114517

Pusat Perubatan Sunway Memulakan Pemberian Vaksin COVID-19 untuk Remaja - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagi menyokong usaha Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berterusan, Pusat Perubatan Sunway kini menyambung peranan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS). Pada kali ini, pihak hospital akan memberikan sebanyak 500 dos vaksin COVID-19 setiap hari kepada remaja yang berumur antara 12 hingga 15 tahun.

“Kami telah terlibat dalam Program Imunisasi Nasional sejak Fasa Pertama dan kami berasa bangga kerana diberi peluang sekali lagi untuk menyokong usaha vaksinasi COVID-19 bagi memastikan keselamatan golongan muda di Malaysia. Pelaksanaan ini diadakan tepat pada masanya seiring dengan pembukaan semula sekolah, sektor ekonomi yang kembali pulih dan menyesuaikan diri dengan norma baru untuk hidup dengan endemik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin.

Sebelum ini, Pusat Perubatan Sunway merupakan Zon Pemberian Vaksin (ZPV) Fasa Satu bagi Program Imunisasi Nasional dan telah memberikan vaksinasi kepada petugas barisan hadapan meliputi 12 buah hospital swasta di seluruh Lembah Klang. Pada Fasa Dua dan Tiga program ini, hospital ini juga telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) selain turut menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk pemberian vaksin kepada orang awam. Sehingga kini, Pusat Perubatan Sunway telah membekalkan kira-kira 348,500 dos vaksin.

 

 

Hari ini menyaksikan Pusat Konvensyen SunMed di hospital ini sekali lagi menjadi pusat vaksinasi. Hospital ini mempunyai kelengkapan penuh dan sentiasa bersedia memenuhi keperluan negara. Pasukan perubatan dan bukan-perubatan profesional yang berdedikasi akan memastikan setiap remaja dan ibu bapa atau penjaga yang hadir menerima layanan cekap dan selesa selama tempoh beberapa minggu akan datang.

 

“Usaha vaksinasi telah menunjukkan kesan yang positif dalam membendung penularan pandemik, namun kita perlu terus patuh kepada langkah kesihatan awam yang digariskan seperti menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan tangan. Hal ini sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan biarpun sewaktu meneruskan kehidupan seperti biasa,” tambah Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Sunway, Dr. Seow Vei Ken.

 

Didorong hasrat murni untuk melindungi Malaysia, Sunway secara keseluruhan, telah menyumbang hampir RM60 juta sejak Mac 2020 bagi membantu negara memerangi pandemik COVID-19.

Untuk maklumat lanjut, layari www.sunwaymedical.com.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!