
/wp-content/uploads/2022/09/SMC_UIH2-scaled.jpg)
Simposium Onkologi & MIS 2022 menyokong inisiatif ini dengan meneroka pendekatan dan kemajuan baharu dalam pemeriksaan, diagnosis dan rawatan kanser
BANDAR SUNWAY, 28 Ogos 2022 – Pusat Perubatan Sunway dan United Imaging Healthcare (UIH) menjalin kerjasama untuk mengoptimumkan protokol pengimejan molekul menggunakan pembinaan semula model kecerdasan buatan (AI) untuk diagnosis kanser.
Melalui kerjasama ini, Pusat Perubatan Sunway akan menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang memperoleh sistem PET/CT digital yang canggih dari UIH, iaitu uMI780. Sistem PET/CT digital yang bertindak ultra pantas dengan resolusi tinggi menjadi transformasi kepada pengimejan tradisional dengan menawarkan liputan seluruh badan dengan medan pandangan paksi digital terluas 30cm.
“Sistem ini mempunyai skor resolusi NEMA 2.9mm iaitu yang terbaik dalam industri. Ia meningkatkan kejelasan dan ketepatan pengimejan dengan lebih baik bagi mengesan lesi atau luka kecil. Ia juga sangat sensitif dengan kelajuan tinggi yang membolehkan pemerolehan data pantas dengan dos yang rendah berbanding sistem konvensional,” jelas Dr Heng Siew Peng, Pengurus Besar, Pusat Kanser Sunway.
“Pusat Perubatan Sunway bersedia untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan pemain industri penting di Malaysia. Nyawa setiap orang adalah sama dan berharga. Kami berharap usaha kami akan mengoptimumkan proses rawatan kanser dan memastikan penjagaan terbaik diberikan kepada setiap pesakit. Ini juga selaras dengan misi kami ‘Untuk Menyediakan Penjagaan Kesihatan yang Setara Kepada Semua’,” kata Evan Wang, Pengurus Besar, UIH Asia Tenggara.
Pusat Perubatan Sunway yang merupakan hospital utama di bawah Sunway Healthcare Group, akan menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang menggunakan dua sistem PET/CT secara serentak bagi meningkatkan kecekapan operasi hospital, sekali gus mengurangkan masa menunggu pesakit.
UIH telah melantik Pusat Perubatan Sunway sebagai hab dan pemimpin pendapat utama (KOL) serantau, yang mana tenaga pakar UIH dan pengamal penjagaan kesihatan profesional di Pusat Perubatan Sunway akan berganding bahu untuk menunjukkan potensi penuh uMI780 serta berkongsi pengetahuan tentang kelebihan PET/CT digital.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UIH untuk menjadi hab penyelidikan serantau di rantau Asia. Ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha kami untuk menggalakkan kemajuan berterusan dalam pengetahuan dan amalan klinikal. Perkongsian ini akan menjamin kedudukan Pusat Perubatan Sunway sebagai peneraju dalam bidang perubatan nuklear dan pengimejan molekul di Malaysia dan di Asia,” kata Dr Seow Vei Ken, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Perubatan Sunway.
Simposium Onkologi & MIS 2022
Perkongsian itu dimaknakan dengan pemeteraian Perjanjian Kerjasama yang diadakan bersempena dengan Simposium Onkologi & MIS Pusat Perubatan Sunway 2022. Acara itu diadakan bertujuan untuk meneroka pendekatan dan kemajuan baharu dalam pemeriksaan, diagnosis dan rawatan kanser yang mana pakar dalam industri akan berkongsi kepakaran mereka mengenai kanser serviks, paru-paru dan prostat. Acara hibrid itu mengumpulkan lebih 400 orang peserta di Pusat Konvensyen SunMed dan platform maya, yang kebanyakannya terdiri daripada pengamal penjagaan kesihatan profesional dan pengamal perubatan am.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 9.6 juta orang di seluruh dunia telah meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2018. Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (Malaysia National Cancer Registry) 2012-2016, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kes kanser yang baru didiagnos di negara ini antara 2012 dan 2016. Namun begitu, sebanyak 30% hingga 50% kanser boleh dielakkan melalui pencegahan yang berkesan, program pengesanan awal dan peningkatan kesedaran awam.
“Pusat Kanser Sunway percaya bahawa kanser bukanlah penamat dan komited untuk menyediakan pendekatan holistik dan penuh belas ihsan kepada penyakit tersebut bermula daripada diagnosis hinggalah kepada proses pemulihan. Pasukan profesional onkologi yang berdedikasi kami menawarkan rawatan lanjutan yang direka khusus untuk semua peringkat kanser bagi memastikan kualiti hidup pesakit kami,” kata Dr Seow dalam ucapan perasmiannya.
