
/wp-content/uploads/2017/11/23005651/20171007_083629-1024x768.jpg)
Nama kota ini sebenarnya sudah tidak asing lagi di kalangan para pelancong serantau. Berkat bangunan ikonik Candi Borobudur yang berusia ribuan tahun, seluruh dunia mengenali Yogyakarta.
Dalam dunia budaya popular pula, nama kota ini meniti di bibir para pencinta filem Indonesia ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’ kala ia dijadikan lokasi utama untuk penggambaran filem terkenal tersebut.
Namun pasti ramai yang tidak tahu, Yogyakarta sebenarnya baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-261 dan ini menjadikannya salah sebuah bandar pelancongan tertua di rantau ini.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun tersebut, Suria telah diundang oleh Pejabat Pelancongan Kota Yogyakarta untuk sama-sama menyaksikan serta meraikan acara itu.
Dan untuk lawatan kali ini, kami melupakan seketika Candi Borobudur dan Jalan Malioboro yang sememangnya sinonim dengan Yogyakarta. Malah warga media yang hadir telah dibawa menjelajah bahagian-bahagian lain Yogyakarta (yang lebih kerap disebut ‘Jogja’ di kalangan penduduk Indonesia tempatan) yang tidak kurang menarik.
Sebagai permulaan, kami telah dibawa berkunjung ke muzium Sonobudoyo yang memaparkan pelbagai artifak dan peninggalan sejarah kawasan setempat. Banyak yang boleh dipelajari dengan melawat muzium tersebut.
Dari muzium kami dibawa pula melawat kawasan diraja Yogyakarta atau lebih dikenali sebagai Kraton dalam bahasa Jawa. Kerabat diraja Kraton merupakan di antara keluarga diraja yang masih tinggal di Indonesia masa kini. Di perkarangan kawasan Kraton, kami diberi peluang melihat dan mengenal lebih banyak tentang adat serta sejarah keluarga diraja (termasuk Sultan) yang masih lagi memainkan peranan penting dalam pentadbiran kota Yogyakarta.
Selesai melihat keindahan budaya peninggalan serta warisan, kami berkunjung pula ke Istana Air Taman Sari yang dahulunya berfungsi sebagai tempat permandian warga Kraton. Kini ia menjadi sebuah pusat pelancongan dan masih dikekalkan dengan baik. Senibina persekitarannya masih indah dan sering menjadi tempat pilihan untuk mengabadikan ajnas gambar lewat media sosial.
Dari sisa runtuhan dan ceruk-ceruk kecil kawasan taman sari, terdapat sebuah tapak yang semakin menular di media sosial warga Indonesia khasnya. Tapak yang dikenali sebagai Sumur Gumuling atau Sumberjo Gemuling itu merupakan beberapa anak tangga yang dibina di dalam sebuah masjid bawah tanah. Masjid tersebut sudah tidak digunakan lagi, namun sewaktu ia didirikan, ia sengaja dibina di bawah tanah supaya tidak diketahui kewujudannya oleh pihak penjajah Belanda. Kini ia menjadi buruan penggemar fotografi dan mereka yang suka melukis. Malah giliran untuk mengambil gambar di tengah-tengah tapak agak lama kerana ramai yang ingin berebut mengambil gambar di situ.
Perjalanan ke tapak tersebut juga bukanlah mudah kerana para pengunjung perlu mengikuti jalan bawah tanah dan beberapa lorong lain. Namun, pengembaraan kecil ke situ memang berbaloi kerana keindahan senibinanya yang unik dan asli.
Agenda diteruskan pula ke kawasan perkuburan Mataram di kawasan kampung wisata Kotagede, sebuah lokasi terkenal dengan hiruk-pikuk jalannya yang sinonim dengan kota-kota Indonesia seperti Solo dan Yogyakarta. Di situ juga terdapatnya rumah-rumah budaya tradisional yang dipelihara, di samping Masjid Agung Mataram yang tersohor sebagai masjid tertua di Yogyakarta. Ia juga mempunyai senibina pengaruh Hindu dan Buddha gara-gara sejarah lampau kota itu.
