91453

Imbangi Minda, Rohani dan Jasmani di The Samata, Sanur Bali. - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bali, destinasi pelancongan yang tidak asing lagi bagi pelancong di serata dunia. Lokasi penggambaran filem Hollywood Eat,Pray, Love ini seolah-olah menjadi satu gambar wajib bagi mana-mana instagrammers yang gemar melancong. Pasir pantai yang memutih, kawasan bukit bukau yang indah, keindahan kehijauan alam dan budayanya yang unik menjadi tarikan utama bagi mereka yang ingin ke Bali. Tarikan ini jugalah merupakan antara elemen kepada pelancongan ‘health and wellness’ atau kesihatan dan kesejahteraan di Bali. Trend pelancongan ini sudah semakin meluas antaranya di Eropah, Amerika serta Asia. Jika anda ingin mencuba pengalaman melancong seperti ini, The Samata, Sanur, Bali adalah tempat yang harus anda tuju.

‘Samata’ berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud keseimbangan antara jasmani, minda dan rohani. Bersesuaian dengan nama yang dipilih, maka konsep resort ini adalah menjurus kepada keseimbangan dan meningkatkan kesihatan bagi mereka yang memilih untuk berada di The Samata. Merupakan salah satu resort di bawah syarikat Lifestyle Retreats, senibina The Samata direka khusus bagi membangkitkan suasana damai dengan sentuhan elemen Bali.

Berasaskan konsep ‘health and wealthness’ maka sudah pastinya aktiviti serta fasiliti yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan ini. The Samata adalah satu-satunya resort mewah di Bali yang menyediakan pelbagai aktiviti senaman dan kesihatan bagi pilihan penginap resort. The Samata menyediakan tiga buah kolam renang mengikut kesesuaian perenang, gelanggang tenis serta aktiviti sukan air. Ruang gym yang luas dilengkapi dengan pelbagai fasiliti senaman serta ruangan tinju bagi mereka yang ingin mencuba aktiviti yang lebih lasak. Bukan itu sahaja, resort ini juga menjemput pakar kesihatan dan senaman atas permintaan penginap resort untuk berkongsi pengalaman serta informasi mengenai kesihatan. Setelah melakukan segala aktiviti fizikal yang disediakan pastikan anda mencuba fasiliti spa yang disediakan di resort bagi mengembalikan semula tenaga anda. Pakar terapi spa yang bertugas akan membuat penilaian secara individu dari segi tahap kesihatan, kecergasan serta gaya hidup dan akan memilih perawatan yang bersesuaian dengan individu. Aktiviti seperti yoga dan meditasi juga disediakan bagi mereka yang ingin meningkatkan keharmonian tenaga dalaman.

Pastinya anda memerlukan tenaga setelah melakukan segala aktiviti yang disediakan di resort ini. Makanan adalah punca tenaga dan kesihatan untuk badan anda, atas kesedaran ini The Samata menyediakan pilihan makanan yang sihat untuk penginap resort. Restoran Zenso memberikan anda pilihan makanan organik bagi memastikan anda mendapat sepenuh kelebihan menjalani segala aktiviti di resort ini. Kombinasi makanan tempatan serta global juga menjadikan pilihan makanan di sini bukan sahaja bernutrisi malah memenuhi selera penginap resort. Kelas masakan Bali juga disediakan bagi mereka yang ingin mencuba memasak sendiri makanan tradisi Bali.

Di penghujung hari anda, pastinya anda ingin berehat dan beradu di kamar bagi mengembalikan semula tenaga anda. The Samata menyediakan lima jenis bilik penginapan mengikut kepada citarasa anda. Terdapat Spa Suite, Ocean View Suite, One Bedroom Villa, Two Bedroom Villa dan The Samata Residence. Rejuvenasi diri anda di salah satu bilik penginapan ini dan mulakan hari esok dengan penuh optimis dan tenaga baharu.

Melakukan aktiviti melancong baru ala ‘health and wealthness’ adalah sesuatu yang harus anda cuba. Mengimbangi minda, rohani dan jasmani anda ketika di negara orang merupakan suatu aktiviti yang menarik dan memberi persepsi baharu terhadap aktiviti melancong. Di The Samata, Sanur Bali anda akan dapat mengecapi semua ini. Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang www.thesamata.com atau www.lifestyleretreats.com.

sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!