86771

Pesona Tradisional Solo - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

Sekali disebut nama Solo, pasti kita terbayangkan batik tradisional Solo yang halus, sungai dan lagu terkenal, Bengawan Solo, dan Joko Widodo, Presiden Indonesia yang pernah menjadi Datuk Bandar kota ini.

Solo juga tidak hanya terkenal dengan batiknya yang sangat halus, tapi juga pilihan makanannya yang hebat. Pilih saja daripada nasi liwet, selat solo, serabi, es dawet, karangasem, sate buntel dan macam-macam lagi.

Saiz kota Solo sebenarnya tidak terlalu besar, cuma 44 km persegi saja. Kota ini mempunyai penduduk seramai sekitar 500 ribu orang yang terdiri daripada pelbagai etnik, majoritinya Jawa.

Apa beza Solo dan Surakarta? Tiada beza kerana kedua-duanya sama saja. Surakarta adalah nama kerajaan atau nama formal kota Solo. Jadi janganlah risau jika anda melakukan carian internet dan alamat yang keluar berhujungkan Surakarta dan bukan Solo.

Apa yang boleh dilakukan di Solo? Mungkin ramai yang berpendapat oleh kerana saiz Solo kecil, seluruh tarikannya boleh dilawati dalam masa sehari. Anda semua salah. Suria menghabiskan masa 3 hari dua malam di Solo dan itu pun masih banyak yang tidak dapat dilawati.

Perjalanan dari Jakarta mengambil masa satu jam dengan menaiki kapal terbang, manakala dari Yogyakarta cuma satu jam dengan menggunakan keretapi atau dua jam jika memandu.

Suria memulakan lawatan ke Solo pada awal pagi dengan pesawat dari Kuala Lumpur yang transit di Jakarta sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisumarmo, Solo sekitar jam 2 petang.

Tempat pertama yang kami kunjungi ialah Muzium Batik Go Tik Swan atau Ndalem Hardjonegaran. Muzium peribadi ini kecil sahaja tapi penuh dengan pelbagai isi yang menarik. Mendiang Go Tik Swan sebenarnya seorang tokoh seni terkenal di Indonesia. Kepakarannya dalam seni dan batik telah menemukan beliau dengan Presiden pertama Indonesia, Presiden Soekarano, yang kemudiannya meminta Go Tik Swan mencipta batik mewakili seluruh Indonesia.

Pada waktu itu, setiap daerah mempunyai identiti batik yang tersendiri. Akhirnya, mendiang berjaya menggabungkan karakter-karakter penting batik, contohnya motif dari Jawa Tengah, dan teknik mewarna batik persisiran untuk menghasilkan batik halus nan unik yang melambangkan seni batik Indonesia secara keseluruhannya.

Jika anda ke muzium ini pada waktu pagi, anda dapat melihat para pekerja membuat batik dan keris. Bukan itu saja tarikan di sini, ada juga Pendopo Punggeran yang bersejarah dan dibina tanpa menggunakan paku dan ukiran-ukiran batu dari kurun ke-15.

Anda juga boleh memulakan acara jalan-jalan cari makan sekitar Solo di kawasan ini kerana Muzium Go Tik Swan terletak berhampiran dengan kedai serabi Notosuman yang enak.

Selepas makan malam pada hari pertama, Suria sempat berjalan di sekitar Jalan Gatot Subroto. Di sini anda boleh melihat mural-mural kreatif warna-warna yang dilukis pada bahagian depan atau pintu kedai. Ia tidak dapat dilihat pada waktu siang semasa kedai-kedai dibuka.

 

Sambil-sambil itu bolehlah singgah di warung-warung wedang yang tutup lewat, atau mencuba nasi liwet Wongso Lemu yang terkenal dan terletak berhampiran dengan Jalan Gatot Subroto.

Hari kedua Suria di Solo dimulakan dengan lawatan ke sebuah bunker dari zaman perang Belanda abad ke-19. Bunker ini ditemui di tengah kota Solo dan dikatakan bersambung dengan beberapa kawasan penting di seperti kubu Vaastenburg. Walaupun tidak banyak papan tanda penjelasan yang ada di sekitar bunker ini, pencahayaan samar-samar di bahagian dalamnya menjadikan tempat ini agak ‘instagram-worthy’.

Dari bunker Belanda, kami berjalan ke Pasar Gede Solo untuk melihat keadaan pasar tradisional yang masih digunakan oleh penduduk setempat. Memang menarik keadaannya. Pengunjung boleh membeli rempah pecel segar, tauhu atau tempe yang dijual dalam blok-blok besar, kuih-muih atau jajan pasar.

Suria sempat merasa es dawet telasih kegemaran Presiden Jokowi di pasar ini. Sungguh menyegarkan. Rasa seperti cendol tapi kurang manis dan lebih lemak.

Selepas itu, kami ke istana atau Keraton Kasunanan Surakarta. Solo mempunyai dua istana keraton, Kasunanan dan Pura Mangkunegaran. Jika anda mempunyai masa, kami sarankan untuk berkunjung ke kedua-duanya kerana setiap satunya mempunyai tarikan yang tersendiri.