Simposium tersebut membincangkan tiga kanser tertinggi di Malaysia dan kemajuan bagi diagnostik kanser dalam sesi perbincangan panel diadakan secara berasingan. Panel pertama mengenai kanser serviks menampilkan Pakar Perunding Ginekologi, Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik, Dr Thangesweran Ayakannu; Pakar Perunding Obstetrik, Pakar Sakit Puan dan Kesuburan, Dr Kannappan Palaniappan, dan Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perunding Perubatan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway, Dr Lim Ren Jye. Sesi ini meneroka kelebihan pembedahan invasif minimum, peranan TCM dalam pengurusan kanser dan pemeliharaan kesuburan bagi pesakit kanser wanita muda.
Kanser paru-paru pula dibincangkan dalam sesi seterusnya. Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Christina Lai Nye Bing dan Dr Jennifer Leong Siew Mooi masing-masing berkongsi mengenai cara imunoterapi berfungsi dan rawatan khusus bagi metastasis otak kanser paru-paru. Sementara itu, Yong Jie See, Pegawai Kanan Fizik Perubatan di Pusat Kanser Sunway turut menerangkan faedah terapi radiasi pada peringkat awal kanser paru-paru.
“Kanser kebiasaannya menujukkan tindak balas terhadap rawatan dengan lebih berkesan apabila dikenalpasti lebih awal. Ia meningkatkan kebarangkalian pesakit untuk meneruskan kehidupan serta mengurangkan morbiditi dan rawatan yang lebih murah. Kita telah melangkah jauh dan menjadi semakin maju dalam pembangunan ujian genetik, teknik ablasi dan imbasan CT, yang membolehkan kanser dapat didiagnosis dengan lebih efektif,” kata Dr Christina yang menjadi moderator sesi panel bersama Dr Khor Phay Phay, Pakar Perunding Perubatan Nuklear; Dr Pradesh Kumar, Pakar Perunding Radiologi Intervensi, dan Dr Hoo Hui Ling, Pakar Perunding Patologi Anatomi.
Dalam sesi panel terakhir pada hari itu, Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik, Dr Badrulhisham Bahadzor dan Dr Murali Sundram serta Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Ivan Shew Yee Siang mengupas topik mengenai diagnosis, saringan, kemajuan dalam radioterapi dan pembedahan robotik untuk kanser prostat yang merupakan kanser ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.
Simposium berkenaan melabuhkan tirainya dengan sedikit ringkasan perkongsian dan ucapan penutup daripada setiap ahli panel yang mengambil bahagian. Sebagai sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, Pusat Perubatan Sunway sentiasa menggalakkan perbincangan mengenai amalan klinikal terkini dan menerapkan amalan terbaik di seluruh hospital.
###
Mengenai Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway
Pusat Perubatan Sunway merupakan sebuah pusat perubatan kuaternari swasta terkemuka di Malaysia dan komited menyediakan pilihan penjagaan kesihatan bertaraf dunia. Pusat perubatan ini turut menawarkan perkhidmatan perubatan komprehensif yang merangkumi kemudahan dan teknologi perubatan canggih untuk program penjagaan kesihatan, kesihatan dan kesejahteraan pesakit luar dan pesakit dalam serta perkhidmatan kecemasan 24 jam. Ini ditambah dengan sistem sokongan yang terdiri daripada lebih 2,600 pengamal kesihatan profesional yang berdedikasi.
Bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang semakin canggih, Pusat Perubatan Sunway telah mengembangkan bidang perkhidmatan perubatan khusus, meliputi bidang ilmu saraf hinggalah rawatan kanser yang maju, serta dari penyelidikan klinikal kepada teknologi bioperubatan. Beberapa bidang khusus termasuk Kanser, Wanita dan Kanak-kanak, Neurosains, Jantung dan Paru-paru , Tulang dan Sendi serta Kesihatan Pencernaan. Bidang kepakaran yang ditawarkan juga termasuk pemindahan buah pinggang, sumsum tulang dan kornea serta implan koklea.
Pusat Perubatan Sunway yang merupakan hospital utama di bawah Sunway Healthcare Group (SHG), telah meraih pelbagai pengiktirafan atas pencapaiannya yang membanggakan. Ia mendapat akreditasi Badan Piawaian Kesihatan Australia (Australian Council on Healthcare Standards, ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (Malaysian Society for Quality in Health, MSQH) bagi hospital swasta serta anugerah Syarikat Terbaik Tahunan bagi Hospital Pintar Malaysia Frost & Sullivan 2021. Pusat Perubatan Sunway bersedia meletakkan standard baru dalam perkhidmatan dengan menambahkan bilangan sehingga lebih 1,000 buah katil hospital.