96398

Nantikan… Festival Trak Makanan Terbesar Dunia Mac Ini Di Bukit Jalil! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Makanan dan rakyat Malaysia memang tak dapat dipisahkan. Jadi tak hairan kebanyakan restoran dibuka 24 jam bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa lapar!

Selain restoran mamak dan kafe hipster, trak makanan semakin mendapat perhatian masyarakat sebagai lokasi lepak bersama rakan-rakan dan keluarga sambil menikmati pelbagai hidangan.

Jadi tidak hairan, Persatuan Trak Bergerak Pengusaha Kecil dan Sederhana atau SME Mobile Truck Association (SMEMTA) iaitu persatuan dibawah Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) bakal mengadakan sebuah festival trak makanan terbesar di dunia pada Mac depan.

SME Mobile Truck Revolution 2020 – World’s Largest Food Truck Rally bukan sekadar festival biasa sebaliknya dalam cubaan memecahkan rekod Guinness World Record.

Presiden Kebangsaan SMEMTA, Datuk Wira Jalilah Baba berkata, penganjuran acara itu bukan sahaja untuk mengumpulkan trak makanan di satu tempat sebaliknya dalam usaha mengalakkan usahawan menaik taraf dan mengembangkan perniagaan mereka.

Trak makanan semakin popular!

Jalilah memberitahu, menjadi harapan mereka agar penganjuran festival dua hari itu nanti dapat mengumpulkan lebih ramai usahawan selain menggalakkan generasi muda terutamanya lepasan universiti untuk menceburi bidang perniagaan trak makanan.

“Setakat ini pihak kami sudah menerima 200 permohonan daripada peniaga trak makanan untuk menyertai acara itu, termasuk daripada jenama terkenal seperti Kyochon, Texas Chicken, Pizza Hut, Krispy Creme, Kenny Rogers dan sebagainya.

“Kami berharap dan mengalu-alukan lebih banyak usahawan tampil menyertai kami dan memeriahkan lagi acara itu nanti,” katanya.

SME Mobile Truck Revolution 2020 – World’s Largest Food Truck Rally bakal diadakan pada 21 dan 22 Mac depan di kawasan tempat letak kereta terbuka Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ia akan mula beroperasi dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam dan dijangka seramai 150,000 ke 180,000 pengunjung dan pencinta makanan akan membanjiri karnival itu.

Pihak SME juga menganggarkan sebanyak 300 trak makanan akan menyertai acara itu nanti.

Dalam pada itu, selain menikmati pelbagai juadah yang dijual, pengunjung juga boleh membuat undian menerusi Mobile Truck Awards yang menawarkan hadiah sehingga RM100,000 bagi mengangkat pemenang menerusi kategori seperti Makanan Terbaik, Rekaan Trak Terbaik, Trak Paling Popular dan Cef Trak Terbaik.

Pengunjung juga tidak ketinggalan apabila juga boleh memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah dan cabutan bertuah.

 

Kredit artikel dan gambar: mStar 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!
Enable referrer and click cookie to search for pro webber