88364

Hotel Intercontinental Nha Trang, Mewah dan Strategik. - Suria FM - Segalanya Hiburan

Jika idea percutian anda ialah kombinasi di antara menikmati pelbagai pilihan makanan laut, persisiran pantai yang membiru, kawasan berbukit bukau dan eksplorasi sejarah kota maka Nha Trang mungkin menjadi pilihan yang terbaik untuk anda.

Persoalannya kini di manakah hotel yang sesuai untuk menginap? Bagi mereka yang mahukan penginapan mewah di samping lokasi yang strategik, hotel yang dianugerahkan “Leading Luxury Hotel 2017 “dan “Vietnam’s Best Five Star Hotel 2017 “ adalah hotel yang anda cari – Intercontinental Hotel Nha Trang, hotel mewah di pusat kota Nha Trang.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Cam Ranh hanya mengambil masa 40 minit untuk tiba di hotel. Hotel Intercontinental menyediakan 279 bilik termasuk 56 suite mewah yang dilengkapi dengan balkoni bagi mereka yang ingin bersantai menikmati pemandangan laut. Antara pilihan bilik yang disediakan ialah Deluxe Ocean View, Premium, Club Deluxe Ocean View, Junior Suite, Family Suite, King Suite, Executive Suite dan Presidential Suite.

Mahukan layanan yang lebih eksklusif? Satu lagi keunikan hotel ini ialah pengunjung boleh memilih “Club Intercontinental. “ Anda akan diberi layanan istimewa antaranya daftar masuk peribadi, sarapan gourmet, sajian teh serta koktel setiap petang sambil menikmati pemandangan indah di aras 18. Bilik penginapan di aras 16 hingga 19 pula adalah khusus bagi mereka yang memilih “Club Intercontinental”.

Jika anda ingin menikmati makanan asli Vietnam anda tidak perlu pergi jauh kerana Hotel Intercontinental menyediakan pilihan makanan tersebut di Cookbook Cafe. Antara menunya ialah makanan laut sama ada pilihan ala carte mahupun buffet. Setelah seharian meneroka kota Nha Trang anda boleh ke The Lobby Bar dan menikmati Kopi Tradisi Vietnam. Aqualine Pool Bar pula bukanlah hanya sekadar kolam renang malah juga boleh dijadikan lokasi untuk BBQ serta makan malam.

Antara kemudahan lain yang disediakan ialah pusat kecergasan untuk anda bersenam meskipun anda sedang bercuti. Planet Trekkers Kid’s Club pula disediakan bagi ibu bapa yang inginkan anak-anak menikmati percutian mereka dengan aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan di pusat tersebut. Selain dari itu, hotel ini juga dilengkapi dengan beberapa bilik mesyuarat serta dewan bagi mereka yang ingin menganjurkan seminar dan acara sambil menikmati percutian di kota Nha Trang.

Jika anda memilih sentuhan mewah, layanan eksklusif dan lokasi strategik di tengah kota maka Hotel Intercontinental adalah pilihan hotel anda ketika berada di Nha Trang Vietnam. Untuk maklumat lanjut layari www.nhatrang.intercontinental.com

sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!