85402

Perth: Penyatuan Alam Semulajadi dan Bandar - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

Ada apa di Perth? Persoalan yang bermain di fikiran selepas membuat pembelian tiket penerbangan ke Perth secara spontan, mengikut gerak hati dan tanpa berfikir panjang. Maka anda pun mula membuat segala carian di internet seperti di mana tempat penginapan yang strategik, ke mana lokasi menarik yang boleh dikunjungi, apakah aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan sepanjang percutian. Seterusnya bertanya kepada rakan-rakan yang menetap di sana atau yang pernah berkunjung ke Perth. Perkara biasa yang dilakukan oleh mereka yang gemar melancong bukan?

Pada mereka yang gemar mengembara akan memilih untuk melakukan segala aktiviti mengikut perancangan sendiri atau mungkin tanpa sebarang perancangan; kita tunggu dan lihat ala backpackers. Namun, ada yang mahukan segala perancangan dan perjalanan ke destinasi pilihan disusun rapi dan tersedia apabila menjejakkan kaki ke lokasi impian. Anda hanya perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk melakukan segala aktiviti -aktiviti menarik yang dirancang. Jika ini yang anda mahu lakukan di Australia Barat, maka ada beberapa laman sesawang yang boleh membantu seperti Sightseeingpass Australia dan banyak lagi. Laman-laman sesawang ini adalah pilihan tepat bagi anda yang ingin menyelusuri dan mengenali bandar Perth dengan lebih dekat. Sightseeingpass Australia merupakan platform tempahan atas talian yang membolehkan sesiapa sahaja memilih aktiviti yang diinginkan bagi mereka yang bukan sahaja ingin ke Perth malah ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Australia Barat.

Pada mereka yang gemar melancong google maps mungkin adalah sahabat baik anda apabila menjejakkan kaki buat pertama kali ke negara atau bandar yang anda kunjungi. Pengembaraan secara free and easy ini merupakan suatu cabaran yang ditagih khususnya oleh pengembara backpackers. Namun, ada di antara kita yang mahukan aktiviti free and easy tanpa perlu kompromi dari aspek keselesaan dan pengembaraan terancang. Dengan perkhidmatan Hop -on Hop-off Perth dan Kings Park Tour, ia memberi ruang kepada anda untuk mengenali lebih dekat bandar Perth melalui informasi yang diberikan sepanjang anda berada di dalam bas dua tingkat ini. Menariknya aktiviti ini ialah, anda boleh turun pada bila – bila masa sahaja dan meneroka bandar Perth sendiri.

Sekiranya anda ingin menyambung semula aktiviti bersama bas Hop-on Hop-off ini anda hanya perlu menunggu bas di mana -mana perhentian yang telah ditetapkan di sekitar bandar Perth dan meneruskan perjalanan anda bersama bas ini. Anda hanya perlu menunjukkan baucer yang telah diberikan. Mudah bukan? Ini merupakan pakej yang disyorkan sekiranya anda pertama kali ke Perth. Mengapa? Kadang kala apabila kita menyelusuri bandar yang kita kunjungi tanpa kita sedari bangunan atau tempat yang baru sahaja dilalui mengandungi seribu satu sejarah dan fakta menarik yang menyumbang kepada sorotan kisah bandar itu sendiri. Maka, sekiranya anda ke Perth, pastikan aktiviti ini berada dalam senarai aktiviti anda.

Selesai bersiar-siar di bandar, jangan lupa untuk mengenali alam semula jadi Perth. Semestinya lautan Australia adalah salah satu samudera terindah dengan banyak spesis menarik. Ikan lumba-lumba merupakan spesis haiwan mamalia yang kerap menjadi tumpuan penyelidik mahupun manusia secara umumnya kerana keupayaan intelek haiwan itu berbanding haiwan lain. Bagi mereka yang ingin tahu mengenai haiwan ini paling mudah ialah membuat lawatan ke zoo ataupun ke mana-mana pusat aquaria. Namun adakah haiwan ini akan bertindak secara berbeza sekiranya berada di habitat asal? Pakej bersama Rockingham Wild Encounters (Swim with Dolphins) memberi peluang kepada anda untuk berada di habitat semulajadi haiwan bijak ini dan menyaksikan sendiri bagaimana ikan lumba-lumba ini berinteraksi di dalam kumpulan mereka secara dekat. Dengan penyelia yang berpengalaman anda akan diberi tunjuk ajar serta latihan untuk menyelam bersama ikan lumba-lumba ini. Bagi mereka yang berminat anda juga boleh kunjungi http://www.rockinghamwildencounters.com.au untuk maklumat lanjut.

Selain lumba-lumba ada mamalia khas lain di sini seperti Quokka. Tidak lama dahulu Quokka Selfie menjadi viral di media sosial apabila haiwan ini diberi jolokan haiwan paling comel. Habitat semulajadi Quokka yang terletak di Pulau Rottnest merupakan salah satu faktor untuk memilih pakej yang ketiga. Perjalanan ke pulau ini bersama feri Sealink Rottnest hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam dari jeti di Fremantle.

Pulau Rottnest merupakan sebuah pulau rizab semulajadi yang dilindungi maka bagi peminat flora dan fauna pulau ini adalah syurga buat anda. Kejernihan air laut yang membiru membolehkan anda melakukan aktiviti snorkeling tanpa perlu menaiki bot ke tengah lautan. Ini kerana di sekitar pulau berdekatan dengan tepian pantai jelas kelihatan batu karang dengan pelbagai bentuk dan warna. Pulau yang dahulunya merupakan pusat latihan tentera ini juga mempunyai muka bumi tebing laut yang pasti membuatkan anda terpesona dengan keindahannya.

Memilih destinasi ke Perth adalah suatu pilihan bijak bagi mereka yang inginkan kombinasi bandar moden dan alam semulajadi. Mempunyai aktiviti pengembaraan secara terancang akan membuatkan perjalanan anda terasa lebih selamat dan berjalan dengan lancar. Laman sesawang seperti Sightseeingpass Australia dapat membantu anda merancang percutian mengikut bajet di samping menyediakan diskaun kepada pakej-pakej pelancongan yang menarik.

Sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar
Dengan bantuan www.sightseeingpassaustralia.com

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!