88680

Fazley Hidang Menu Melayu Nusantara Di Mamanda - Suria FM - Segalanya Hiburan

Menjengah usia lima tahun mengusahakan SukaSucre Bistro (SSB), chef selebriti dan penyanyi terkenal, Dato’ Fazley Yaakob, 40, terus menumpahkan kecintaan kulinari dengan penglibatan sebagai Cef Eksekutif Kumpulan juga merangkap pemilik kongsi bisnes restoran berciri fine dining tekstur Melayu Nusantara, Mamanda.

Jika diamati, Mamanda yang berbumbung di bawah Mamanda Group itu bukan nama baharu dalam dunia masakan kerana ia berawal dibangunkan di sebuah rumah agam berusia 173 tahun di 73, Sultan Gate Singapura pada tahun 2012.

Kini, mantan juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 itu membawa jenama Mamanda di negara ini bertujuan menjelmakan menu dan pengalaman sama bagi dinikmati sendiri oleh pencinta makanan tempatan yang sentiasa berkehendakkan kelainan.

Menurut bapa kepada empat cahayamata itu, dia berasa teruja apabila dapat membawa masuk cawangan kedua Mamanda di Malaysia kerana ia merupakan sebuah konsep restoran yang menepati jiwanya sebagai cef selepas sukses membangunkan SSB.

“Menariknya, pengunjung bakal merasai suasana mewah ibarat istana Melayu sewaktu berada di situ sambil menikmati bermacam hidangan Melayu Nusantara ala Diraja yang menggamit selera pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan status,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mamanda di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Mamanda Group, Encik Zulkarnine Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Masmunah Abdullah.

Untuk melunaskan tuntutan gastronomi, beritahu Fazley, seleksi menu menyelerakan sedia dinikmati oleh pelanggan kelas medium yang bercitarasa tinggi seperti hidangan; Nasi Ambeng, Nasi Tumpang, Nasi Ulam Ayam Bakar Bendahara, Nasi Kerabu, Nasi Bahtera, Nasi Bukhari Pendita dan Nasi Briyani Raja Adil.

“Tidak hanya itu, menu Hidangan Istimewa juga mempersembahkan Assam Pedas Temasek, Ikan Pepes Temenggong, Udang Semerah Sambal, Ayam Rendang Mamanda, Udang Galah Lemak Cili Padi dan banyak lagi.

“Pembasah mulut pula terdiri daripada Bubur Kacang, Creme Brulee, Serawa Durian, Tat Pandan dan banyak lagi,” ujarnya mengenai menu yang disediakan di restoran baharunya.

Mamanda mementingkan kesegaran bahan, keaslian rempah ratus dan kesenian Timur agar kekal menjadi lambang sajian diperhalusi kaedah memasak tradisional, diperisa herba berkhasiat serta dijalin dengan ramuan rempah ratus yang terbaik.

Sambil menikmati ambien menghijau luas padang golf TPC, Mamanda yang mengamal tema; Menjunjung Santapan Warisan itu turut menyediakan empat buah bilik privasi untuk digunakan oleh kumpulan pelanggan berhajat bagi menganjurkan majlis tertutup.

Secara tidak langsung, ia menjadikan Mamanda sebagai pilihan terbaik untuk lokasi bersosial, majlis korporat, pelancaran produk, persidangan media dan seminar.

Majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan juga boleh berlangsung di situ kerana salah satu sudut Mamanda telah tersedia pelamin khas buat mempelai beserta caj menu bermula RM120+ bagi seorang tetamu.

Anda boleh melayari laman sesawang Mamanda di www.mamanda.com.my atau menghubungi talian +60320115009/+60320114008 bagi mendapatkan informasi lanjut untuk setiap majlis yang dihajati dalam fikiran.

Mamanda yang berlokasi di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur, No. 10, Jalan 1/70D, Bukit Kiara, 60000, Kuala Lumpur beroperasi setiap hari Isnin hingga Ahad dari jam 12 tengahari ke 10 malam.

Dalam perkembangan lain, Fazley yang juga merupakan Duta Pelancongan Halal Taiwan bakal melawat ke Taiwan sempena program FamTour dengan membawa para media tempatan bagi berkongsi variasi destinasi menarik di sana pada 21 hingga 25 Ogos ini.

Tidak ketinggalan, bapa kepada empat cahayamata itu kini sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menyertai Festival Antarabangsa Gastronomi Malaysia 2018 dengan menjadi representatif Mamanda dan SukaSucre Bistro pada September ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!