91688

Makanan Halal dan Penginapan Mewah di Menlyn Boutique Hotel, Pretoria Afrika Selatan! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bandaraya Pretoria merupakan salah satu ibukota administrasi negara Afrika Selatan. Biarpun ia tidak sepopular Cape Town dan Johannesburg ia pasti menjadi singgahan kerana lokasinya yang tidak jauh dari bandar Johannesburg.


Dan walaupun Pretoria ditumbuhi ratusan hotel namun hotel-hotel butik mewah semakin mendapat tempat di ibukota Afrika Selatan itu. Ini kerana hotel-hotel butik ini masih mampu menawarkan perkhidmatan setaraf hotel-hotel lima dan empat bintang antarabangsa. Dan lebih istimewa lagi, mereka sering menyediakan ciri-ciri unik di bilik ataupun kemudahan lain bagi menarik minat para tamu.

Salah satu hotel unik yang dimaksudkan adalah Menlyn Boutique Hotel yang terletak di kawasan kediaman Menlyn. Ia juga menawarkan kelainan dari segi penginapan dan senireka kemudahan-kemudahan hotelnya. Hotel ini mempunyai lokasi yang strategik kerana terletak sangat dekat dengan pusat membeli-belah Menlyn.

Hotel ini telah dibina untuk menjadi sebuah hotel butik yang kaya dengan keunikan dari segi konsep senireka moden. Ia merupakan hotel yang menggabungkan konsep senireka dari unsur seni halus, seni moden, seni arca dan juga fotografi.

Kala melangkah masuk sahaja ke perkarangan hotel, para tamu akan rasa seperti masuk ke dalam sebuah muzium seni moden atau galeri seni. Dengan aneka warna-warni serta ajnas bentuk dan rupa, semuanya tampak unik namun sangat menarik. Malah senireka bangunannya dari luar sahaja sudah pasti mendapat perhatian kerana ia mirip sebuah sebuah agam yang besar.

Yang menjadikannya lebih eksklusif adalah, bilik-bilik hotel ini mempunyai senireka dalaman serta tema tersendiri hasil garapan pereka dalaman pihak hotel. Kesemua bilik mempunyai perkhidmatan sambungan internet wi-fi percuma serta kemudahan elektronik terkini seperti televisyen dengan saluran satelit, dan banyak lagi.

Kebanyakan hasil seni mereka yang kontemporari diabadikan dalam setiap pelusuk hotel dari bilik, lobi, lif, sehinggalah ke restoran dan ruang-ruang khas lain.

Ia juga mempunyai sebuah restoran bernama Black Bamboo yang sangat terkenal di seluruh Afrika Selatan. Restoran ini menawarkan menu enak bervariasi tempatan dan antarabangsa serta yang lebih menarik ia juga menyajikan daging halal buat tamu yang beragama Islam! Jadi pastikan ia menjadi salah satu pilihan anda kalau ke Pretoria.


Andai berpeluang ke Pretoria atau Johannesburg yang berdekatan dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza namun masih mewah dan meriah, bermalamlah di Menlyn Boutique Hotel! Ia pasti tak akan anda lupakan!

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!