100538

FILEM ‘EYE ON THE BALL’ SEDIA TEMUI PENONTON DI PAWAGAM RUMAH ANDA, ASTRO FIRST MULAI 20 OGOS INI! - Suria FM - Segalanya Hiburan

KUALA LUMPUR – Bagaimana orang cacat penglihatan bermain bola sepak? Pasti ramai yang tidak sedar bahawa negara kita mempunyai sebuah pasukan bola sepak orang buta Malaysia yang hebat dan lebih membanggakan melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

Berita baik buat penggemar filem tempatan serta peminat sukan Malaysia, filem Eye On The Ball (EOTB) akhirnya bakal menemui penonton bermula 20 Ogos di pawagam rumah anda, Astro First! Meskipun filem dokumentari ini pernah diuar-uarkan untuk tayangan di panggung wayang pada bulan Mac lalu, namun susulan penularan wabak COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan. 

Menariknya, terdahulu filem arahan Chen Yih Wen dan produksi sulung terbitan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE daripada Star Media Group ini telah berjaya mencipta pencapaian tersendiri apabila EOTB tercalon dalam kategori Dokumentari Asing Terbaik di Festival Filem Oslo pada November 2019 dan tersenarai dalam Media Library, Visions du Reel Industry pada April 2019.

Selain itu, filem ini juga turut berpeluang membuat tayangan perdananya di peringkat antarabangsa di Festival Filem Aperture: Asia & Pasifik pada September 2019. EOTB menyingkap kisah pahit dan manis sekumpulan anak muda cacat penglihatan yang tekad untuk mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak professional.

Menampilkan pemain Asri Arshad, Azwan “Kenchot” Azhar serta Rollen Marakim membuat keputusan meninggalkan keluarga dan merantau ke ibu negara bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan yang dibimbing jurulatih berpengalaman Sunny Shalesh. Namun pasukan kebangsaan itu sendiri dihimpit dengan pelbagai cabaran. 

Skuad yang diberi gelaran Harimau Buta tersebut perlu mempertahankan kejuaraan mereka di Sukan Para ASEAN 2017, Kuala Lumpur dan melayakkan diri ke Kejuaraan Bola Sepak Orang Buta Dunia. Ini adalah satu tugas besar, namun mampukah mereka mencapai matlamat dan harus bertanding menentang jaguh dunia di pentas antarabangsa. 

EOTB juga telah mengadakan tayangan perdananya di sini pada Mac lalu yang dihadiri lebih 800 orang dan antaranya adalah penggiat seni dan pemain industri tanah air, nama-nama terkemuka dalam dunia sukan seperti Datuk K. Rajagopal dan lagenda bola sepak, Datuk Santokh Singh serta ramai lagi. Rata-rata memberikan komen positif selepas menonton filem ini. 

Penerbit Eksekutif EOTB merangkap Timbalan Pengarang Eksekutif R.AGE, Ian Yee menyatakan pihaknya rasa teruja filem dokumentari pertama terbitan R.AGE akan menemui penonton di Astro First dan tambahan pula ia menyaksikan Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM).

Kami merasakan kisah mereka yang penuh inspirasi harus dikongsi bersama masyarakat. Lanjutan daripada itu, diharap ia dapat membuka ruang agar ramai di luar sana turut menyokong pasukan ini untuk terus melangkah lebih jauh. 

Kami juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Astro dan TGV kerana memberi sokongan padu selama ini, lebih-lebih lagi di atas kejayaan majlis tayangan gala dan pratonton filem di TGV 1 Utama pada bulan Mac lalu. Akibat pandemic COVID-19, pihak kami membuat keputusan agar EOTB ditayangkan di Astro First, seterusnya yakin ia mampu memberi impak positif bukan sahaja pada filem malah komuniti bola sepak orang buta.” 

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kali ini, Astro Shaw membawakan sebuah filem yang penuh dengan semangat cekal oleh sekumpulan anak muda cacat penglihatan berdepan dengan apa sahaja rintangan untuk menggapai impian. Lebih istimewa, genre dokumentari sukan merupakan kali pertama dibawakan terus ke pawagam rumah anda, Astro First.

Kami sentiasa berusaha untuk bawakan variasi filem berkualiti untuk tontonan penonton Astro. Diharap EOTB dapat memberi inspirasi serta lebih pendedahan tentang kewujudan pasukan ke-18 terbaik dunia ini dalam kalangan masyarakat.” 

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw. 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!