73146

Hukum Solat Tanpa Solekan Dibersihkan Secara Teratur & Guna Telekung Berwarna - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kita ni kadang-kadang sering bercanggahan pendapat tentang hukum solat yang sah. Haa untuk kaum hawa yang tertanya-tanya pasal hukum sah solat bila pakai make-up time solat (tak dibersihkan secara sebersih-bersihnya ketika berwudhu) dan pakai telekung berwarna-warni yang dah jadi trend sekarang, jom baca penjelasan dari Ustaz Azhare Tuarno.

Apakah hukumnya bersolat dalam keadaan bersolek? 

JAWAPAN :

Alat solek yang dibuat daripada bahan halal adalah harus digunakan manakala alat-alat solek yang dibuat daripada bahan-bahan tidak halal atau tidak suci maka hukumnya adalah najis dan tidak boleh dibawa di dalam solat. Memakai alat solek dalam solat setakat yang dibenarkan oleh syarak adalah harus. Pemakai alat solekan hendaklah membasuh muka terlebih dahulu kerana ditakuti alat-alat solek itu tadi akan menghalang air daripada terkena kulit muka atau pewarna rambut yang menghalang air sampai kepada rambut ataupun pengilat kuku yang menghalang air sampai ke kuku.

Apa saja yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk akan mengakibatkan wuduk tidak sah. Apabila wuduk tidak sah maka solat pun tidak sah. Wanita yang hendak menggunakan alat solek hendaklah membersihkan terlebih dahulu muka mereka daripada alat solek. Jika solekan penuh di muka, dikhuatiri air wuduk tidak sampai ke muka. Sebahagian wanita suka kepada solekan melampau. Ini terlalu menarik perhatian orang lelaki dan solekan yang melampau ini adalah diharamkan dalam Islam.

Kalau hendak bersolat maka sebenarnya tidak perlu bersolek, yang diperlukan adalah wuduk yang sempurna, pakaian yang sesuai dan sah dari segi syarak dan hati yang khusyuk bukannya solekan. Sepatutnya sebelum menggunakan sesuatu produk itu kita hendaklah teliti terlebih dahulu bahan-bahannya, adakah ia diperbuat daripada bahan-bahan halal atau sebaliknya.

Bagaimana pula solat dengan mengenakan telekung pelbagai warna dan berkerawang yang boleh mengganggu tumpuan orang lain?

JAWAPAN :

Tidak menjadi kesalahan dalam menggunakan telekung berwarna-warni dan penuh kerawang. Di antara syarat sah solat adalah menutup aurat dan Islam tidak pula menetapkan warna tertentu dalam penggunaan pakaian solat dan Islam juga tidak menetapkan jenis atau bentuk pakaian tertentu untuk digunakan dalam solat. Hukum asalnya adalah harus menggunakan telekung tidak kira apa jua warnanya tetapi apabila dikira ia akan mengganggu tumpuan orang lain dengan keunikan corak dan kerawang yang banyak serta warna yang amat menarik perhatian orang lain maka saya rasa ada yang perlu ditegur.

Apa tujuan si pemakai telekung itu? Kalau ia hanya pakaian solat semata-mata tanpa ada niat lain maka harus tetapi boleh menjadi haram kalau disertai oleh niat lain iaitu riak dan menunjuk-nunjuk maka hukumnya adalah haram kerana pemakainya sudah tidak ikhlas dan riak adalah sifat mazmumah yang perlu dihindari.

Kepada wanita yang memakai telekung yang boleh dianggap terlalu menarik dan boleh mengganggu tumpuan orang lain maka seeloknya hanya memakai telekung tersebut di rumah sahaja supaya tidak menimbulkan fitnah. Kadang-kadang si pemakai tiada niat dan tidak ada tujuan tidak baik tetapi pandangan dan fikiran orang lain yang suka menimbulkan kontroversi ataupun fitnah maka inilah peluang mereka menabur fitnah dan sangkaan-sangkaan buruk kepada si pemakai itu.

Sumber:  Wanista

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!