85410

Suria dan Salju di Jeju! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Tidak perlu dinafikan lagi, Korea Selatan sememangnya menjadi salah satu destinasi percutian pilihan ramai rakyat Malaysia. Dengan lambakan drama dan lagu-lagu K-Pop yang sering disogokkan dalam media massa, tidak hairanlah kenapa ramai yang ingin ke Korea Selatan.

Selain bandar-bandar utama Korea Selatan seperti Seoul dan Busan yang sering dipaparkan dalam filem-filem serta drama K-Pop, ada beberapa lokasi lain yang turut mendapat perhatian. Salah satunya adalah Pulau Jeju di selatan Korea.

Pulau yang indah ini juga sudah menjadi destinasi terbaru salah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah paling popular di dunia. Dan sejak diperkenalkan, ramai rakyat Malaysia yang sudah berpeluang memijakkan kaki ke sana. Kami di Suria juga sudah berkesempatan melawat bumi Jeju dan di sini kami kongsikan tentang apa yang menarik di situ.

Berbanding kota-kota besar, Jeju tidaklah sesibuk metropolitan lain di dunia kerana ia merupakan sebuah bandar yang sinonim dengan keindahan alam sekitar serta budaya dan sejarah tempatan. Oleh kerana itu banyak yang boleh dipelajari dan dinikmati di situ.

Demi memudahkan perancangan percutian, ramai juga yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan tempatan di Jeju sendiri. Ini kerana mereka sudah tentu lebih arif dalam memperkenalkan tempat-tempat wisata yang menarik. Atas nasihat badan pelancongan Korea Selatan kami mendapat bantuan salah satu syarikat pemandu pelancong tersohor di Jeju iaitu Yeha Tour yang banyak menolong untuk menjayakan liputan ini. Selain menyediakan perkhidmatan bas-bas persiaran besar, mereka turut menyediakan perkhidmatan penjelajahan peribadi (private tour) di sekitar pulau Jeju.

Kami memulakan kembara di Jeju sewaktu musim sejuk di sebuah taman tema terbaru negara tersebut yang dikenali sebagai Jeju Shinhwa World. Ia merupakan sebuah kawasan hartanah terkini yang mempunyai segala-galanya. Bermula dengan penginapan berbintang bertaraf antarabangsa seperti Landing Resort, sehinggalah aneka tempat makan serta taman temanya sendiri.

Malah, taman tema Jeju Shinhwa World ini merupakan taman tema pertama yang mengangkat pelbagai watak dari siri animasi Larva. Di dalamnya tersedia ajnas permainan yang boleh dicuba. Ini termasuk beberapa permainan interaktif dan 3D yang menawarkan pengalaman kepada para pengunjung untuk turut serta merasai pengembaraan yang dilalui watak-watak animasi tersebut.

Ia juga tempat terletaknya kafe bertema milik artis tersohor K-Pop, G Dragon. Jadi kalau anda peminat G-Dragon pastikan anda menjejakkan kaki ke sana.

Pada hari berikutnya, kami meneruskan perjalanan ke muzium teh Osulloc. Seperti yang diketahui umum, orang Korea memang terkenal dengan teh hijau mereka yang kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat. Di muzium teh ini, pengunjung bukan sahaja boleh membeli teh Korea terbaik, malah terdapat juga kedai Innisfree yang menjual produk-produk kecantikan berasaskan bahan-bahan organik serta tumbuh-tumbuhan sekitar pulau Jeju pada harga yang sangat berpatutan.

Dari muzium teh kami ke Seongsan Ilchulbong atau ‘Sunrise Peak’. Ia merupakan sebuah kawasan pergunungan yang terkenal dengan pemandangan yang sangat menakjubkan. Selain latar belakang samudera biru, dari ‘Puncak Matahari Terbit’ itu juga pengunjung boleh menyaksikan pemandangan kota Jeju dari atas. Di tepi pantai di kawasan kaki bukit juga terdapat pertunjukan khas penyelam wanita berusia. Mereka meneruskan tradisi mencari hasil lautan dengan menyelam ke dalam lautan biarpun sudah lanjut usia di atas 50 tahun. Namun pertunjukan hanya akan diadakan jika keadaan tidak terlalu sejuk dan mengizinkan.

Selesai dari situ, kami ke Play K Pop. Sebuah muzium khas yang didedikasikan kepada dunia K-Pop. Ia adalah singgahan wajib buat para pencinta budaya dan produk K-Pop kerana segala sejarah tentang muzik tersebut ada di situ. Malah, ia satu-satunya muzium K-Pop di dunia! Di muzium tersebut pengunjung boleh menyaksikan konsert K-Pop oleh artis-artis ternama mereka dalam bentuk hologram dan berasa seolah-olah berada di sebuah konsert yang benar. Terdapt pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di situ seperti ruang khas untuk menari dan menyanyi lagu-lagu K-Pop selain tempat untuk mengambil gambar bersama ikon-ikon K-Pop yang ternama.

Andai berkunjung di musim sejuk, jangan lepaskan peluang untuk cuba meluncur di atas salji di gunung Halla. Papan luncur kecil boleh disewa pada harga yang murah dan anda hanya perlu duduk dan biarkan papan itu meluncur ke bawah di atas tanah yang dipenuhi salji. Ramai penduduk tempatan yang suka ke situ di musim sejuk untuk mengahbiskan masa bersama keluarga. Selain itu, ia juga tempat yang sesuai untuk mengambil gambar kerana jatuhan salji semula jadi di situ menjadikannya satu panorama yang indah untuk diabadikan.

Selain tempat-tempat yang kaya dengan alam semulajadi, Jeju juga mempunyai tempat-tempat menarik lain yang merupakan buatan manusia. Antaranya adalah tempat-tempat bertema seperti Maze Land dan Love Land.

Maze Land merupakan sebuah taman yang cantik dan dipenuhi dengan ‘maze’ atau pagar sesat yang besar. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk cuba mencari jalan keluar dari pagar sesat yang ada. Selain itu, lanskap di sekitar kawasan tersebut juga sangat indah kerana dijaga dengan baik.

Love Land pula merupakan sebuah taman tema luaran yang didedikasikan untuk penghayatan cinta. Ia memaparkan arca serta ukiran patung-patung yang dicipta mengikut posisi-posisi keintiman fizikal manusia. Biarpun ia sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak di bawah tiga tahun sahaja, ia juga satu tinjauan lucu ke dalam dunia pendidikan seks serta keintiman.

Kalau soal menjamu selera pula, Jeju sangat kaya dengan makanan laut yang lazat jadi ini tidak menjadi masalah buat para pengunjung beragama Islam. Malah sekarang terdapat banyak pakej-pakej percutian khas yang disediakan untuk pengunjung Muslim yang pentingkan makanan halal serta waktu solat. Semua ini boleh disediakan oleh syarikat oemandu pelancong tempatan seperti Yeha Tour. Untuk keterangan lanjut boleh juga merujuk kepada badan pelancongan Korea Selatan dan Jeju.

Dan ini semuanya hanyalah imbasan ringkas tentang apa yang dapat dilakukan di Jeju. Ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh dicuba sekiranya berkunjung ke sana. Jadi jika anda ingin merasai dan melihat sendiri tempat-tempat cantik yang sering menjadi latarbelakang drama serta filem Korea, pastikan anda melawat pulau Jeju!

 

 

 

*Terima Kasih kepada pihak Yeha Tour dan Jeju Shinhwa World kerana membantu menjayakan laporan ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!