91639

Hati Tertawan Di Bumi Taiwan - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pelancongan berkonsepkan mesra Muslim semakin rancak diusahakan oleh kebanyakan agensi mahupun badan-badan sektor pelancongan di seluruh dunia. Tidak terkecuali  Taiwan yang terletak bersebelahan dengan negara tembok besar China.

SURIA diberi kesempatan untuk meneroka bumi Taiwan yang dibawakan khas oleh Biro Pelancongan Taiwan menerusi kempen Salam Taiwan. Menerusi kempen ini, selebriti tempatan terkenal iaitu Mira Filzah diangkat sebagai wajah wakilan bagi kempen ini dengan harapan supaya dapat menggalakkan lebih ramai pelancong beragama Islam bercuti di Taiwan.

Bersama dengan rakan media dari syarikat penerbitan yang lain termasuklah dari Brunei , SURIA dibawa menjelajah bumi Taiwan selama 6 hari.

Kami diterbangkan khas oleh syarikat penerbangan komersial EVA Air dari Kuala Lumpur ke  Taipei. Untungnya jika anda menaiki penerbangan EVA Air, anda bakal dapat potongan harga istimewa jika membeli kad sim prabayar untuk pasaran Taiwan. Jadi lebih jimat. Pergi sahaja ke kaunter jualan kad sim prabayar EVA dan anda hanya perlu tunjukkan ‘boarding pass’ anda untuk mendapatkan harga diskaun. Oh ya! jangan risau, EVA Air juga turut menyediakan makanan halal untuk penumpang Muslim.

Waktu di Taiwan lebih kurang sahaja dengan Malaysia. Kami tiba di Taipei kira-kira jam 5 petang, namun disini cuacanya sudah gelap seperti pukul 8 malam.

Untuk malam pertama kami dibawa ke hotel bertaraf lima bintang iaitu Hotel Grand Taipei yang cukup unik dan tersergam indah di atas bukit. Seni bina hotel ini membuatkan anda berasa seolah-olah berada si zaman dinasti.

Satu makan malam istimewa juga diatur oleh pihak pelancongan Taiwan bersama dengan Ketua Seksyen Bahagian Hal Ehwal Antrabangsa Taiwan, David Tsao.

Menariknya disini kami diberi peluang untuk meneroka sebuah terowong rahsia yang terletak di bahagian hawah hotel ini. Menurut David, terowong ini digunakan pada zaman dahulu untuk tujuan keselamatan.

Di Taiwan terdapat 180 buah restoran dan hotel yang mendapat sijil halal daripada The Chinese Muslim Association termasuklah Hotel Grand Taipei. Jadi soal makanan bukan lagi menjadi perkara yang berat jika anda bercuti di sini.

Untuk hari kedua kami dibawa melawat ke sebuah Masjid yang terletak di bandar Taipei. Masjid ini bukan sahaja menjadi tempat untuk komuniti Islam di Taipei ini menunaikan solat, tetapi turut menjadi tempat untuk mereka belajar tentang Islam.

Jika anda ke Taiwan, jangan lupa untuk muat turun aplikasi yang direka khas untuk komuniti Islam di sini. Aplikasi yang diberi nama Halal.TW ini memberikan anda kemudahan informasi tentang lokasi yang mesra Muslim seperti restoran, surau, masjid, hotel, tempat tumpuan pelancong, kedai makan serta pelbagai lagi.

Contohnya jika anda berada di sebuah lokasi, anda hanya perlu buka aplikasi berkenaan, dan pilih mana-mana informasi yang anda inginkan. Dan aplikasi ini akan menyenaraikan tempat makan halal, surau serta apa sahaja yang anda cari yang berada berdekatan dengan lokasi anda. Sangat memudahkan!

Tidak sah rasanya andai berkunjung ke Taipei tetapi tidak pergi ke mercu tanda kota ini iaitu bangunan ikonik Menara 101. Bangunan setinggi 101 tingkat ini pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia pada tahun 2004. Rekod itu kekal sehinggalah tahun 2010 apabila Menara Burj Khalifa Dubai siap dibina.

Menara 101 ini juga pernah menggunakan ‘lift’ paling laju didunia dimana ia hanya mengambil masa selama 37 saat untuk sampai dari aras 5 ke aras 89. Pemandangan dari atas bangunan ini memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Anda boleh berjalan 360 darjah untuk melihat panorama indah seluruh bandar Taipei.

Berkunjung ke sini mengingatkan penulis seperti berada di menara berkembar Petronas KLCC. Di bahagian bawah menara ini terdapat pusat membeli belah yang dibarisi oleh jenama-jenama mewah antarabangsa.

Kami kemudiannya di bawa untuk menikmati makan tengah hari secara eksklusif di sebuah restoran Ding Xian 101 yang terletak di aras 86 bangunan ini.

Sungguh asyik sekali tatkala menjamu selera di sini sambil menjamu mata dengan pemandangan yang sungguh mempersona.

