115172

SHAFIE SHAMSUDDIN DILANTIK PENGERUSI KUMPULAN SITI KHADIJAH - Suria FM - Segalanya Hiburan

PUTRAJAYA, 1 OKTOBER 2022 – Siti Khadijah Holding Sdn Bhd. amat berbesar hati mengumumkan pelantikan Pengerusi Kumpulan Siti Khadijah, Shafie Shamsuddin, 52, yang berpengalaman luas dalam dunia korporat di dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, pelantikan pengerusi eksekutif itu selaras dengan strategi baru syarikat yang ingin terus bergerak pantas memperkukuhkan kedudukan dan mengembangkan empayar perniagaan Siti Khadijah sebagai pengeluar produk Islamik terunggul. 

“Siti Khadijah memerlukan kepimpinan yang berpengalaman untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat. Ini adalah masa yang sangat sesuai untuk melantik pengerusi kepada Kumpulan Siti Khadijah sejajar strategi pemasaran syarikat untuk mengembangkan sayap ke pasaran luar negara. Kami juga percaya dengan pengalaman yang beliau ada, dapat memacu kejayaan Siti Khadijah ke arah yang lebih cemerlang pada masa hadapan”, kata Munzir.

Sementara itu, Shafie bersyukur di atas pelantikan itu yang memberinya peluang untuk menyumbang buah fikiran serta pengalaman kepada jenama Siti Khadijah yang berpotensi besar untuk berkembang sebagai sebuah syarikat multinasional. Selain itu, Shafie juga komited untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan setiap jenama di bawah Kumpulan Siti Khadijah meraih tempat yang lebih baik di hati pengguna.

“Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur atas pelantikan ini. Saya suka dengan semangat dan tenaga Kumpulan Siti Khadijah (SKG) terutamanya semangat keusahawanan pengasasnya, Puan Padzillah Enda Sulaiman dan Encik Aminuddin Mohd Nasir yang sangat merendah diri dan ikhlas berkongsi kejayaan mereka dengan saya.” ujar beliau.

Shafie juga yakin dan percaya kolaborasi bersama pasukan Siti Khadijah yang dinamik, kreatif, dan bersemangat akan terus memberi manfaat kepada para pelanggan Siti Khadijah.

“Saya percaya kami mempunyai pasukan yang dinamik, kreatif dan bersemangat dalam SKG yang diketuai Mohammad Munzir. Dengan perkongsian ini, kami akan bersama-sama membangunkan “ekosistem pengguna baharu” yang akan melangkaui sempadan negara. Kami juga bercita-cita untuk memupuk gaya hidup bermanfaat kepada semua pelanggan Siti Khadijah,” katanya. 

Latar Belakang Shafie Shamsuddin

Shafie Shamsuddin (52 tahun) berasal dari Singapura, adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AEON Co. (M) Berhad & AEON Big Sdn Bhd ketika pandemik Covid-19 yang berakhir sehingga 30 Jun 2022.Beliau telah berjaya mengemudi salah satu peruncit dan pusat beli-belah terbesar di Malaysia itu melalui strategi transformasinya dengan perkongsian menang-menang dalam ekosistem pengguna.

Shafie juga ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Petronas Dagangan Berhad (PDB), cabang pemasaran utama PETRONAS yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia.

Selain itu, Shafie juga pernah menjadi Lembaga Penasihat untuk Alumni Nanyang Business School di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura dari 2014 hingga 2021. Selepas tamat pengajian dari NTU, beliau menyertai Carrefour Singapura sebagai pelatih pengurusan dan menjadi CEO Asia pertama Carrefour pada usia 35 tahun. 

Beliau pernah menerajui Carrefour di Singapura, Malaysia dan Indonesia. Shafie juga pernah berpangkalan di Paris sebagai Pengarah Eksekutif Pengurusan Bakat Global dan Pembangunan Organisasi dalam Kumpulan Carrefour. 

Shafie mempunyai pengalaman yang luas dalam ekosistem pengguna dan pembangunan modal insan dengan lebih 25 tahun pengalaman di rantau ASEAN.

 

Anugerah:

  1. Anugerah Jauhari Achiever 2010, Berita Harian Singapore
  2. Best Chief Executive Officer Overseas 2016, Business Times Singapore
  3. Nanyang Alumni Achievement 2018, Nanyang Technological University Singapore.
  4. Chief Executive Officer of the year in the 17th Retail Asia Awards 2022.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!