102175

Mengembara ke negara China bersama Star Media Group dan CICC! - Suria FM - Segalanya Hiburan

(Petaling Jaya, 11 Januari) – Star Media Group, melalui anak syarikatnya, SMG Entertainment Sdn. Bhd., yang menawarkan perkhidmatan video atas permintaan, Dimsum Entertainment kini menjalinkan kerjasama multimedia bersama China Intercontinental Communication Center (CICC). Ditubuhkan pada tahun 1993, objektif utama CICC adalah untuk “membantu dunia dalam memahami negara China, dan membantu China memahami dunia.”

Sejak diperkenalkan, CICC telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi media gergasi seperti National Geographic, Al-Jazeera dan BBC dalam menerbitkan dokumentari berkualiti tinggi yang berpusat di sekitar China. Sepanjang kerjasama antara CICC dengan pelbagai organisasi antarabangsa, pertubuhan media tersebut telah mengedarkan beratus-ratus jam dokumentari bertema China ke lebih 200 negara di seluruh dunia. Pada masa yang sama, kolaborasi berkenaan juga telah memperkenalkan rakyat China kepada perkembangan budaya, teknologi dan ekonomi asing.

Menerusi pengumuman pelancaran secara maya yang dilakukan beru-baru ini, Ketua Pegawai Pemasaran Dimsum Entertainment dan Star Media Group, Lam Swee Kim, berkata:

“Kami berharap dapat menggerakkan beberapa inisiatif bersama CICC. Ia termasuk inisiatif perdana yang merangkumi perkongsian kandungan untuk siaran di negara masing-masing dan juga di rantau ASEAN. Dokumentari dan kandungan pendek mengenai budaya, teknologi, pembangunan ekonomi dan sosial akan menjadi sebahagian daripada variasi kandungan yang akan menarik minat penonton.

“Inisiatif kedua pula termasuk kemungkinan untuk menjalin kerjasama produksi bagi menghasilkan program tentang budaya, makanan, percutian dan kandungan-kandungan yang menarik minat penonton. Ia juga akan mengumpulkan bakat-bakat daripada pelbagai negara untuk mengetengahkan idea masing-masing.”

Bersama CICC, Dimsum Entertainment melancarkan saluran berjenama bernama USilk pada Januari 2021. USilk menampilkan siri dokumentari berkualiti tinggi yang dihasilkan CICC bersama 16 rakan media antarabangsa lain. Barisan dokumentari  ini akan memberikan gambaran yang berharga mengenai budaya negara China, termasuk beberapa kawasan seperti Xinjiang, Guangdong, Jiangnan dan Jalan Sutera.

Berikut merupakan kandungan yang boleh disaksikan oleh penonton menerusi USilk: Pertama, siri mini tujuh episod yang memfokuskan kepentingan tauhu dalam masyarakat Cina. Tofu Legends menyingkap perspektif rakyat China yang unik tentang makanan popular ini dan kaedah memasak turun-temurun yang telah menjadikan tauhu sebagai makanan istimewa. Tofu Legends juga mempromosikan diet sihat dan gaya hidup sederhana yang diamalkan oleh bangsa Cina sejak sekian lama.

Bagi pencinta alam, Overwintering mungkin menjadi pilihan untuk distrim. Diarahkan oleh We Xing, dokumentari berdurasi satu jam ini bakal membawa anda menelusuri kehidupan burung jenjang berleher hitam yang berasal dari negara China.

Mereka yang berminat dengan seni pertukangan dan budaya China mungkin boleh menyaksikan The Great Master Craftsmen III. Berkisar tentang hubungan antara si tukang dan pekerjanya, setiap episod mempersembahkan seni, kemahiran dan falsafah seorang artisan, serta memperlihatkan bagaimana warisan budaya Cina diturunkan dari generasi ke generasi.

Nantikan juga beberapa nama besar dalam dokumentari berjudul In China: Mission SOJOUR yang menyaksikan bintang-bintang popular meneroka keramahan, tradisi dan budaya China melalui percutian di rumah tumpangan (homestay) yang diaturkan khas untuk mereka. Berbeza dengan dokumentari lain, In China: Mission SOJOURNey memberikan perspektif yang lebih santai dan menyeronokkan mengenai kehidupan di China!

Terdapat pelbagai pilihan kandungan untuk penonton, terutama barisan dokumentari sempena Tahun Baharu Cina seperti A Bite of Guangdong, Flavours of Xinjiang, Tahun Baharu Cina, dan Tofu Legends: Origins, iaitu prekuel kepada siri Tofu Legends.

Jom nikmati kandungan berkualiti tinggi USilk secara percuma di Dimsum Entertainment!

Untuk maklumat lanjut mengenai terma langganan dan informasi, layari www.dimsum.asia, Facebook rasmi Dimsum Entertainment (@dimsum.ent), Instagram (@dimsum.ent) dan Twitter (@dimsumasia).

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!