87479

Percutian Romantis di Rendezvous Hotel Perth Scarborough - Suria FM - Segalanya Hiburan

Percutian ke Perth, Australia bersama insan tersayang pasti lebih romantis jika anda memilih lokasi penginapan yang terletak di tepian pantai. Biarpun Perth tidaklah sepadat kota Sydney, tetapi pemandangan laut yang membiru pasti mengukir memori yang sukar dilupakan.

Rendezvous Hotel Perth Scarborough menjanjikan pengalaman percutian yang cukup menyeronokkan. Terletak di tepian pantai Scarborough, hotel yang pernah menjadi pilihan bintang ternama seperti Michael Jackson, Bono, Kylie Minogue, dan Pearl Jam ini menawarkan 9 jenis bilik bagi keselesaan tetamu.

Antara jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan ialah King or Twin Room, Family Room, Deluxe Room King or Twin With Ocean View, Deluxe Ocean View Family Room, Deluxe Room King Beach Front dan Executive Suite King.

Seandainya mahu menikmati keindahan laut yang membiru, bolehlah memilih bilik-bilik yang menawarkan pemandangan laut yang mempesona. Biarpun harganya agak mahal, tetapi ia cukup berbaloi. Bayangkan diri anda bermalas-malasan di atas katil sambil menikmati birunya hamparan laut di depan mata. Pasti hilang segala tekanan yang tersimpan begitu lama.

Setiap bilik dihias dengan dekorasi moden minimalis bagi menyuntik mood yang lebih segar sesuai dengan kehendak tetamu yang rata-ratanya mahu menghabiskan masa bersantai-santai di kawasan pantai popular ini. Keluasan bilik juga tidak menghampakan. Tetamu bebas bergerak ke sana sini tanpa perlu berhati-hati apabila melangkah. Tambah menceriakan, setiap bilik dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Bercerita tentang kemudahan yang ada, tidak berlebihan jika dikatakan hotel milik TFE Hotels lengkap dengan pelbagai kemudahan. Ada lokasi selera, pusat rekreasi dan gimnasium, kolam renang, spa dan juga dewan dengan dek observasi untuk mengadakan acara-acara istimewa.

Berkelah Sambil Nikmati Matahari Terbenam
Puas terperap di bilik, panjangkan langkah ke pesisir pantai. Jangan lepaskan peluang menimati keindahan matahari terbenam. Abadikan kenangan bersama orang tersayang. Jika ingin mengukir saat-saat lebih romantis, boleh juga berpiknik bersama si dia.

Tak susah pun buat persiapan, boleh singgah di Pasaraya Coles yang terletak hanya beberapa meter dari hotel. Dapatkan sebotol sparkling juice, kek, muffin, buah-buahan atau makanan ringan lain, anda sudah boleh melakukan aktiviti ini dengan senyuman.

Jika piknik bukan aktiviti pilihan, mungkin boleh luangkan masa dengan menjalani sesi penggambaran bagi merakam saat-saat manis berdua. Banyak sport-sport menarik sepanjang pantai Scarborough. Jika bajet terhad, ambil gambar sendiri sahaja, yang penting bawa kamera dan tripod. Percayalah foto-foto yang terhasil pasti membuatkan hati anda berbunga riang.

Untuk maklumat lanjut sila layari https://rendezvoushotels.com/hotel/perth-scarborough

sumbangan : Sri Rahayu Mat Nah

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!