90605

Glow Ao Nang Tidak Menghampakan, Makan Pun Senang - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Krabi, Thailand, pasti anda tahu bagaimana suasana malam di pantai paling popular, Ao Nang. Sesak dengan kehadiran pelancong kerana di sinilah terletaknya gerai-gerai cenderamata, kedai-kedai makan, kedai serbaneka, spa dan tidak ketinggalan hotel-hotel bertaraf lima bintang, mahupun hotel bajet.

Kebiasaannya mereka yang pernah menginap di Ao Nang akan mula memikirkan pilihan lain jika ingin kembali ke Krabi. Sebabnya, rimas dengan kesesakkan pelancong. Namun, ada juga yang seboleh-bolehnya mahu menginap di Aonang. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

Kepada mereka yang mahu lari dari kesesakkan dan bingit malam, boleh pertimbangkan Glow Ao Nang yang terletak di penghujung pantai Ao Nang atau lebih tepat lagi di sebelah Pantai Noppharat Thara.

Hotel yang mula pada September 2017 ini menjanjikan penginapan yang berbaloi-baloi pada harga. Tidak terlalu murah, tidak terlalu mahal. Untuk hotel bertaraf tiga bintang, kemudahan yang ditawarkan tidak menghampakan. Lengkap dengan kolam renang dan juga pusat kecergasan.

Glow Ao Nang menawarkan 130 buah bilik bercitarasa kontemporari yang dilengkapi dengan pendingin hawa, televisyen LCD bersaiz 40 inci, minibar, serta set penjagaan diri. Terdapat tujuh jenis bilik yang ditawarkan iaitu Superior King atau Twin, Deluxe King atau Twin, Family Triple, Quad atau Family Suite.

“Jangan terpedaya dengan foto-foto yang dimuatnaik di laman sesawang hotel”, kata-kata amaran ini memang sudah selalu kedengaran. Tetapi di Glow Ao Nang, bilik-bilik yang ditawarkan sama dengan apa yang boleh dilihat di laman sesawang mereka. Cuma yang nampak berbeza ialah warna kusyen-kusyen di kolam renang yang sudah mulai pudar. Maklumlah ia dibiarkan berpanas dan berhujan setiap masa. Selain daripada itu, semuanya kelihatan sama.

Jika anda bercuti bersama keluarga dan punya anak-anak kecil, boleh gembirakan mereka dengan ke ruang kanak-kanak yang terletak berhampiran lobi. Di sini anak-anak boleh leka dengan pelbagai permainan, termasuklah anak-anak patung. Sambil menunggu anak-anak bermain, anda boleh penuhi masa dengan membaca bahan bacaan yang turut tersedia di satu sudut. Paling tidak, boleh menikmati minuman segar di Pool Bar yang terletak bersebelahan.

Satu lagi kelebihan Glow Ao Nang ialah, ia boleh membuatkan tetamu yang beragama Islam menarik nafas lega apabila ingin menjamu selera. Sebabnya, berhampiran hotel ini ada deretan kedai makanan halal yang menyajikan masakan Thailand yang menyelerakan. Harganya juga tidak terlalu mahal memandangkan makanan laut yang dihidangkan cukup segar. Selain Tomyam Kung, Somtam dan Padprik, anda juga boleh menikmati Pulut Mangga dan Thailand Pancakes yang mempunyai pelbagai perisa.

Untuk maklumat lanjut tentang Glow Ao Nang, boleh layari http://www.glowhotels.com/ao-nang/

sumbangan : Rahayu Mat Nah

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!