91627

Suasana Romantis & Mewah Di The Bale’ Bali - Suria FM - Segalanya Hiburan
Setelah penat menguruskan hal perkahwinan pastinya destinasi berbulan madu menjadi agenda seterusnya bagi pasangan yang baharu berkahwin. Bulan madu adalah suatu masa yang istimewa untuk anda dan pasangan mengenali dengan lebih intim.

Lepaskan segala tekanan yang anda hadapi ketika melakukan persiapan perkahwinan dengan memilih lokasi berbulan madu yang damai dan tenang bersama pasangan anda.

The Bale’ Bali menjanjikan suasana romantik dan mewah khusus bagi pasangan yang merancang untuk berbulan madu dan menghabiskan masa bersama orang tersayang.

Merupakan salah satu resort mewah di bawah syarikat Lifestyle Retreats, ia dilengkapi dengan 29 buah villa yang bertemakan senibina moden dihiasi dengan kehijauan taman.

Setiap villa pula dilengkapi dengan kolam renang peribadi. Peka dengan keperluan anda yang inginkan suasana tenang dan damai maka kanak -kanak tidak dibenarkan menginap di resort ini. Anda dan pasangan juga akan dilayan oleh pelayan peribadi yang akan bertugas 24 jam bagi memastikan semua kehendak anda dan pasangan dipenuhi.

Anda dan pasangan tidak perlu pergi jauh untuk menikmati suasana romantis sambil menjamu selera. Di The Bale’ terdapat tiga buah restoran yang boleh anda pilih iaitu Tapa Bistro, Restoran Faces dan Restoran Bliss. Di Tapa hidangan makanan tapas adalah kombinasi dari timur dan barat dan juga masakan Asian. Manakala Restoran Faces pula menyediakan masakan asli Indonesia. Inginkan sedikit kelainan, anda dan pasangan boleh ke Restoran Bliss yang menyediakan makanan bernutrisi dan organik.

Pusat kesihatan dan spa juga disediakan bagi penginap The Bale’. Pelbagai pilihan rawatan muka dan badan antaranya terapi ‘crystal healing stone’ dan ‘Anma Traditional Japanese Massage’ jika anda mahukan rawatan spa yang unik dan berbeza. Antara fasiliti lain yang disediakan ialah kolam renang utama, ‘beach club’ dan juga gym.

Buatlah pilihan yang tepat untuk destinasi berbulan madu anda. Ia merupakan detik permulaan untuk anda dan pasangan melalui alam perkahwinan. Mulakan detik itu dengan memori yang manis dan indah.

Suasana romantis dan eksklusif di The Bale’ Bali ini akan menghilangkan kelelahan anda sebaik selesai majlis perkahwinan anda. Untuk maklumat lanjut layari www.thebale.com atau www.lifestyleretreats.com.

 

Sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!