91511

Singgahan Indah di The Sultan Hotel & Residence Jakarta - Suria FM - Segalanya Hiburan

Andai disebut sahaja nama hotel ini di kota Jakarta, pasti ramai yang tahu tempatnya yang sangat berdekatan dengan Stadium Senayan di tengah-tengah ibunegara Indonesia.

The Sultan Hotel & Residence Jakarta di Senayan adalah hotel mewah lima bintang yang bertaraf antarabangsa dan merupakan salah satu hotel ternama di Jakarta. Terletak di pusat kota, hotel ini juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana kedudukannya tidak jauh dari tempat-tempat menarik serta pusat-pusat perdagangan di sekitarnya. Ini termasuk pusat membeli-belah Plaza Senayan dan juga Senayan City Mall. Malah ia juga mempunyai laluan khas dengan penghawa dingin buat mereka yang ingin berjalan ke Pusat Konvensyen Jakarta.

Berbekalkan bilik-bilik indah dari pelbagai taraf, hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Seperti hotel-hotel mewah lain, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan elektronik terkini serta perabot berkualiti tinggi. Senireka dalamannya juga bersesuaian dengan gaya penginapan masa kini yang eksklusif serta kontemporari.

Hotel ini juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti dua buah kolam renang, 12 gelanggang tenis, gimnasium serta pusat kesihatan dan juga taman permainan kanak-kanak. Tidak dilupakan ruangan spa yang dinamakan Lagoon Spa.

Menepati posisinya sebagai sebuah hotel mewah dan perniagaan, ia sudah tentu dilengkapi ruangan khas untuk mengadakan mesyuarat, seminar dan juga sebuah dewan besar untuk mengadakan pelbagai acara.

Di samping keindahan hotel ini, ia juga terkenal dengan tempat-tempat makannya seperti Lagoon Cafe yang menyajikan makanan antarabangsa serta tempatan. Tidak ketinggalan juga adalah restoran Nippon Kan  untuk makanan Jepun, Nan Xiang untuk makanan Cina, Lagoon Lounge serta Qi Dine & Lounge untuk minuman dan bersantai dengan alunan muzik.

Istimewa sempena hari Krismas yang bakal muncul hotel ini ada menyediakan sajian khas sempena Krismas dengan pelbagai sajian menarik dan lazat. Ini termasuk beberapa menu antarabangsa yang pasti mampu memenuhi selera setiap tamu yang berkunjung.

Oleh itu, kalau anda ingin menikmati sekilas kemewahan dan melihat keindahan stadium Senayan, bermalamlah di The Sultan Hotel & Residence Jakarta. Ia pasti satu pengalaman eksklusif yang tidak akan anda lupakan!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!