Kalau boleh, gunakanlah perkhidmatan ‘guide’ atau pemandu pelancong untuk mendengar sendiri kisah-kisah menarik artifak yang dipamerkan atau cerita-cerita keraton zaman dulu kala, termasuk juga ciri-ciri perbezaan Solo dan Yogyakarta dari kesultanan hinggalah budaya.

Selesai makan tengahari, Suria dan rakan-rakan penulis lain ke stesen keretapi Purwosari untuk menaiki keretapi wap Jaladara (Sepur Kluthuk Jaladara). Serasa seperti watak filem Harry Potter pula menaiki keretapi tua dikuasakan wap sepenuhnya dan ia memang pengalaman yang sukar dilupakan. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan jamu dan serabi serta dendangan lagu-lagu tradisional nyanyian pasindhen (penyanyi tradisional).

Satu lagi hal unik tentang keretapi wap Jaladara ini adalah landasannya merentas jalan-jalan biasa yang dilalui kereta dan motor, seperti tram di negara-negara Eropah.

Sepanjang perjalanan hampir 2 jam ini, kami sempat berhenti di Loji Gandrung, iaitu tempat tinggal Walikota atau Datuk Bandar Kota Surakarta, dan juga Muzium Batik Danarhadi. Tanpa menaiki keretapi juga, kedua-dua tempat ini patut berada dalam senarai kunjungan anda, terutama sekali Muzium Batik Danarhadi yang dikatakan muzium batik terbaik di rantau ini.

Malam kedua Suria di Solo dihabiskan menonton pertunjukan wayang orang di Taman Kebudayaan Sriwedari. Apa itu wayang orang? Ia sebenarnya pementasan kisah-kisah Ramayana atau Mahabharata. Bayangkan warna-warni watak, skrip dan muzik wayang kulit tapi dilakonkan oleh para pelakon berbakat. Pertunjukan ini berlangsung setiap hari dan kisah yang lakonkan bertukar-tukar setiap hari. Tiket boleh dibeli di pintu masuk.

Awal pagi pada hari ketiga Suria dan rakan-rakan media sudah berada di Jalan Slamet Riyadi untuk acara Solo Menari. Acara tahunan ini diadakan sempena Hari Tari Sedunia sejak tahun 2012. Tetapi tahun ini ia telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 5000 orang penari untuk menarikan 3 jenis tarian Gambyong. Di hujung tarian ketiga, para penonton di ajak menari bersama. Bayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu! Acara tahun ini juga telah berjaya meletakkan nama Solo dalam Muzium Rekod Dunia Indonesia (MURI).

Dari acara tari-menari, kami berpindah ke Muzium Keris yang baru saja dibuka tahun lalu. Koleksi keris tempatan dan nusantara di sini cukup mengagumkan. Ternyata keris tidak hanya datang dengan satu rekaan dan keunikannya tidak hanya diukur dari segi luk (lekukan) sahaja. Kalau mahu tahu lagi, haruslah berkunjung ke muzium ini.

Selepas itu, Suria memulakan perjalanan ke kuil Candi Sukuh yang terletak di Gunung Lewu, kira-kira 90 minit dari kota Solo. Dalam perjalanan, anda dapat melihat kebun-kebun teh melati di lereng gunung dan rumah-rumah teh untuk pengunjung berhenti sejenak membasahkan tekak.

Candi Sukuh terletak pada 910 meter di atas paras laut. Ketinggian ini membuatkan udara di sekitar candi terasa dingin dan segar. Di Candi Sukuh, pengunjung akan diberikan sehelai kain hitam putih untuk diikat dipinggang.

Walaupun kuil Candi Sukuh adalah sebuah kuil atau candi Hindu, bentuknya berbeza, seakan-akan piramid. Relik yang terdapat di sekeliling candi ini kebanyakannya bertemakan kehidupan sebelum kelahiran dan kesuburan seksual. Kawasan candi tidak terlalu besar tapi cubaan memanjat tangga-tangga yang ada di tiga lapisan candi ini agak menguji stamina.

Menurut pemandu pelancong kami, kawasan Gunung Lewu terkenal dengan aktiviti trekking. Perjalanan trekking boleh dimulakan di Candi Cetho, kemudian singgah di Candi Sukuh dan berakhir di air terjun Tawangmangu.

Sebelum menaiki pesawat pulang pada hari keempat, Suria sempat menjenguk syarikat dan studio rakaman bersejarah, Lokananta. Tempat ini sebenarnya arkib terbesar muzik Indonesia, akan tetapi peralatan dan rekod-rekod tua yang dipamerkan tidak banyak. Walaupun begitu, kami puas dapat menjejakkan kaki ke studio yang diberi nama jolokan Abbey Road Indonesia ini.

Jika ada pembaca yang mahu berbelanja batik, boleh cuba berkunjung ke Kampung Batik Laweyan. Kalau mahu membeli secara pukal, bolehlah berkunjung ke Pasar Klewer.

Begitulah sedikit sebanyak kisah lawatan Suria ke kota Solo baru-baru ini. Sekejap saja rasanya lawatan kami. Semoga satu hari nanti dapat berkunjung lagi ke kota unik ini. Terima kasih kepada pengelola Solo City Famtrip 2018 dan Dinas Pariwisata Surakarta kerana membawa Suria ke Solo. Kami harap kisah perjalanan kami dapat membantu anda merancang lawatan anda ke kota Solo nanti.

sumbangan : Ili Farhana

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!