Di waktu malam pula, kami dibawa ke kawasan pusat bandar iaitu Tugu Yogyakarta di mana acara sambutan ulangtahun kota tersebut disambut dengan penuh gilang-gemilang. Acara itu bukan sahaja dihadiri oleh Datuk Bandar kota Yogyakarta tetapi juga Sultan Kraton Yogyakarta sendiri (yang juga berperanan sebagai Gabenor kota itu).
Pelbagai kereta berhias dan kumpulan tarian bergiliran membuat persembahan di depan media dan tamu-tamu kehormat yang lain. Dan acara malam tersebut diakhiri dengan alunan muzik yang dimainkan oleh salah seorang DJ wanita kota Yogyakarta. Ramai warga Jogja yang turut sama menari dan menyanyi. Malah Datuk Bandar juga ikut serta dan tidak ketinggalan berhibur bersama.
Dari malam yang disambut besar-besaran dengan muzik sehinggalah percikan mercun serta bunga api, keesokan harinya pula pihak media dibawa untuk menelusuri kawasan alam sekitar Yogyakarta yang indah. Kami dibawa ke Kalisuci di daerah Gunung Kidul. Di situ kami berpeluang mencuba aktiviti ‘Cave Tubing’ di mana para pengunjung dapat menjelajah ke dalam kawasan gua dengan menaiki pelampung besar yang dikitar semula dari tayar lori-lori besar lama.
Aktiviti tersebut memang menyeronokkan dan selamat. Setelah memakai peralatan keselamatan, pengunjung hanya perlu duduk mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh para petugas dan membiarkan arus sungai membawa anda sepanjang perjalanan. Ia sama sekali tidak merbahaya dan paras air tidak dalam. Namun yang pasti, kesemua yang menyertai aktiviti ini akan basah jadi pastikan anda membawa baju tambahan.
Di situ juga kami dihidangkan makanan tengah hari tradisional dengan beberapa jenis masakan penduduk tempatan. Seperti kebanyakan makanan Indonesia, semuanya lazat-lazat belaka!
Selesai dibasahi air sungai deras, kami dibawa ke satu lagi tempat yang kini menjadi destinasi pelancongan, khasnya untuk mengambil gambar. Kawasan yang dikenali sebagai Tebing Breksi itu dahulunya sebuah tapak perlombongan batu kapur, namun kini ia telah dipulihara dan dijadikan kawasan wisata yang popular.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar di atas tebing dan di depan dinding-dinding yang diukir dengan watak-watak seni wayang kulit.
Dan bercakap tentang wayang kulit, pada waktu malamnya pula kami dibawa makan malam di Restoran Prambanan dengan pemandangan kuil Prambanan yang begitu menakjubkan! Lebih istimewa lagi, selesai sahaja makan malam kami diberi peluang menonton persembahan yang dikenali sebagai Teater Ballet Ramayana. Persembahan teater tersebut merupakan secebis kisah yang diambil dari kisah Ramayana seperti yang sering dipaparkan dalam persembahan wayang kulit.
Persembahannya penuh warna-warni dan disulami dengan tarian gemulai para pelakon serta penari. Biarpun bahasa yang digunakan adalah gabungan bahasa Jawa kuno serta Sanskrit namun penonton masih bisa terhibur dengan gelagat para pemegang watak dan juga persembahan secara umum.
Seperti tarian dan para penduduknya, Yogyakarta memang berwarna-warni. Sejarah ratusan tahun yang disimpan di kota itu turut menyimpan untaian budaya penduduknya yang masih kaya dengan nila-nilai murni. Dari kelazatan makanan, kemesraan penduduk serta keindahan kota serta persekitarannya, Yogyakarta ada banyak tarikan selain Candi Borobudur dan Jalan Malioboro. Jadi andai ada masa terluang, sempatkanlah waktu untuk mengalami Yogyakarta!
Kami di Suria mengucapkan selamat hari jadi Yogyakarta dan semoga terus berjaya. Terima kasih kerana sudi menjemput kami untuk menjadi sebahagian daripada perayaan anda!
Pengembaraan ini telah ditaja sepenuhnya oleh Pejabat Pelancongan Kota Yogyakarta.
Terima Kasih Deddy Huang untuk gambar di Sumur Gumuling dari Instagram @deddyhuang