi mengurangkan sakit untuk sebahagian pesakit yang memerlukannya.

 

Gaya hidup moden sekarang ini mungkin tidak stabil seperti kehidupan ibu bapa dan datuk nenek kita. Dan sekarang ini lebih setahun kita hidup di dalam pandemik yang menyebabkan ramai antara kita banyak menghabiskan masa di rumah – bekerja dari rumah, belajar di dalam talian, bersantai menonton Netflix atau menghabiskan masa berjam-jam hanya duduk atau berbaring melayari media sosial.

 

Ergonomik yang lemah adalah risiko kesihatan terbesar untuk mereka yang bekerja dari rumah. 71% pekerja melaporkan mengalami sakit belakang dan sendi sejak bekerja dari rumah. Dalam kajian lain, 23.5% pekerja yang bekerja dari rumah mengalami sakit leher. Adakah sakit belakang, leher dan sendi berkaitan? Jawapannya, ya. Ia kerana tulang belakang yang merangkumi dari pangkal leher ke tulang bawah belakang atau tail bone mempunyai banyak sendi.

 

 

Dari perspektif neurosains, pandemik telah memberi kesan kepada kesihatan tulang belakang kita kerana kita terdedah dengan tekanan fizikal dan mental. Bukan itu sahaja, gaya hidup yang berubah, senaman yang tidak mencukupi serta amalan tabiat buruk juga merupakan antara kesan kesihatan tulang belakang ketika pandemik.

Sumber:  Free Malaysia Today

 

Dr Quah Boon Leong yakin diagnosis yang tepat dapat memberikan rawatan yang betul pada setiap kesakitan. Sakit belakang didiagnosis melalui sejarah dan pemeriksaan fizikal. Malah ujian tambahan juga diperlukan bagi mendapat diagnosis yang tepat seperti imbasan CT atau MRI serta kajian konduksi saraf.

Rawatan awal kepada sakit belakang terutamanya di bahagian bawah punggung bergantung kepada penyebabnya. Secara amnya, tiada penawar untuk sakit tulang belakang. Berhenti merokok, memakan ubat penahan sakit, fisioterapi, postur badan yang betul, senaman dan rehat yang mencukupi dapat membantu mengatasi sakit ini daripada menjadi semakin teruk.

Sakit saraf atau sakit yang disebabkan kerengsaan saraf pula dapat diatasi dengan pembedahan. Jenis sakit belakang yang lain seperti ketidakstabilan tulang, patah tulang, tumor dan lain-lain boleh diatasi dengan pengambilan ubat-ubatan dan pembedahan.

Tulang belakang merupakan salah satu bahagian terpenting dalam tubuh badan kita. Antara petua untuk menjaga tulang belakang supaya sihat dan kuat adalah mengamalkan tabiat yang sihat seperti diet seimbang, bersenam, rehat secukupnya, postur badan yang betul dan berhenti merokok.                                                                                                                                     

Ketahui lebih dan terperinci mengenai semua persoalan dan petua kesihatan daripada Dr Quah Boon Leong menerusi tembual ini secara langsung di sini.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!