90710

Menikmati Keindahan Yogyakarta - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

Indonesia sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi percutian pilihan rakyat Malaysia atas pelbagai sebab. Selain jaraknya yang begitu dekat, negara jiran itu juga berkongsi budaya serumpun dengan Malaysia. Lebih penting lagi, negara yang sangat luas itu mempunyai banyak tempat-tempat pelancongan yang menarik.

Selain kota Jakarta, Bandung dan Bali yang sering menjadi tumpuan penduduk sekitar, Yogyakarta tidak terkecuali menjadi salah satu bandar yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa. Terletak di kawasan Jawa Tengah, daerah istimewa Yogyakarta sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

Setiap tahun di awal bulan Oktober, bandar penuh bersejarah ini menyambut ulangtahunnya, dan pada tahun 2018 ini genaplah usia Yogyakarta yang ke 262 tahun!

Seperti yang diketahui ramai, Yogyakarta yang sering disebut Jogja oleh penduduk tempatan mempunyai banyak tempat-tempat wisata untuk dilawati. Semestinya yang paling dikenali dan menjadi sebutan warga dunia adalah Candi Borobudur yang terletak di kawasan Magelang, sekitar 40km dari pusat kota Yogyakarta.

Menurut kajian, Candi Borobudur sebenarnya merupakan sebuah kuil purba penganut agama Buddha yang dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. Kini Borobudur telah diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia sejak 1991.

Pengunjung yang melawat Candi Borobudur buat pertama kali pasti akan terpegun dengan keindahan senibina serta ukiran yang terdapat pada keseluruhan kompleks ini. Dari bawah hinggalah ke puncaknya, terdapat ratusan ukiran di dindingnya yang menceritakan ajnas kisah serta pengajaran yang termaktub dalam agama Buddha.

Dan di zaman moden ini, ia merupakan salah satu bangunan yang paling sering diabadikan dalam gambar dan fotograf. Jadi tidak hairanlah sekiranya kuil ini dikerumuni ramai orang pada setiap hujung minggu. Ramai yang ingin mengambil gambar di sini dan berkongsi di media sosial. Oleh itu ramai juga yang merasa rugi jika tidak sempat bergambar di situ.

Selain kuil ini, ada banyak lagi tarikan di Yogyakarta. Antara yang harus dikunjungi adalah Kampung Budaya Tembi atau Tembi Tourism Village. Ia merupakan sebuah pusat pelancongan yang memberi peluang kepada para pelawat untuk mencuba pelbagai aktiviti kesenian, seperti belajar melukis dan mencetak batik Jawa dan juga bermain gamelan.

Untuk sedikit persembahan seni tarian dan budaya, para pengunjung boleh ke Ramayana Ballet Theatre untuk menyaksikan pementasan kisah Ramayana dalam bentuk tarian. Pengunjung juga boleh bergambar bersama para penari serta pelakon yang beraksi dalam pementasan tersebut.

Bagi yang ingin membeli-belah dan menikmati makanan tempatan, jangan lupa singgah ke Jalan Malioboro yang sinonim dengan jualan aneka pakaian (khasnya batik) dan pelbagai tempat yang menjual makanan. Ia merupakan satu lagi destinasi popular kota Yogyakarta yang harus dikunjungi kalau ke sana.

Dan ini hanyalah sedikit sahaja tarikan yang ada di Yogyakarta. Terdapat banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan di bandar penuh bersejarah ini. Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut pastikan anda terbang sendiri ke sana!

 

  • Terima Kasih kepada Pejabat Pelancongan Bandaraya Yogyakarta
Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!