101105

Di Sebalik Kisah MULAN - Suria FM - Segalanya Hiburan

Setelah hampir enam bulan tertangguh gara-gara pandemik covid-19, akhirnya filem Disney yang paling dinanti-nantikan tahun ini iaitu Mulan telah ditayangkan secara rasmi pada 4 September 2020.

Selepas beberapa filem popular Disney seperti Cinderella, Beauty and The Beast, dan Aladdin diadaptasi dari versi animasi ke realiti, kini tiba pula giliran filem Mulan yang menampilkan barisan pelakon dari Asia menerajui filem yang berkisarkan tentang pahlawan wanita dari China ini.

Filem ini dibintangi oleh bintang-bintang terkenal Asia seperti Liu Yifei yang memegang watak sebagai Mulan, Donnie Yen, Jet Li, Gong Li dan ramai lagi. Menariknya filem ini telah diarahkan oleh pengarah wanita iaitu Niko Caro Yang merupakan pengarah wanita kedua yang mengarahkan filem Disney.

Disney’s MULAN..Mulan (Yifei Liu)..Photo: Film Frame..© 2019 Disney Enterprises, Inc. All Rights Reserved.

Filem Mulan menceritakan tentang seorang wanita yang bernama Mulan yang sangat berani dan mempunyai minat seperti lelaki. Jika kanak-kanak perempuan yang lain sibuk dengan aktiviti yang feminin, Mulan pula lebih gemar aktiviti lasak seperti mengejar ayam. 

Minatnya terhadap aktiviti yang sering dilakukan oleh golongan lelaki mengundang kerisauan ibu dan ayahnya yang berniat untuk mengahwinkan Mulan. Dalam pada masa yang sama, Bori Khan (Jason Scott Lee) mempunyai niat jahat dan ingin cuba menjatuhkan Maharaja ( Jet Li) dengan bantuan ahli sihir yang mampu bertukar menjadi burung helang yang dibintangi oleh Gong Li.

Pada satu hari, setiap keluarga telah diperintahkan untuk mewakilkan seorang lelaki untuk direkrut menjadi askar mempertahankan dinasti Maharaja. Disebabkan Mulan tiada adik beradik lelaki, jadi ayahnya yang merupakan bekas askar menawarkan diri untuk mewakili keluarga mereka biarpun keadaannya tidak sihat.

Mulan yang tidak sampai hati melihat ayahnya berkorban telah nekad untuk melarikan diri dari rumah dan menyamar sebagai lelaki yang bernama Hua Jun untuk menyertai kem latihan kententeraan maharaja.  Di sana Mulan telah belajar erti sebenar seorang pahlawan biarpun dirinya dibebani rahsia bahawa dia adalah seorang wanita. 

Disney’s MULAN..L to R: Groom’s mother, Matchmaker (Pei-Pei Cheng), Xiu (Xana Tang), Wuwei (Rosalind Chao) and Mulan (Yifei Liu)..Photo: Film Frame..© 2019 Disney Enterprises, Inc. All Rights Reserved.

Biarpun kekok, dia terpaksa tinggal bersama lelaki di dalam satu kem, Mulan tetap cekalkan hati dan menawarkan diri untuk menjadi penjaga di waktu malam untuk mengelak daripada mandi bersama dengan rakan-rakan lelakinya yang lain.

Akibat sering dikritik berbau busuk oleh rakannya yang lain kerana tidak mandi, pada satu malam, identiti Mulan hampir terbongkar apabila dia pergi mandi di sungai. Ketangkasan serta kecekalan Mulan mengharungi setiap cabaran telah mendapat perhatian panglima mereka yang melihat potensi Mulan sebagai seorang pahlawan sejati.

Namun selepas satu pertempuran melawan musuh, Mulan tidak lagi mampu menipu dan akhirnya mendedahkan identitinya biarpun tahu akan akibat yang bakal menimpanya. Dapatkah panglima dan rakan-rakan Mulan yang lain menerima pendedahan Mulan tentang siapa dirinya? Dan dapatkah Mulan menyelamatkan dinasti Maharaja dari taklukan Bori Khan? 

Jawapannya ada di pawagam berhampiran anda. Secara keseluruhannya, filem ini adalah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan serta kecekalan mengharungi cabaran.

Perbezaan paling ketara di antara versi animasi yang diterbitkan pada tahun 1998 dengan yang sekarang adalah tiada elemen muzikal yang ditampilkan. Bagi peminat filem muzikal, ketiadaan elemen jni mungkin mengecewakan anda. Dari segi lakonan, mungkin ada yang akan terasa sedikit terganggu dengan lontaran dialog beberapa pelakon filem ini kerana skrip filem ini dihasilkan dalam Bahasa Inggeris. 

Disney’s MULAN..Mulan (Yifei Liu)..Photo: Film Frame..© 2019 Disney Enterprises, Inc. All Rights Reserved.

Anda juga mungkin akan merasa sedikit kecewa jika mengharapkan untuk melihat aksi pertarungan dari pelakon-pelakon aksi seperti Donnie Yen dan Jet Li kerana babak aksi lebih tertumpu kepada watak utama iaitu Mulan.

Emosi yang disampaikan melalui jalan cerita sampai ke hati penonton terutamanya babak-babak yang melibatkan kekeluargaan serta persahabatan.  Pujian harus diberikan dari segi sentuhan seni filem ini yang menampilkan kostum serta solekan yang cantik dan berwarna warni selain latar belakang lokasi yang sangat mengagumkan. 

Kesimpulannya, filem ini sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga kerana sarat dengan mesej berguna disamping menghiburkan. Bagi anda yang rindu untuk jejakkan kaki ke pawagam dan menikmati bertih jagung, inilah masanya.

Artikel sumbangan : Amy Miyake

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...