91808

Hati Tertawan Di Bumi Taiwan 2 - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pengembaraan SURIA bersama rakan-rakan media yang lain di bumi Taiwan berterusan hingga hari yang keempat. Kali ini kami dibawa ke Rainbow Village yang terletak di Taichung.

Perkampungan berwarna warni yang dibina oleh bekas tentera bernama Huang Yong Fu ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Penempatan yang dibina untuk askar ini pada mulanya mahu dirobohkan dek pembangunan pesat di sekitarnya, namun Huang mengambil inisiatif dengan melukis sendiri di dinding sehinggalah Rainbow Village diiktiraf sebagai tempat tumpuan pelancong.

Destinasi seterusnya, kami  dibawa ke Tasik Sun Moon. Tasik ini merupakan permukaan berair yang terbesar di Taiwan.

Pemandangan disini sungguh indah. Anda boleh bersiar-siar di sekitar tasik ini menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan untuk pelancong.

Sungguh mempersona saujana mata memandang di bawah hamparan langit biru yang luas terbentang.

Seterusnya kami dibawa untuk menaiki ‘cable car’ di Sun Moon Lake Ropeway yang terletak bedekatan dengan tasik Sun Moon.

Anda pasti akan terpesona dengan keindahan yang bakal anda saksikan dari atas kereta kabel ini. Menaiki dari bawah sehingga ke atas ibarat pengembaraan yang penuh dengan kejutan. Siapa sangka anda akan melihat pemandangan yang sungguh indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selepas turun di stesen kedua iaitu stesen The Formosan Aboriginal Culture Village Station, anda boleh berjalan kaki ke Farmosan Agricultural Village untuk melihat bagaimana kehidupan serta etnik suku kaum Farmosan.

Anda  juga boleh menyaksikan persembahan tarian daripada suku kaum asli di sini.

Suasana disini sangat nyaman sekali dengan keindahan flora yang begitu indah. Kami juga diberi kesempatan untuk mencuba pakaian tradisional disini.

Dibahagian bawah kawasan ini terdapat sebuah taman tema dengan pelbagai permainan yang begitu menyeronokkan termasuklah Roller Coaster dan Solero. Memang tidak rugi jika anda berkunjung ke sini.

Hari sudah semakin petang, kami perlu mengejar waktu untuk menikmati pengalaman untuk memetik buah di ladang markisa yang terletak di Tai Yi Red Maple Resort.

Buah markisa di sini memang sungguh enak rasanya. Malah setiap seorang diberikan beg serta sudu istimewa untuk membuka buah markisa.

Kami juga telah menginap di sini selama satu malam. Udara di sini sungguh nyaman dan cuacanya juga dingin. Persis di Cameron Highland. Sungguh tenang rasanya dapat menginap disini. Di dalam setiap bilik di resort ini ada menyediakan dua buah tab air panas. Dapatlah kami merehatkan badan selepas penat berjalan-jalan.

Kami teruskan hari kelima di Taiwan dengan aktiviti berbasikal di Huo Fong Taichung.  Bayangkan anda berpeluang mengayuh basikal merentasi sebuah jambatan yang panjang serta memasuki laluan terowong keretaapi sepanjang 4.5 kilometer. Pasti akan memberikan anda satu kepuasan yang maksima serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan selamanya.

Jika ke sini, anda perlu menyewa dan mengayuh ke kawasan perkampungan yang turut memiliki sawah padi serta pokok bunga yang sangat cantik.

Kemudian anda akan tiba di sebuah jambatan di mana dibawahnya terdapat sungai yang sangat cantik persis di dalam filem.

Merentasi jambatan berkenaan anda bakal teruskan kayuhan meneroka ke dalam sebuah terowong laluan kereta api zaman dahulu.

Oh ya, jika anda rasa penat untuk mengayuh, sewa sahaja basikal automatik. Di sini juga kami diberi peluang untuk makan tengah hari di kafe menyediakan makanan vegetarian iaitu kafe Spring Garden Vegetarian Cuisine . Biarpun berasaskan sayur-sayuran, namun menu yang disediakan disini sangat sedap dan segar.

Sewaktu kunjungan kami ke Taiwan, sebuah ekspo flora dunia sedang berlangsung di sana. Jadi kami turut di bawa untuk melihat keindahan flora di Taichung World Flora Exposition 2018.

Ekspo ini menerima penyertaan dari banyak negara di seluruh dunia termasuklah Malaysia sendiri.

Masing-masing mempamerkan kreativiti masing-masing dalam mempersembahkan landskap bertemakan identiti negara masing-masing.

Buat anda si pencinta bunga orkid, di sinilah syurga untuk anda mencuci mata. Pelbagai jenis spesis bunga orkid terdapat disini termasuklah Cataleya. Memang rambang mata!

Puas melihat keindahan flora yang berwarna warni, kami pulang semula ke bandar  Taipei. Usai tiba, kami terus ke restoran Tajin Morrocan Cuisine. Restoran ini menyediakan makanan arab yang sangat lazat.

Antara hidangan yang disediakan disini ialah roti pita, nasi safron, ayam mentega, bebola daging, dan stew kambing. Ruangnya juga sangat selesa dan cantik.

Selesai makan malam, kami dibawa pula untuk menikmati manisan pencuci mulut. Ice Monster, satu jenama pencuci mulut berunsurkan ais kisar yang sangat popular di rantau Taiwan.

Kelazatan pencuci mulut ini telah mendapat pengiktirafan daripada CNN sebagai ‘CNN Best Desserts Around The World’. Inilah pencuci mulut ais kisar yang terbaik yang SURIA pernah makan. Lembut bak kapas.

Rasa buahnya sungguh asli. Puas rasanya makan Ice Monster ini. Perisa yang paling popular di sini ialah mangga. Namun anda juga harus mencuba perisa yang lain seperti kopi, ‘bubble tea’, kacang dan banyak lagi.

Bukan sahaja lazat, Ice Monster juga turut mendapat pengiktirafan Halal kerana tidak menggunakan gelatin terlarang. Memang wajib cuba jika anda berkunjung ke Taiwan.

Kemanisan pencuci mulut di Ice Monster ini telah menjadi penutup bagi jelajah kami di bumi Taiwan. Kenangan manis di Taiwan ini akan dikenang selamanya. Bagi anda yang masih ragu-ragu untuk bercuti kesini kerana bimbangkan tentang aspek Halal, kini anda tidak perlu risau lagi dan anda dapat bercuti dengan gembira tanpa ada rasa was-was.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Biro Pelancongan Taiwan dan EVA Air kerana sudi menerbangkan kami ke Taiwan untuk meneroka keindahan alam bumi Taiwan. Semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat memberikan informasi berguna buat semua pembaca yang sedang merancang untuk bercuti ke Taiwan. Jangan lupa untuk muat turun aplikasi Halal.TW untuk mendapatkan informasi dengan lebih mudah setibanya anda di sana. Anda juga boleh lawati akaun Instagram timefortaiwan_my untuk info lebih lanjut.  Salam Taiwan dari SURIA.

Klik pautan di bawah untuk baca tentang keunikan bumi Taiwan yang lain ;

https://www.suria.my/sensasi/gaya/hati-tertawan-di-bumi-taiwan

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!