96469

Si Manis Jembatan Ancol Luar Jangkaan! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Awalnya kami menyangka filem Si Manis Jembatan Ancol ini akan menjadi sama seperti filem seram Indonesia yang lain. Gadis cantik dianiaya, dibunuh dan akhirnya membalas dendam dalam bentuk hantu. Sangkaan kami meleset sama sekali, kerana ada sedikit plot twist yang mengubah formula di atas dengan jayanya.

Pada tahun 1973 di Djakarta,  rumah tangga Maryam (Indah Permatasari) dan Roy (Arifin Putera) berada di ambang kehancuran. Perniagaan Roy rugi besar dan ia mengakibatkan perubahan besar kepada sikap Roy terhadap Maryam. Maryam yang sering terasa hati dengan Roy kemudiannya bertemu dengan Yudha (Randy Pangalila), seorang pelukis yang baru pindah ke kampung mereka.

Perniagaan Roy bukan sahaja menuju kehancuran malah dia telah terlalu banyak meminjam daripada kumpulan lintah darat sehingga tidak mampu membayar hutang mereka. Roy juga jadi marah bukan kepalang apabila mendapat tahu yang Maryam diam-diam keluar bertemu dengan Yudha. Akhirnya Roy meminta Oji Si Lintah Darat (Ozy Saputra) dan anak-anak buahnya untuk menculik dan membunuh Maryam untuk menebus hutangnya.

Tentulah Maryam yang awalnya lembut dan manis akhirnya naik hantu (dan menjadi hantu) lalu mengamuk dan berdendam dengan para pembunuhnya.

Nah, sampai di sini jalan cerita filem Si Manis Jembatan Ancol berbunyi seperti sebuah filem seram/balas dendam biasa, bukan? Anda perlu menyaksikan filem ini untuk melihat bagaimana nasib Roy, Oji dan konco-konconya di tangan Maryam selepas itu. Dan apa pula agaknya nasib Yudha si pelukis muda kacak tetapi malang?

Filem Si Manis Jembatan Ancol ini ada aksi-aksi yang akan membuatkan anda menjerit terkejut, dan ada sedikit babak menggelikan hati ihsan watak-watak penduduk kampung yang lucu. Kalau panjang filemnya kurang daripada dua jam pasti lebih baik kerana ada babak yang terasa sedikit meleret, tetapi secara keseluruhan ia masih filem yang layak ditonton.

Si Manis Jembatan Ancol akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 30 Januari 2020.

 

 

Sumbangan: Ili Farhana

Gambar ihsan: TGV Cinemas Malaysia

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!