86238

Keunikan dan Keselesaan 25hours Hotel di Berlin, Jerman! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bandaraya Berlin di Eropah semakin lama semakin popular di kalangan pelancong Asia. Malah beberapa syarikat penerbangan Asia sudah mula terbang secara langsung ke kota tersebut tanpa memerlukan para penumpang untuk melakukan singgahan transit.

Dan walaupun Berlin ditumbuhi ratusan hotel namun hotel-hotel butik mewah semakin mendapat tempat di ibukota Jerman itu. Ini kerana hotel-hotel butik ini masih mampu menawarkan perkhidmatan setaraf hotel-hotel lima dan empat bintang antarabangsa. Dan lebih istimewa lagi, mereka sering menyediakan ciri-ciri unik di bilik ataupun kemudahan lain bagi menarik minat para tamu.

Salah satu hotel unik yang dimaksudkan adalah 25hours Hotel yang terletak di kawasan Zoo di Berlin. 25hours Hotel turut mempunyai aneka cabang lain di beberapa kota Jerman seperti di Frankfurt, Hamburg serta banyak lagi di luar Jerman seperti Paris, Vienna dan Zurich. Ia juga menawarkan kelainan dari segi penginapan dan senireka kemudahan-kemudahan hotelnya. 25hours Hotel di Berlin mempunyai lokasi yang strategik kerana terletak sangat dekat dengan hentian tren umum (seperti MRT di Malaysia) iaitu stesen keretapi bawah tanah dan atas kota S dan U-Bahn Zoologischer Garten (atau stesen Zoo Berlin) dan berada di sebelah gedung membeli-belah popular Berlin, iaitu Bikinihaus.

Kesemua 25hours Hotel telah dibina untuk menjadi sebuah hotel butik yang kaya dengan keunikan dari segi konsep senireka moden. Ia merupakan hotel yang menggabungkan konsep senireka dari unsur seni halus, seni moden, seni arca dan juga fotografi. Kala melangkah masuk sahaja ke perkarangan hotel, para tamu akan rasa seperti masuk ke dalam sebuah muzium seni moden atau galeri seni. Dengan aneka warna-warni serta ajnas bentuk dan rupa, semuanya tampak pelik namun sangat menarik. Malah senireka bangunannya dari luar sahaja sudah pasti mendapat perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya dari jauh.

Yang menjadikannya lebih eksklusif adalah, bilik-bilik hotel ini mempunyai  senireka dalaman serta tema tersendiri hasil garapan pereka dalaman pihak hotel. Kesemua bilik mempunyai perkhidmatan sambungan internet wi-f percuma serta kemudahan elektronik terkini seperti televisyen dengan saluran satelit, alat pendengar UE Boom Bluetooth dan banyak lagi.

Kebanyakan hasil seni mereka yang kontemporari diabadikan dalam setiap pelusuk hotel dari bilik, lobi, lif, sehinggalah ke restoran dan ruang-ruang khas lain. Ia juga mempunyai sebuah restoran bernama Neni yang menawarkan menu enak bervariasi tempatan dan antarabangsa selain Monkey Bar dan kedai roti Woodfire. Semestinya, senireka dalaman restorannya juga lain daripada restoran-restoran hotel yang lain.

Monkey Bar dan Neni merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk bersantai sambil menikmati minuman bersama teman-teman. Jelas ternyata, konsep hotel ini memang berbeza kerana setiap 25hours Hotel berlainan di antara satu sama lain.

Andai berpeluang ke Berlin dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza namun masih mewah dan meriah, bermalamlah di 25hours Hotel! Ia pasti tak akan anda lupakan!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!