101677

‘Delivery Us From Evil’ Penuh Aksi dan Emosi - Suria FM - Segalanya Hiburan

Perlukah ulasan untuk filem yang kualitinya terserlah dengan hanya dua nama pelakon utamanya? Hwang Jung Min dan Lee Jung Jae adalah antara pelakon filem terbaik di Korea Selatan dan jarang sekali filem yang dilakonkan oleh mereka gagal menambat hati penonton. 

Bukan itu sahaja, filem ini sangat dinanti-nantikan oleh para peminat filem kerana ia menggabungkan nama-nama hebat di belakang tabir, seperti pengarah Hong Won Can (pengarah filem ‘Office’, juga merangkap penulis skrip filem ini), dan pengarah sinematografi Hong Kyung Pyo (‘Parasite’, ‘The Wailing,’ ‘Burning’).

Di Korea Selatan, ‘Deliver Us From Evil’ menjadi filem paling laris musim panas tahun ini dengan 4.2 juta penonton dalam masa 21 hari, mengalahkan filem ‘Train to Busan 2: Peninsula.’

Tetapi suka kami ingatkan, filem ‘Deliver Us from Evil’ ini tidak ada kaitan sama sekali dengan filem Hollywood dengan nama yang sama. 

Sepanjang hampir dua jam kami dibawa masuk ke dunia Kim In-Nam (Hwang Jung Min), seorang pembunuh upahan yang mahu bersara dari kerjaya. Tetapi malangnya, tugasan terakhirnya telah mengundang Ray (Lee Jung Jae) ke dalam hidupnya. In-Nam pada masa yang sama perlu ke Bangkok untuk menguruskan masalah dari zaman silam yang muncul mendadak. Pertembungan Ray dan In-nam secara langsung dan tidak mengambil tempat di tiga kota– Tokyo, Incheon dan Bangkok. Ketiga-tiga tempat ini diberikan warna khas untuk membezakan mood dan emosi.

Indahnya filem ini terletak pada gaya penceritaan dan dialog yang tidak keterlaluan tetapi tidak meninggalkan terlalu banyak ruang kosong yang membuatkan penonton tertanya-tanya atau bosan. Aksi tegang antara In-Nam dan Ray yang tidak putus-putus pasti membuat penonton sentiasa berdebar sepanjang filem. 

Watak Yui yang manis dibawa oleh Park Jeong Min memberikan sedikit elemen kemanusiaan dan komedi tanpa membodohkan jalan cerita.

Ya, ‘Deliver Us From Evil’ adalah filem aksi, tapi ia berbeza dengan banyak filem aksi yang telah dibuat sebelum ini. Ia ‘stylish’, cantik dari segi visual mahupun susun atur gerak pertempuran. Banyak babak bunuh-membunuh tetapi tidak memualkan. 

Menurut pengarahnya, Hong Won Chan, filem ini adalah tentang dua manusia yang hidup dalam dunia kegelapan dan akhirnya menebus kembali dosa lampau dengan mengorbankan diri sendiri. 

Tetapi bagi kami, bukan hanya dua watak utama yang berkorban, ada juga watak-watak yang lain yang terpaksa melakukan hal yang sama. Jika anda mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam filem ini, segeralah ke pawagam berdekatan. ‘Deliver Us From Evil’ sudah ditayangkan sejak 17 September 2020. Pastikan anda mematuhi SOP ya. 

Artikel sumbangan: Ili Farhana

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!