95761

Percutian Ala Spiritual Di Ohm Ham Retreat & Resort, Bali - Suria FM - Segalanya Hiburan

‘Pulau Para Dewa’ atau lebih dikenali dengan nama Bali merupakan salah sebuah pusat pelancongan popular yang menerima kunjungan tidak putus-putus dari pelancong seluruh dunia. Terkenal sebagai tumpuan sukan penggemar luncur ombak, Bali mencapai ledakan popularitinya apabila filem Hollywood terkenal Eat, Pray, Love memaparkan Bali sebagai latar kepada penceritaannya. Kini, pelancong dari seluruh pelusuk dunia ingin merasai sendiri momen-momen di mana watak utama menyelusuri pengembaraan spiritualiti di Bali.

Terdapat pelbagai pusat yoga dan meditasi bagi mereka yang inginkan percutian ala spiritual ini. Antara yang harus dikunjungi ialah Ohm Ham Retreat & Resort, Ubud Bali. Ohm Ham diasaskan oleh Guru Ketut Arsana merupakan sebuah resort yang memberi fokus kepada keseimbangan dan keharmonian spiritualiti. Ianya terletak 5 kilometer dari pekan Ubud dan mengambil masa selama 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denpasar.

Setibanya penginap menjejakkan kaki ke resort ini, anda akan disambut oleh suasana damai alam yang menghijau di samping menikmati pemandangan sawah padi yang mengelilingi sekitar resort.

Penginap boleh memilih dari empat jenis bilik yang disediakan mengikut  citarasa masing-masing iaitu Ananda (Superior Room), Shakti (Deluxe Room), Sidhi dan Mandala (Suite Room).

Antara pakej spa yang disediakan ialah Replenish and Detox, Loving Your Life Retreat, Nourish Retreat, Restore New Retreat dan Relaxing and Spa Retreat. Terdapat juga pelbagai aktiviti lain yang ditawarkan seperti kelas tarian Bali, kelas penyediaan minuman herba dan kelas lukisan batik. Penginap juga disajikan dengan makanan organik yang ditanam sendiri oleh resort ini.

Selain dari melakukan aktiviti di resort ini penginap juga berpeluang untuk menikmati spa yang terletak di pekan Ubud yang dikenali sebagai Ubud Bodyworks Centre. Keistimewaan spa ini ialah ia menyediakan rawatan ayurveda dan Bali Usadha. Rawatan ini memberi fokus kepada keseimbangan serta pemulihan sistem lymphatic yang membantu meningkatkan pertahanan badan. Pengunjung juga diberi peluang untuk mempelajari dan menyediakan sendiri bahan-bahan lulur untuk perawatan badan.

Maka sekiraya anda memilih untuk bercuti ala spiritual di Bali pastikan anda berkunjung ke Ohm Ham Retreat & Resort. Untuk maklumat lanjut layari https://www.omhamretreat.com/ atau instagram @ohmhamretreat.

 

Artikel sumbangan:  Wan Azfarozza

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!