87910

Ramada Vetroblu Scarborough Beach Untuk Semua Gaya Percutian - Suria FM - Segalanya Hiburan

Perth Australia mempunyai tarikan yang luarbiasa jika ada masa untuk diterokai. Kalau punya masa yang banyak, bolehlah panjangkan langkah ke tempat-tempat menarik yang agak jauh dari pusat bandar seperti Wave Rock, Margaret River mahupun Esperance.

Namun, jika punya masa terhad di antara tiga ke lima hari, boleh pilih lokasi yang tidak memerlukan masa perjalanan yang panjang dari kota Perth. Lupakan Fremantle atau Freo yang agak sesak dengan pengunjung terutamanya di hujung minggu, sebaliknya tuju ke Scarborough Beach yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Scarborough Beach merupakan pantai paling popular di kalangan penduduk tempatan, terutamanya bagi yang menggemari aktiviti meluncur. Selain itu ia juga sesuai untuk aktiviti berenang, piknik bersama keluarga atau sekadar untuk bermalas-malasan sambil menikmati keindahan pantai.

Satu lagi alasan untuk menikmati percutian di sini ialah, ia sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Malah, ia juga ideal untuk pelbagai jenis percutian. Sama ada percutian romantik, percutian keluarga mahupun percutian bersama teman-teman. Sebabnya lokasi ini menawarkan pemandangan pantai yang indah, pelbagai kemudahan selesa seperti Scarborough Beach Pool, Scarborough Beach Skate Park, pusat-pusat hiburan dan juga kafe-kafe selera.

Lokasi penginapan juga bukan satu masalah. Biarpun tidak banyak menawarkan penginapan bajet, tetapi hotel-hotel di sini masih berbaloi untuk disewa kerana ia menjanjikan pengalaman menyeronokkan dan selesa. Selain Rendezvous Hotel Perth Scarborough, hotel terbaru Ramada Vetroblu Scarborough Beach juga tidak kurang hebatnya.

Hotel yang baru dibuka pada 2017 ini menawarkan penginapan gaya apartmen servis atau pangsapuri dengan perkhidmatan. Dengan menginap di sini, anda berpeluang menikmati pemandangan pantai yang mempesona lebih-lebih lagi ketika matahari terbenam.

Terdapat lapan jenis penginapan yang ditawarkan iaitu pangsapuri dengan satu, dua, tiga dan juga bilik serta Penthouse dengan tingkat terpisah atau  Split Level Penthouse dan Four Bedroom Split Level Penthouse.

Ini menjadikan, hotel ini sangat ideal untuk pelbagai gaya percutian. Sama ada percutian dengan si dia, bersama keluarga, bersama sekumpulan teman, mahupun untuk urusan perniagaan. Setiap unit dilengkapi dengan kabinet dapur yang membolehkan anda memasak sendiri jika mahu. Peralatan memasak, pinggan-mangkuk, garam, gula semuanya turut tersedia. Satu lagi bonus menggembirakan ialah, semua unit turut dilengkapi dengan mesin basuh dan pengering, kecuali unit One Bedroom King Standard.

Memandangkan ia dibina di tengah-tengah kawasan hiburan Scarborough Beach, anda tidak perlu bersusah payah membawa kereta untuk bersiar-siar di sekitar Pantai Scarborough. Jadi bolehlah berjalan di sepanjang pantai sebelum bersarapan pagi. Jika suka, boleh juga berjoging untuk kecergasan badan.

 

Menjelang petang, boleh habiskan masa dengan berenang atau berkelah. Paling tidak, berehat di balkoni sambil menikmati secangkir kopi dengan sepotong kek enak yang boleh dibeli di beberapa kafe berdekatan. Jika ada mood ke pusat bandar, bolehlah memandu ke Kings Park Botanic Garden yang terletak kira-kira 12 kilometer jaraknya. Lake Monger juga tidak jauh. Cuma 15 minit dari hotel.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan https://www.ramadavetrobluscarboroughbeach.com/

 

sumbangan : Sri Rahayu Mat Nah

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!
    Enable referrer and click cookie to search for pro webber