Selepas menikmati pemandangan kota yang begitu moden, kami dibawa pula ke sebuah destinasi yang sedikit jauh dari kepesatan kota dan terletak di kawasan bukit untuk merasai pengalaman menerbangkan tanglung. Jingtong Street bakal memberikan pengalaman yang berbeza dari kota pesat Taipei.

Melangkah kesini ibarat memasuki sebuah set penggambaran filem atau drama Taiwan yang pernah anda tonton dikaca televisyen. Disini juga terletaknya stesen kereta api terakhir dan kedai cenderamata.

Aktiviti yang paling popular disini ialah menerbangkan tanglung yang boleh dihias oleh anda sendiri. Satu pengalaman yang berbeza!

Kembali ke kota Taipei untuk menikmati makan malam istimewa di sebuah restoran Muslim disini  iaitu restoran Kunming Halal Restaurant Taipei yang menyediakan masakan yang hampir sama seperti di Malaysia.

Restoran ini adalah antara restoran makanan halal yang paling popular di Taipei. Antara hidangan yang disediakan di restoran ini ialah masakan Thailand seperti tomyam, ikan tiga rasa, sambal udang,  juga turut disediakan kari daging dan samosa. Tidak ketinggalan menu seperti satay juga ada disediakan disini.

Disebabkan hotel penginapan untuk malam kedua ini terletak di tengah-tengah bandar dan berhadapan dengan Taipei Sentral, ia amat memudahkan pergerakan kami jika mahu menaiki MRT. Anda boleh gunakan kad pintar untuk memudahkan pergerakan anda menaiki MRT. menariknya kad pintar ini bukan sahaja boleh digunakan untuk menaiki kenderaan awam, tetapi boleh juga diguna pakai untuk membeli belah di kedai serbaneka seperti 7-Eleven, mesin vendor dan banyak lagi.

Jika mahu berjalan-jalan ke tempat membeli belah, naik sahaja MRT dari stesen sentral menuju ke stesen Jiantan untuk ke Shilin Night Market. Di sini adalah syurga untuk yang gilakan membeli belah kerana barang-barang disini menawarkan harga yang sangat berpatutan.

Menjelang hari ketiga, kami di bawa ke Taman Tema Leofoo Village yang terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari bandar Taipei. Taman Tema ini merupakan salah satu tarikan utama di Taiwan dan sering dipenuhi pelawat terutamanya pada musim cuti persekolahan.

Pelbagai permainan yang menarik terdapat di sini termasuklah Roller Coaster yang pernah dinaiki oleh ahli rancangan hiburan popular Korea Selatan, Running Man untuk salah satu cabaran mereka. Sungguh mendebarkan!

Taman tema disini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Wild West, South Pacific, African Safari dan Arabian Kingdom. Soal makan pula jangan risau, disini terdapat restoran yang menyediakan makanan halal yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga.

Seterusnya kami dibawa ke litar lumba kereta Lihpao Racing yang baru sahaja siap dibina dan baru dibuka kepada orang ramai kira-kira dua minggu sebelum kunjungan kami ke sana. Disini menyediakan litar untuk bermain sukan Go-Kart.

Untungnya, kami diberi kesempatan untuk mencuba berlumba disini. Siapa sahaja yang tidak teruja dapat berlumpa di atas litar yang baru serta peralatan dan kenderaan yang semuanya serba baru. Memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

Cuaca disini juga dingin seperti di Cameron Highland. Rasa macam tidak mahu turun sahaja dari kereta lumba dan mahu berlumba sepuas-puasnya!

Matahari mula melabuhkan tirai, kami dibawa pula ke hotel yang tidak jauh dari litar lumba ini. Hotel ini terletak di taman tema Lih Pao yang turut mempunyai pusat membeli belah Lih Pao Outlet Mall.

Disini sangat sesuai untuk bercuti bersama keluarga. Kanak-kanak pasti teruja dapat bermain di taman tema yang menyeronokkan disini. Lagi pula anda boleh membeli-belah dengan harga yang berpatutan.

Hotel di sini juga menyediakan menu halal dan lazat. Surau juga turut disediakan untuk Muslim beribadah.

Pada waktu malam atau siang, anda boleh mencuba untuk menaiki ‘Ferris Wheels’ yang dikatakan berada sama paras dengan ketinggian menara 101 Taipei. Pemandangan dari atas Ferris Wheels ini sungguh indah dan mengasyikkan! Memang tidak rugi menginap di tempat ini. Anda hanya perlu jalan kaki sahaja untuk kesemua tempat yang menarik ini.

Nantikan sambungan kedua artikel Hati Tertawan Di Bumi Taiwan dengan kisah yang lebih menarik untuk diikuti.

Terima kasih diucapkan kepada Salam Taiwan dan EVA Air.

Kredit Foto : Juliana Sharin

 

 

 

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!