96697

Sisi-Sisi Seni Artotel Thamrin – Jakarta - Suria FM - Segalanya Hiburan
Biarpun Jakarta ditumbuhi ratusan hotel namun hotel-hotel butik semakin mendapat tempat di ibukota Indonesia itu. Ini kerana hotel-hotel butik ini masih mampu menawarkan perkhidmatan setaraf hotel-hotel lima dan empat bintang antarabangsa. Dan lebih istimewa lagi, mereka sering menyediakan ciri-ciri unik di bilik ataupun kemudahan lain bagi menarik minat para tamu.
Salah satu hotel unik yang dimaksudkan adalah Artotel yang terletak di kawasan Thamrin di Jakarta. Artotel turut mempunyai beberapa cabang lain di Indonesia seperti di Surabaya serta Bali dan ia menawarkan kelainan dari segi penginapan dan senireka kemudahan-kemudahan hotelnya. Artotel di Thamrin Jakarta mempunyai lokasi yang strategik kerana terletak sangat dekat dengan hentian Busway Sarinah serta beberapa minit perjalanan sahaja dari stesen MRT Bundaran H. I. yang baru dibuka. Malah ia  berada di sebelah gedung membeli-belah popular Jakarta, Sarinah.
Kesemua Artotel telah dibina untuk menjadi sebuah hotel butik yang kaya dengan keunikan dari segi konsep senilukis moden. Ia merupakan hotel yang menggabungkan konsep senireka dari unsur seni halus, seni moden, seni arca dan juga fotografi.
Kala melangkah masuk sahaja ke perkarangan hotel, para tamu akan rasa seperti masuk ke dalam sebuah muzium seni moden atau galeri seni. Dengan aneka warna-warni serta ajnas bentuk dan rupa, semuanya tampak pelik namun sangat menarik. Malah senireka bangunannya dari luar sahaja sudah pasti mendapat perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya dari jauh.
Yang menjadikannya lebih eksklusif adalah, hotel ini mempunyai sekitar 107 buah bilik sahaja yang dipanggil studio namun setiap bilik mempunyai senireka dalaman serta tema tersendiri hasil garapan pelukis-pelukis generasi baru Indonesia. Kesemua bilik Artotel mempunyai perkhidmatan sambungan internet wi-fi percuma serta kemudahan elektronik terkini seperti televisyen dengan saluran satelit, dan juga mesin kopi Dolce Gusto.
Kebanyakan hasil seni mereka yang kontemporari diabadikan dalam setiap pelusuk hotel dari bilik, lobi sehinggalah ke restoran dan ruang-ruang khas lain. Ia juga mempunyai sebuah restoran yang buka 24 jam bernama Double Chin yang menawarkan menu enak bervariasi tempatan dan antarabangsa. Semestinya, senireka dalaman restorannya juga lain daripada restoran-restoran hotel yang lain.
Konsep penuh kesenian ini turut diterapkan pada bar di tingkat bumbung mereka (di tingkat tujuh) yang dikenali sebagai BART (Bar at the Roof Top). Ia merupakan sebuah lokasi yang sangat sesuai untuk bersantai sambil menikmati minuman bersama teman-teman. Jelas ternyata, konsep hotel ini memang berbeza kerana setiap Artotel berlainan di antara satu sama lain.
Andai berpeluang ke Jakarta dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza namun masih mewah dan meriah, bermalamlah di Artotel! Ia pasti tak akan anda lupakan!
Artikel sumbangan: Shah Shamshiri
Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!